Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Halimah Ali hari ini mempertahankan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai seorang yang bijak menguruskan kewangan negeri.
Meskipun Khalid sebelum ini digelar kedekut dalam menggunakan duit simpanan negeri, namun ujar Halimah ia adalah untuk kebaikan rakyat dan negeri.
"Ada satu masalah dengan Khalid iaitu saya nak minta duit susah. Berdasarkan pengalaman saya nak minta RM1 pun susah. Kalau anda ada alasan yang baik dan pelan terancang dan bagus untuk rakyat, maka Khalid akan luluskan. Tapi kena berhujahlah.
"Kalau tiada pelan terancang dan beliau tidak nampak ia berbaloi, memang Khalid tidak akan luluskan. Jadi jangan tanya (peruntukan)" katanya di sidang media sebentar tadi.
Sebelum ini Khalid beberapa kali ditegur oleh pimpinan bekas partinya PKR kerana tidak membelanjakan lebihan kewangan kerajaan negeri itu dengan baik.
Kerajaan negeri sehingga kini berjaya mengumpul rizab negeri berjumlah lebih RM3 bilion.
Melalui sidang media yang sama, Halimah turut membidas dakwaan Khalid sering bertindak bersendirian dalam membuat sesuatu keputusan penting membabitkan kepentingan negeri, termasuk di dalam isu penyelesaian penstrukturan semula industri air Selangor.
"Kebanyakan isu penting dibawa ke mesyuarat exco. Tetapi dalam isu air atau apa sekalipun MB memang akan bawa ke pengetahuan exco.
"Contoh MoU air pun beliau ada beritahu sebab kes air ini dah 5 tahun," demikian ujarnya.
Halimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang menyifatkan Khalid bukanlah seorang ketua yang bersikap terburu-buru di dalam membuat sebarang keputusan penting yang membabitkan rakyat dan negeri.
Pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini sebulat suara mahu menggugurkan Khalid setelah kecewa dengan menteri besar itu yang sering membelakangi prinsip parti dalam membuat sebarang keputusan.
Ini termasuklah di dalam isu pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), penstrukturan semula industri air dengan kerajaan pusat dan pembinaan Lebuhraya Kidex.
Menjawab pertanyaan mengenai perkembangan politik semasa di negeri itu, Halimah memberitahu kesemua empat Exco daripada PAS akan terus berkhidmat bersama Khalid sebagaimana yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti Islam itu.
Namun beliau enggan mengulas isu pertukaran jawatan nombor satu itu dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagaimana dipersetujui oleh pimpinan Pakatan Rakyat.
"Kita teruskan apa yang diperlukan. Kami dipilih oleh rakyat atas dasar Pakatan Rakyat. Yang politik itu pimpinan politik yang uruskan.
"Saya yang menurut perintah. Mereka suruh duduk sini, saya duduk sini. Suruh jaga rakyat, saya ikut, jika tidak RM3 bilion habis sekejap," katanya.
Sementara itu Halimah memberitahu tugasan di setiap portfolio bekas enam exco PKR dan DAP yang dipecat Khalid baru-baru ini dipikul secara 'collective responsibility' dimana mesyuarat bersama 'standing commitee' dan pegawai yang berkenaan akan diadakan setiap hari Selasa.
No comments:
Post a Comment