Followers

rantau ku sayang

Friday, September 19, 2014

Isu Negaraku: Prof Khoo Kay Kim kata MP DAP hanya pandai temberang


Mengaitkan tindakan memainkan lagu Negaraku di panggung wayang dengan era komunis adalah perbuatan keterlaluan dan tidak bertanggungjawab kerana menghormati lagu kebangsaan merupakan asas seorang warganegara.
Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata setiap warganegara seharusnya mempunyai 'pertalian' dengan Negaraku, dan mereka yang mempertikaikan langkah memainkan lagu itu dalam sesuatu acara seharusnya dikenakan tindakan.

"Apa yang dimaksudkan dengan komunis? Mereka yang mengaitkan Negaraku dengan komunis hanya pandai temberang, tidak banyak pengetahuan tetapi mahu berkata-kata," katanya kepada Bernama Khamis.

Khoo juga kesal kerana semangat menghormati lagu kebangsaan lebih menebal di dalam diri masyarakat di luar negara, berbanding rakyat Malaysia.

"Jika dikatakan itu (memainkan Negaraku di panggung wayang) sebagai komunis, adakah rakyat lain yang menunjukkan sikap kenegaraan tinggi semasa lagu kebangsaan mereka dimainkan juga komunis?" soalnya.

Semalam, Anggota Parlimen Kuching Chong Chieng Jen dari DAP dikecam kerana mempersoalkan lagu Negaraku dimainkan di pawagam semasa sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, dalam akaun Facebooknya.

Status Chong, antara lain, menyebut, "Since when has this playing national anthem in cinema started? Is Malaysia heading towards the communist Mao era where everywhere you go you must shout out loud and show that you are a patriot?"

Selepas mendapat komen reaksi negatif daripada pengguna laman sosial, Chong kemudiannya memohon maaf dan memadamkan status berkenaan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya Dr Mardiana Nordin pula berkata individu tidak seharusnya melihat 'keperluan untuk berdiri menghormati Negaraku sebagai satu bentuk paksaan yang keterlaluan', apatah lagi ia tidak mengambil masa yang lama.

"Sepatutnya individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan berasa malu pada diri sendiri kerana Negaraku apabila dimainkan di negara luar pada kejohanan sukan misalnya, mereka (orang luar) akan berdiri walaupun tidak memahami maksudnya," katanya.

Menghormati lagu kebangsaan juga merupakan satu cara untuk menzahirkan sikap patriotik dan cintakan negara dalam diri, berbeza daripada cara generasi terdahulu yang sanggup menggadai nyawa mendapatkan kemerdekaan, tambahnya.

Bagi Anggota Jawatankuasa Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Othman Lebar berpendapat perbuatan tidak menghormati lagu kebangsaan berpunca kerana sifat 'mengambil mudah' dengan kemakmuran negara.

Beliau yang berpeluang mengalami pengalaman berdiri di dalam panggung wayang baru-baru ini, juga kesal kerana terdapat segelintir masyarakat khususnya generasi Y yang tidak memandang serius keperluan menghormati lagu kebangsaan.

"Mereka yang melihat perlu menegur individu itu (tidak berdiri), namun disebabkan nilai masyarakat yang semakin berkurangan menyebabkan mereka hanya memandang, kerana bimbang dianggap mencampuri urusan orang," katanya.

Sementara di Kuching, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak, Abdullah Saidol melahirkan perasaan meluat dengan status Facebook Chong dan komen terhadap lagu kebangsaan itu tidak akan dilupakan walaupun Anggota Parlimen DAP itu sudah memohon maaf.

"Banyak orang telah membaca komen beliau (Chong) dan beliau sepatutnya malu dengan diri sendiri," kata Abdullah, menambah inisiatif untuk memainkan lagu itu di dalam panggung wayang untuk menimbulkan kesedaran pentingnya sambutan bulan kemerdekaan di Malaysia.

TGV Cinemas Sdn Bhd (TGV) dan Golden Screen Cinemas (GSC) pula memberitahu mereka tidak menerima aduan daripada penonton yang terganggu kerana perlu berdiri sebelum tayangan filem bermula.

Lagu Negaraku berkumandang di 70 pawangan seluruh negara bermula 28 Ogos lalu sehingga 16 Sept di GSC, manakala di TGV bermula juga 28 Ogos dan berakhir semalam.

Langkah ini hasil cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pengurus Kanan Pemasaran TGV Celeste Koay berkata mereka bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam memupuk semangat patriotisme dalam rakyat Malaysia.

"Kami berbangga apabila pelanggan kami, tidak mengira bangsa dan agama berdiri semasa Negaraku dimainkan," katanya dan turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama.

Sementara itu, jurucakap GSC pula memberitahu mereka bersedia untuk terus memainkan lagu Negaraku jika diminta untuk berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment