Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor yang dipecat pada petang Selasa, Ganabatirau Veraman hadir di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini untuk menjalankan tugas seperti biasa pada pagi Rabu.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah itu tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat Exco kerana telah dipecat.
"Saya terima panggilan dewan bahawa saya tidak boleh datang (mesyuarat Exco) kerana telah dipecat," katanya kepada pemberita.
Tidak lama selepas itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiba di pejabatnya untuk mempengerusikan mesyuarat exco kira-kira pukul 9.20 pagi.
Khalid bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung isu pemecatan enam exco DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diumumkannya lewat petang Selasa.
"Semua perkara ini akan dijelaskan pukul 2 petang selepas mesyuarat exco nanti," katanya.
Pada Selasa, Khalid mengesahkan telah memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memecat kesemua enam exco DAP dan PKR kerana menubuhkan gagasan untuk menghadkan kuasa beliau sebagai menteri besar.
Enam yang dipecat adalah Datuk Teng Chang Kim (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan), Rodziah Ismail (Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita), Ean Yong Hian Wah (Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram), Elizabeth Wong (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar), Dr Daroyah Alwi (Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Ganabatirau Veraman (Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin).
No comments:
Post a Comment