Followers

rantau ku sayang

Thursday, July 3, 2014

Isu MB Selangor : Tiga anggota PKR Diberi Surat Tunjuk Sebab

Tiga anggota PKR akan diberikan surat tunjuk sebab atas beberapa kenyataan media berkaitan isu Menteri Besar Selangor.

Mereka adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin; ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, ia bertujuan supaya ketiga-tiga anggota parti itu memberikan penjelasan di sebalik setiap kenyataan media yang dikeluarkan.

“Saya akan menjawab surat tunjuk sebab. Berani kerana benar,” kata Shamsul kepada pemberita melalui aplikasi Whatsapp, hari ini.

AMK sebelum ini lantang menggesa Khalid menimbangkan desakan akar umbi untuk berundur secara terhormat daripada jawatan nombor satu negeri itu.

Kedudukan Khalid sebagai MB tergugat apabila beliau dilihat semakin hilang sokongan wakil rakyat PKR selain dikecam oleh pemimpin DAP kerana gagal menangani beberapa isu seperti masalah air dan pembinaan lebuhraya KIDEX.

Antara kelemahan Khalid yang paling ketara adalah kegagalan beliau menangani isu rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) yang berlarutan selama enam bulan.

Menurut Shamsul, desakan agar Khalid berundur perlu dibuat memandangkan bekas penyandang Ketua Cabang Kuala Selangor itu kini secara terbuka ditolak bukan hanya di kalangan pimpinan PKR, malah juga DAP dan PAS.

Bekas Setiausaha Politik Khalid, Faekah Husin bagaimanapun menyelar desakan pemimpin PKR agar Khalid meletak jawatan dengan menyifatkan ia sebagai melangkaui arahan pucuk pimpinan parti.

Sebagai membidas kenyataan Ahli Parlimen Bukit Katil itu, Faekah kemudiannya meminta Shamsul bermuhasabah diri mengenai prestasinya selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak FELDA di Selangor.

“Untuk muhasabah diri, Faekah tidak perlu jolok sarang tebuan.

“Banyak lagi saya boleh dedahkan. Lebih utama untuk Khalid jaga kawasan DUN Pelabuhan Klang, bimbang insiden lari kawasan lain, iaitu dari Ijok ke Pelabuhan Klang akan berlaku lagi pada PRU-14 nanti,” ujar Shamsul lagi.

Khalid bagaimanapun bertegas tidak akan menghiraukan desakan untuk dirinya mengundurkan diri dan akan terus menjadi menteri besar meskipun gagal menjawat apa-apa jawatan di dalam parti. 

No comments:

Post a Comment