Followers

rantau ku sayang

Friday, September 12, 2014

PAS Minta PKR Hentikan Lakonan 'Drama Hindustan'


PAS berharap rakan sekutu mereka PKR menghentikan segera 'drama hindustan' sebagai strategi demi meraih simpati rakyat dalam melantik Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki berkata, PKR sewajarnya melihat teguran Abdul Hadi berhubung keupayaan Wan Azizah menerajui negeri itu sebagai "satu penghormatan" merujuk kemelut politik termasuk sejak era kebangkitan Reformasi 1998.

"Saya melihat teguran Abdul Hadi Awang itu bukan satu penghinaan, sebaliknya satu penghargaan malah satu penghormatan kepada Kak Wan yang telah melaksanakan peranannya sebagai seorang isteri mithali.

"Bagaimanapun, pada pandangan saya usaha untuk menobatkan Kak Wan sebagai MB akan menjadikan semua reputasinya sebagai isteri mithali sebelum ini tercemar.

"Tidak mustahil dia akan disebut selepas ini sebagai 'MB Boneka' atau lain-lain gelaran yang tidak manis. Lebih malang lagi, ia akan menjadi 'benchmark' kepada kepimpinan wanita dalam mengetuai teraju utama siyasah di Malaysia," katanya memetik laporan Malaysiakini semalam.

Beliau menegaskan, Wan Azizah terbukti gagal menangani masalah dalaman PKR ketika suaminya berada di dalam penjara sehingga menyebabkan ramai rakan karib Anwar meninggalkan perjuangan parti tersebut.

"Beliaulah kemudiannya menggalas harapan suaminya sebagai simbol golongan yang dizalimi, dengan memimpin Parti Keadilan Nasional (PKN) dan kemudiannya PKR.

"Meskipun demikian, mereka yang rapat dengan Kak Wan semasa dia memimpin PKN dan sekarang PKR mengetahui secara lebih mendalam keupayaannya dalam melaksanakan amanah kepimpinan.

"Kak Wan adalah seumpama Abu Zar al-Ghifari, seseorang yang ada kelebihan hebat di bidang selain daripada amanah kepimpinan," katanya.

Dr Zuhdi turut yakin dengan rakyat Selangor menolak Wan Azizah kerana mahu mengekalkan seorang pemimpin yang mempamerkan kehebatan, kecekapan dan kebijaksanaan seorang menteri besar seperti Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Sekarang adalah masa untuk menunjukkan model kepimpinan yang unggul di negeri Selangor, yang akan menjadi contoh sebagai negeri termaju yang juga dikenali dengan 'mini Malaysia'," katanya. 

No comments:

Post a Comment