PENAFIAN Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini bahawa badan itu mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengejutkan banyak pihak kerana parti itu memberikan kenyataan yang sebaliknya kepada mahkamah.
Ia menimbulkan persoalan bagaimana DAP boleh memberitahu mahkamah bahawa ROS mengiktiraf CEC parti itu tanpa pengetahuan dan arahan badan itu sehingga kes semakan kehakiman CEC DAP itu boleh ditarik balik dan direkodkan di hadapan hakim.
Untuk itu, wartawan Mingguan Malaysia, KASTHURI JEEVENDRAN mewancara bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim untuk mengulas isu tersebut termasuk kerjasama antara DAP, PKR dan Pas yang dilihat merugikan parti yang memperjuangkan Islam itu.
"DAP tetap DAP. Saya tidak faham bagaimana tiba-tiba mereka boleh sesuka hati kata ROS telah mengiktiraf mereka.
"Sudah jadi sifat mereka untuk putar-belit sekiranya perkara itu tidak memihak kepada mereka," ujar beliau.
MINGGUAN: Bagaimana Tunku melihat kerjasama pakatan rakyat sekarang terutama melibatkan DAP dan Pas?
.
TUNKU AZIZ : Sudah ramai yang telah memberikan komen tentang isu ini. Pemerhati politik malah ahli dalam kalangan pakatan pembangkang juga sudah menjangkakan hubungan ini tidak akan lama berkekalan. Jurang persefahamaan antara mereka seperti langit dengan bumi. Ketika ini pun, sudah ada bibit-bibit perpecahan. Bukan sekarang tetapi sejak dulu lagi, mendiang Karpal Singh yang sering berkata, ' Langkah mayat saya dulu sebelum pelaksanaan hukum hudud'. Begitulah sebenarnya kerjasama antara DAP dengan Pas. Mereka tidak akan lama dalam mengekalkan kerjasama dan persefahamaan ini. Kita sudah melihat petanda-petanda ini sekarang, walaupun pada mata kasar Pas tidak mahu meninggalkan pakatan pembangkang, bagi DAP mahupun PKR, Pas bukan apa-apa selain parti kuat di Kelantan. Pas seolah-olah bersembunyi di belakang DAP dan PKR hanya semata-mata untuk cita-cita ke Putrajaya. Itu sahaja yang membantutkan usaha Pas untuk tinggalkan DAP.
Sampai bila-bila sekalipun, Pas tidak akan berganjak daripada pelaksanaan negara Islam, undang-undang Syariah dan hukum hudud. Itu adalah prinsip dan perjuangan mereka dari awal lagi. Pas tidak akan sesekali berkompromi. DAP pula sebaliknya, yang akan bermatian-matian memastikan perkara itu tidak terjadi. Walau bagaimanapun, demi cita-cita dan nafsu untuk berkuasa sepenuhnya dalam politik maka mereka mendiamkan diri pada umum, kerana pertelingkahan itu tidak boleh diketahui oleh masyarakat umum. Tindak-tanduk ini sebenarnya mencerminkan retorik dan hipokrit sebenar pembangkang yang sanggup berbuat apa sahaja demi kuasa. Hanya semata-mata untuk mendapatkan undi terutamanya pengundi Islam dan Melayu, DAP hanya mendiamkan diri untuk seketika waktu sehingga masa yang sesuai.
Isu Menteri Besar Selangor baru-baru ini sudah cukup membuktikan 'warna sebenar' dan platform pembangkang yang boleh bergaduh sesama sendiri tanpa persefahamaan. Masing-masing tamak kuasa hanya untuk satu kerusi. Masing-masing tidak sepakat, masing-masing seolah-olah tidak punya prinsip. Bagaimana mereka ini boleh dipercayai untuk mentadbir negara apabila negeri pun mereka bergaduh antara satu sama lain demi kuasa. Rakyat bukanlah 'bodoh' sehingga boleh dimanipulasi. Kami nampak dan faham apa yang telah berlaku di Selangor. Saya takut sekiranya satu hari mereka menang ke Putrajaya, apakah nasib rakyat di negara ini? Adakah mereka akan bergaduh untuk kerusi selama 365 hari? Mereka akan bergaduh bagai gila untuk memilih calon Perdana Menteri. Rakyat perlu celik dan bangun, mereka perlu berhenti daripada dibuta-tulikan oleh pembangkang. Bibit-bibit kebencian yang ditanam oleh pembangkang terhadap UMNO dan BN telah menyebabkan rakyat buta melihat kebaikan UMNO dan BN. Pembangkang tidak pernah berbuat apa-apa sehingga sekarang. Celiklah sebelum terlambat.
Selama berada dalam DAP, apakah Tunku melihat kerjasama antara parti itu dan Pas sejak penubuhan pakatan adalah jujur dan demi rakyat ataupun hanya kerjasama pura-pura yang hipokrit?
TUNKU AZIZ: Apa yang saya dapat nilai, kesemua yang berlaku hanyalah retorik semata-mata. Apa yang lebih penting bagi mereka ialah memenangi pengundi Cina, untuk terus berkempen anti-UMNO selain propaganda serta penipuan yang dilambakkan kepada rakyat. Isu-isu bohong, isu-isu murahan terus menjatuhkan BN. Untuk menonjolkan kepada rakyat mereka lebih layak mentadbir negara. Untuk ini mereka sepakat dan bekerjasama. Untuk sepakat demi kebaikan dan kepentingan rakyat, itu adalah pembohongan. Mereka tidak bersetuju hanya kerana untuk membangkang. Tidak ada apa-apa rekod kerja mereka sehingga hari ini. Perubahan yang sering menjadi laungan adalah untuk mengaburi rakyat.
Pada penilaian Tunku, berapa lama kerjasama Pas-DAP dapat bertahan?
TUNKU AZIZ: Susah hendak jawab soalan ini. Retak hanya menanti belah sebenarnya. Retak itu semakin membesar. Saya rasa tidak lama lagilah. Dalam Pas sendiri, sudah ada perpecahan malah kepimpinan tertinggi turut dicabar oleh puak-puak dalam parti. Itupun ada juga campur tangan-tangan ghaib dari luar. Tidak cukup dengan itu, DAP juga sudah beberapa kali memberikan isyarat mereka tidak perlukan Pas lagi, apatah lagi mereka sudah ada negeri sendiri untuk ditadbir. DAP tidak akan 'merindui' Pas. Nampak seperti Pas yang beria-ia mahu mempertahankan hubungan ini. DAP sudah tidak begitu berminat dengan Pas. Agenda atau prinsip perjuangan Pas bukanlah sesuatu yang akan dipersetujui oleh DAP. Kita sudah boleh lihat daripada tindak- tanduk, kenyataan demi kenyataan selain 'pergaduhan' dalam media, kita sudah nampak hala tuju mereka. Pas lebih memerlukan DAP daripada DAP memerlukan Pas. Itulah hakikat senario ketika ini. Pahit tetapi benar.
Apakah dengan pemilihan Azmin Ali sebagai Menteri Besar baharu dapat membaiki hubungan retak menanti belah?
TUNKU AZIZ : Harapan itu begitulah. Tetapi kebarangkalian, susah kerana banyak isu sensitif. Sebagai contoh, isu Bible yang DAP paksa mahukan jalan penyelesaian drastik. Pelbagai isu sedang menyelubungi kita yang perlu diselesaikan. Isu-isu ini seperti kudis, jika tidak diubati akan terus menjadi lebih teruk. Azmin terpaksa memikul beban yang besar untuk menyelesaikan perkara-perkara ini. Ironinya, Azmin perlu menjaga hati pelbagai pihak dalam pakatan pembangkang. Isu-isu perlu diselesaikan mengikut citarasa dan kehendak mereka dan bukan kehendak rakyat.
Sama-samalah kita saksikan bagaimana efisien Azmin akan bekerja. Dengan keputusan-keputusan yang dibuat olehnya, sama ada retak semakin retak kerana masing-masing ikut kepala masing-masing atau sebaliknya. Terlalu awal untuk membuat sebarang andaian. PKR juga sebenarnya mengikut telunjuk DAP. Sebagai contoh, daripada empat jawatan Exco Pas telah dikurangkan kepada tiga di Selangor selepas Azmin ambil tampuk pemerintahan, begitu juga isu di Pulau Pinang. Seorang ahli majlis Pas telah 'dikeluarkan' tanpa alasan yang kukuh. PKR tidak bersuara mempertahankan kedudukan Pas. Ini juga petanda-petanda kecil namun petanda penting bahawa masing-masing tidak percaya antara satu sama lain. Sekiranya berlarutan, saya tidak tahu bagaimana survival Pas dalam pembangkang.
Pada pandangan Tunku adakah DAP boleh menerima Azmin Ali atau mungkin ada masalah lain yang timbul?
TUNKU AZIZ : Saya ingat Azmin tidak lama menjadi menteri besar. Saya ada terdengar desas-desus sudah ada gerakan untuk menjatuhkan Azmin. Tetapi semua itu terpulang, penerimaan dan kebijaksanaan masing-masing. Saya berikan contoh ketika saya masih dalam DAP pada awal tahun 2008 selepas Tan Sri Khalid mengambil tampuk pemerintahan. Ketika itu, DAP sangat menyenangi beliau. Kepimpinan beliau menjadi bualan DAP dalam setiap perjumpaan, mesyuarat dan ceramah mereka. Khalid akan dipuji bagai nak rak. Ini kerana ketika itu, Khalid sanggup membiarkan dirinya menjadi 'boneka' kepada DAP. Apa sahaja kehendak mereka, semuanya dituruti. Jawatan penting juga diberikan kepada mereka. Exco penting dalam kalangan DAP. Mereka sangat senang hati kerana setiap keputusan yang dibuat semuanya melibatkan kepentingan mereka. Itu pada awalnya. Khalid celik setelah beberapa lama bersama mereka. Apabila Khalid mula menunjukkan 'warna sebenar' beliau yang sangat memandang serius isu integriti dan rasuah, menyebabkan segelintir pemimpin pakatan pembangkang sudah mula tidak senang dengan dia. Perkara yang sama terjadi kepada saya, saya disukai pada awalnya sehingga dilantik menjadi Ahli Dewan Negara namun apabila saya tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh mereka, serta-merta mereka tidak menyenangi saya kononnya saya 'musuh' dalam selimut. Hakikatnya, kami (Tunku dan Khalid) ialah orang yang sudah bersumpah akan menjalankan tugas kami dengan penuh integriti serta amanah. Sumpah dan janji itu adalah untuk rakyat dan bukan untuk parti politik. Kami dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat dengan rakyat. Bukan menjadi hamba abdi kepada golongan-golongan yang menganggap diri mereka kebal dan 'tokong'. Kerana ini, kami menjadi tidak popular dan ditendang keluar. Sekurang-kurangnya kami amanah, sekurang-kurangnya kami tidak khianati rakyat.
Setahu saya, Azmin bukanlah 'boneka'. Beliau mempunyai gaya tersendiri dan tidak akan tunduk kepada kehendak sekutunya. Dari awal lagi, Azmin telah mempamerkan kelicikan, integriti dan kebijaksanaan yang tersendiri. Beliau akan buat perkara-perkara yang dirasakan betul dan amanah dan mungkin semua tindak-tanduk ini akan menggembirakan banyak pihak dalam pembangkang. Semua ini akan menyebabkan beliau mendapat lebih ramai musuh. Ramai akan gembira sekiranya Azmin pergi. Bukan mudah untuk mengawal Azmin. Dengan ini, mungkin Azmin akan dikeluarkan dengan lebih cepat berbanding Khalid. Jangka hayat beliau sebagai Menteri Besar pendek sebenarnya. Melainkan Azmin kekalkan hubungan 'manis' dengan DAP. Sentiasa menggembirakan hati DAP. Tetapi pada jangkaan saya, Azmin tidak akan berbuat demikian. Azmin perlu melakukan perkara yang betul dan jangan biarkan dirinya diperkotak-katikkan oleh sekutunya.
Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang terus menghentam Pas sebagai tidak boleh dipercayai kerana krisis Menteri Besar Selangor sedangkan Pas telah diketepikan sejak awal. Siapa sebenarnya pengkhianat dan tidak boleh dipercayai?
TUNKU AZIZ : Dalam hal ini, kita semua tahu. Siapa sebenarnya yang mulakan Langkah Kajang? Kenapa panggil Pas pengkhianat apabila PKR melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menjadi MB. Apabila dia tidak dapat menjadi menteri besar, dia letak isterinya pula. Mengapa tiada hujan dan ribut, ADUN sedia ada meletak jawatan dan memberi laluan kepada mereka? Rakyat memilih wakil rakyat untuk berkhidmat bukan untuk meletak jawatan dam sesuka hati bertanding kerana nafsu politik untuk terus berkuasa. Tidak dapat jadi Perdana Menteri, boleh jadi Menteri Besar pun tidak apa. Mengapa DAP berkompromi dengan tindakan sebegini seandainya slogan serta prinsip mereka demi ketelusan amanah dan kebajikan rakyat? Dalam hal ini, yang sebenar-benarnya tidak khianat pengundi ialah Pas. Kerana itulah Pas tidak menerima konspirasi Langkah Kajang malah menolak Wan Azizah sejak awal lagi.
Saya lebih percaya dengan Pas dalam hal ini daripada keputusan DAP yang hanya mahu tunduk kepada Anwar. Pas adalah mangsa bukan pengkhianat. Tindakan Guan Eng mengecam Pas adalah salah. Apabila Guan Eng tidak suka pada sesuatu, dia hanya akan mengkritik tanpa melihat baik dan buruk. Bagitulah juga dengan keadaan saya satu ketika dahulu, apabila saya disukai saya diletakkan di atas, apabila tidak - disepakkan.
Apakah kesepakatan dalam pakatan rakyat boleh bertahan jika Anwar tidak lagi jadi pemimpin besar dalam pakatan?
TUNKU AZIZ: Saya rasa pakatan pembangkang akan 'hancur' juga tidak kisah Anwar dalam penjara atau tidak. Kerana ketika ini juga, setiap tindak-tanduk Anwar menyebabkan perpecahan dalam pembangkang. Nafsu buas Anwar yang mahu terus berkuasa walaupun sebelum ini setiap langkahnya untuk berkuasa hanya tinggal separuh jalan. Apa bezanya kini dia dalam penjara atau tidak? Rata-rata pemimpin dalam pembangkang juga sudah mengenali siapa sebenarnya Anwar.
Mungkin jalan terbaik dalam isu ini Pas perlu keluar daripada pakatan dan pilih jalan sendiri. Apa pendapat Tunku?
TUNKU AZIZ: Lebih baik cepat keluar daripada sekutu pakatan, sebelum Pas hilang segala-galanya. Selagi ada maruah, keluarlah. Tidak guna bersekutu dengan DAP chauvinis yang hanya mementingkan Cina sahaja. Perjuangan Pas masih belum selesai, selagi dalam pembangkang, mereka hanya menjadi kuda tunggangan dan 'pak turut' sahaja.
No comments:
Post a Comment