Kerajaan Australia menjadi mangsa kritikan terbaharu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan pendirian negara itu yang enggan campur tangan dalam urusan kehakiman di negara ini.Portal berita `The Sydney Morning Herald’ (http://www.smh.com.au) hari ini melaporkan, Anwar yang kini berada di Jakarta, Indonesia cuba mendapatkan sokongan Australia menjelang rayuan terakhir kes liwat membabitkan beliau di Mahkamah Persekutuan pada 28 Oktober ini.
Anwar mendakwa, bekas Perdana Menteri Australia, John Howard merupakan satu-satunya pemimpin tertinggi negara itu yang pernah membela beliau pada 1998.
“Kita berharap pelbagai negara, negara-negara Islam, Barat, Australia, bersikap konsisten dan koheren dalam menyatakan pendirian berhubung dasar luar mereka, bukannya berbelah bahagi, bukannya selalu bercanggah.
“Anda tidak boleh bercakap tentang kebebasan dan demokrasi di Afghanistan sedangkan anda tidak sedar langsung tentang realiti di negara-negara jiran,” katanya.
Anwar dilaporkan berada di Jakarta untuk berbincang dengan Senator Australia, Nicholas Xenophon bagi melancarkan kempen mendapatkan sokongan di peringkat antarabangsa sekiranya Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut gagal dalam rayuan terakhir kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar setelah beliau didapati bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari pada 2008.
Pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan apabila Anwar menerusi peguamnya, Ramkarpal Singh memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 10 Mac lalu.
Anwar turut menjelaskan, dua bekas Menteri Luar Australia, Kevin Rudd dan Stephen Smith yang ditemuinya beberapa tahun lalu cuma menyatakan mereka memantau perkembangan kes tersebut dan memberi pandangan melalui saluran diplomatik.
“Lebih daripada itu, mereka (kerajaan Australia) bersikap membisu,” katanya.
No comments:
Post a Comment