Followers

rantau ku sayang

Thursday, September 4, 2014

Pengarah Kastam Negeri Antara 22 Dalang Sindiket Seludup Arak, Rokok - SPRM


Seorang pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri serta 11 pegawai kanan jabatan itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan arak dan rokok terbesar negara.

Turut ditahan serentak dalam operasi besar-besaran yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu adalah 10 pemilik syarikat dan ejen masing-masing serta pemandu lori yang membawa barangan yang diseludup dari gudang pelabuhan.

Pemeriksaan SPRM juga mengesan ratusan ribu ringgit dalam akaun setiap suspek, dipercayai hasil transaksi rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.

Difahamkan nilai ketirisan akibat aktiviti lari daripada cukai ini mencecah ratusan juta ringgit.Penahanan serentak di Zon Perdagangan Bebas Cukai (FTZ) bagi membanteras sindiket penyeludupan barangan tidak bercukai itu dijalankan serentak di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Sri Mohd Shukri Abdull berkata, tindakan menahan pihak terbabit hasil pemantauan lebih setahun di kawasan FTZ Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, kegiatan itu membabitkan transaksi rasuah kerana melindungi sindiket penyeludupan dan penyalahgunaan kemudahan di zon perdagangan berkenaan.

"SPRM percaya tangkapan ini berjaya menumpaskan dalang yang terbesar dalam aktiviti penyeludupan rokok dan arak, yang tidak dibayar duti kastam, di sebuah pelabuhan utama di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang," katanya petang Rabu.

Berdasarkan pemantauan SPRM, barangan yang tidak dibayar duti kastam membabitkan rokok dan arak yang diseludup untuk pasaran tempatan, manakala sebahagiannya dihantar untuk jualan di negara jiran secara haram.

Operasi yang diketuai SPRM bersama pasukan petugas khas bermula Selasa itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan CyberSecurity.

No comments:

Post a Comment