Perwakilan PAS mengutarakan kebimbangan terhadap kerapuhan pucuk pimpinan parti ekoran ianya akan menunjukkan kepada pihak lawan bahawa PAS kini berada dalam keadaan rapuh.
Perwakilan PAS Perak Noh Ahmad berkata, pemimpin parti kini dilihat teruja dengan ruang yang diberi untuk mengulas sesuatu perkara sehingga membelakangi pemimpin parti lain lantas mengelirukan penyokong diperingkat akar umbi.
"Pantang disua mic (microphone) dan pantang disua sesuatu perkara lantas diberikan berbagai pandangan dan penulisan yang menyebabkan kami dibawah ini berhadapan masalah dan susah hati.
"Sebab yang bertarung diatas adalah gajah sama gajah. Pelanduk-pelanduk yang dibawah ini walaupun cerdik macam mana pun tetap juga bimbang," ujarnya ketika sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar PAS ke-60, di sini, hari ini.
Katanya, kumpulan 'ustaz baru' yang bertindak keluar dewan ketika Timbalan Presiden Mohamad Sabu berucap ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS juga tidak harus dipandang enteng.
"Kita lihat sekarang ini, adik-adik kita tidak lagi mampu duduk macam kita dulu. Kita boleh bertamrin (bermesyuarat) tiga hari tiga malam.
"Tapi adik-adik kita hari ini dari sudut kekuatan jati diri agak kurang. Kita dulu bertengkar, bergaduh tapi tak keluar dewan. Adik-adik kita ini tak bertengkar tapi dia keluar dewan," ujarnya.
Tegasnya lagi, para pemimpin terutama Lembaga Disiplin dan Tatatertib perlu mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan ini agar 'wabak' negatif ini tidak menular seterusnya mencemar imej parti Islam itu.
No comments:
Post a Comment