Lebih 20 perwakilan mahasiswa dari beberapa universiti utama di Lembah Klang menghantar memorandum kepada pihak polis bagi membantah program Pidato Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim: 40 Tahun Dari Universiti Malaya ke Penjara yang bakal berlangsung di Dataran Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), Isnin ini.
Pengerusi Penggerak UM, Wan Mohd. Suhail Wan Senu berkata, pihaknya membantah program tersebut berlangsung di dalam universiti berikutan bimbang ia disalahgunakan sebagai platform untuk menghasut dan mengeksploitasi mahasiswa ke jalanan bagi menyokong agenda politik peribadi Anwar seperti peristiwa reformasi 1998.
Beliau berkata, dia serta perwakilan universiti lain tidak mahu mahasiswa terus diperalatkan untuk menimbulkan kekacauan dan huru-hara dalam negara seperti berlaku ketika era Reformasi.
“Lebih merisaukan kami, Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), Fahmi Zainol atas kapasiti individu dengan lantang menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM) mengajak mahasiswa turun ke jalanan dan menyertai Himpunan Reformasi Rakyat Hakim Negara.
“Tindakan beliau itu tanpa sebarang persetujuan atau berunding bersama dengan 43 ahli MPP terlebih dahulu.
“Kenyataan Fahmi yang menyeru golongan mahasiswa untuk terlibat dalam himpunan reformasi itu bukanlah agenda yang sihat, malah dia secara nyata mencabar sistem kehakiman negara kerana mencampuri urusan perundangan dalam kes Anwar,” dakwanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum yang turut menuntut tiga perkara kepada wakil polis di Balai Polis Pantai, di sini hari ini.
Turut sama menyerahkan memorandum tersebut adalah perwakilan MPPUM, Mohd. Faridzwan Karim, perwakilan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta beberapa perwakilan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Berikutan kelangsungan program itu, Wan Mohd. Suhail berkata, pihaknya menuntut pihak polis mengambil perhatian tiga tuntutan dalam memorandum berkenaan termasuk untuk mengambil tindakan serius terhadap program tersebut bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
“Kami berharap polis boleh memberi jaminan keselamatan dan keamanan kampus sepanjang program tersebut berlangsung selain berusaha mengekang program tersebut dijadikan platform menghasut mahasiswa untuk membuat kekacauan sepertimana era Reformasi.
“Dalam pada itu, kami juga berharap polis dapat mengambil serius kenyataan Fahmi yang jelas menghasut mahasiswa dalam menjayakan agenda tersebut,” ujarnya yang bimbang program itu bakal menular ke lain-lain universiti sepertimana sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Pantai, Inspektor Mohd. Suhaibi Sulong ketika ditemui selepas menerima memorandum tersebut berkata, pihaknya akan meneliti dokumen itu sebelum tindakan lanjut dibuat.
No comments:
Post a Comment