Followers

rantau ku sayang

Monday, October 13, 2014

Oktoberfest: DAP lebih berkuasa daripada Azmin


Awang Selamat melalui kolum Bisik-Bisik dalam Utusan Malaysia hari ini menyifatkan kepimpinan baru Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang takut terhadap parti komponennya DAP.

Beliau berkata demikian ekoran kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap penganjuran pesta arak Oktoberfest di tempat letak kereta pusat beli-belah 1 Utama dekat Petaling Jaya, Selangor.

"Mengapa Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Azmin Ali tidak berani bertindak. DAP lebih berkuasa di Selangor, PKR cuma pak turut.

"Apa pun, Awang ucapkan 'tahniah' atas kemenangan moral pihak penganjur dan pakatan pembangkang kerana mengangkat budaya minuman keras di tanah air ini. Memang mereka menang, menang pula secara mudah. Itulah hakikatnya," katanya.

Isu Oktoberfest mengundang kontroversi apabila penganjurannya didakwa mengandungi ciri-ciri yang melanggar sensitiviti penganut agama  Islam.

Pesta berkenaan tetap berlangsung pada malam Jumaat lalu meskipun mendapat bantahan banyak pihak.

Oktoberfest mula berlangsung sejak 24 September lalu di Hotel Subang dan beberapa tempat di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sambutan tersebut dijadual berakhir hari ini dan bakal menarik perhatian 12,000 orang penggemar bir.

Malah Awang mempertikaikan sikap DAP yang tidak menghormati sensitiviti ahli parti yang beragama Islam dengan menghadiri pesta berkenaan sebagai tanda sokongan.

"Berdasarkan komen pemimpin DAP menerusi laman sosial, lebih 5, 000 hadir pada hari pertama. Mesej yang mahu disampaikan Oktoberfest berjaya biarpun mendapat kecaman banyak pihak.

"Sebagai tanda sokongan kepada penganjur, beberapa pemimpin DAP dan pemimpin bukan Islam PKR hadir memeriahkan pesta arak itu.

"Malah ada pemimpin parti itu yang bangga dengan kehadiran mereka serta mengeluarkan komen sinikal menerusi laman sosial sebagai provokasi halus ke atas pihak berkuasa," kata beliau lagi.

Awang juga tidak menolak sekiranya aktiviti seumpama ini tidak dikawal ia akan membarah ke dalam masyarakat sekaligus menjadikannya sebuah budaya di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"Awang melihat ia sebagai cubaan untuk menguji sejauh mana reaksi pihak berkuasa dan masyarakat. Inilah apa yang dikatakan pencerobohan besar (termasuk ancaman budaya) yang bermula dengan pencerobohan kecil.

"Jika didiamkan begitu sahaja, ia akan memberikan isyarat bahawa pesta arak seumpama itu sesuatu yang bukan sahaja diterima malah boleh diraikan secara besar-besaran di negara ini yang majoritinya beragama Islam.

"Tidak mengejutkan jika lebih banyak pesta seumpama itu akan diadakan dengan lebih hebat lagi," kata beliau kesal. 

No comments:

Post a Comment