Tuesday, December 31, 2013
Kewangan N.Sembilan Kukuh Bukti Ketelusan Kepimpinan MBNS
Pengurusan kewangan yang berhemah kerajaan negeri telah membawa pengiktirafan daripada Jabatan Audit Negara melalui Anugerah Empat Bintang bagi Indeks Akauntabiliti 2012 yang diterima pada tahun ini.
Keputusan itu diperoleh melalui agensi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Kehakiman Syarie negeri, Majlis Daerah Rembau dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).
Perkembangan ini memberikan gambaran betapa pengurusan yang cekap yang mana dalam tahun berakhir 31 Disember 2012, kedudukan Akaun Hasil Disatukan Negeri telah meningkat sebanyak RM21.96 juta kepada RM228.45 juta.
Malah, sehingga 13 Disember tahun ini, jumlah Akaun Hasil Disatukan Negeri atau rizab semasa kerajaan negeri adalah berjumlah RM483.85 juta.
Berdasarkan keupayaan itu, kerajaan negeri akan terus mengekalkan sumber utamanya iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil, yang mana pada tahun 2014, dijangka kutipan yang diperoleh itu adalah sebanyak RM352.626 juta, RM152.519 juta (hasil cukai), RM126.505 juta (hasil bukan cukai) manakala RM73.602 juta (terimaan bukan hasil).
Angka ini diperakui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hj Hasan (gambar) yang mana sebahagian besar hasil cukai diperoleh melalui cukai tanah dengan anggaran pada tahun 2014, kerajaan akan memperoleh RM144.833 juta.
"Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan secara puratanya berjaya mengutip lebih daripada 90 peratus cukai tanah.
"Ini berdasarkan kutipan dari tempoh Januari hingga November tahun ini, kerajaan negeri berjaya mengutip RM106.1 juta iaitu kira-kira 89.9 peratus daripada anggaran 2013. Angka ini terus meningkat pada penutupan akaun 31 Disember ini," katanya.
Maka di atas sikap tanggungjawab rakyat dan syarikat swasta di negeri ini dalam melaksanakan cukai tanah amat dihargai kerajaan negeri, seiring dengan apa yang diperkatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - "pembayaran cukai adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dan mereka yang telah membayar cukai adalah rakyat yang bertanggungjawab dan mempunyai semangat patriotik serta taat setia kepada negara."
Dalam pada itu juga, bagi memastikan pengurusan kewangan yang baik dan teguh pada tahun hadapan, kerajaan dilihat dapat meningkatkan hasil bukan cukai sebanyak RM38.347 juta atau 43.5 peratus kepada RM126.505 juta.
Tambah beliau, sebahagian besar terimaan bukan cukai ini disumbangkan oleh terimaan premium tanah yang setakat ini sering melepasi sasaran yang ditetapkan setiap tahun.
"Dalam tempoh Januari hingga November tahun ini, terimaan premium tanah adalah berjumlah RM78.674 juta dan terimaan ini melebihi anggaran belanjawan 2013 iaitu RM22.480 juta.
"Ini bermakna kerajaan negeri telah berjaya mencatatkan lebihan kutipan sebanyak RM56.194 juta atau 250 peratus lebih tinggi berbanding anggaran belanjawan 2013. Kita menjangkakan dalam penutupan akaun 31 Disember ini, angka itu juga akan meningkat," tegasnya.
Peningkatan premium tanah pada setiap tahun jelas membuktikan proses pindah milik, pemberi milikan dan pertukaran syarat tanah yang efektif.
"Kesannya boleh dilihat pada tahun ini yang mana pembangunan yang rancak telah berlaku di negeri ini dalam pelbagai sektor dan paling pantas ialah perumahan dan komersial," katanya.
Bagi terimaan bukan hasil pula, untuk tahun hadapan, dianggarkan berjumlah RM73.602 yang mana antara sumbernya adalah daripada pemberian kerajaan pusat.
Apa pun menurutnya, adalah tidak benar mengatakan negeri ini bankrap ataupun dicemuh sebagai gagal menguruskan kewangan dengan baik.
"Tohmahan yang dibuat hanya untuk memburukkan kerajaan negeri yang terbukti berjaya menguruskan kewangan dengan baik, sekali gus dapat mensejahterakan rakyat, malah keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) bertambah kukuh," tegasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment