Followers

rantau ku sayang

Tuesday, March 15, 2011

Memoir Mahathir: Ahmad Maslan Tidak Perlu Masuk Campur Isu Mahathir – Ku Li.



Ab Jalil Backer (jalil74@myjaring.net)
Setelah bertahun-tahun menunggu akhirnya Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad diterbitkan beberapa minggu lalu dengan tajuk “‘A Doctor in the House”. Beberapa tahun lalu saya difahamkan memoir ini hanya akan diterbitkan setelah Tun Mahathir meninggal dunia. Ia bagi mengelak konflik dan dan pertikaian yang tidak berkesudahan.

Namun entah mengapa tiba-tiba sahaja ia diterbitkan beberapa minggu lalu. Begitupun penerbitan memoir ini perlu dihargai sebagai satu khazanah ilmu dan pengalaman seorang mantan Perdana Menteri dan juga Perdana Menteri terakhir dari generasi pejuang kemerdekaan.

Seperti dijangka Memoir ini penuh kontroversi kerana ia ditulis berdasarkan pandangan dan pengalaman sendiri. Memoir Tun Mahathir ini merupakan autobiografi yakni ia ditulis dari perspektif personaliti terbabit bukannya melalui pandangan pihak ketiga seperti penulisan biografi. Penulisan autobiografi ini memberi ruang kepada membaca memahami pemikiran dan sudut pandangan pertama tokoh tertentu, atau dalam konteks ini Tun Mahathir terhadap keputusan dan tindakan yang beliau buat ketika itu.

Pendedahan apa yang ada di dalam minda Dr Mahathir dalam membuat sesuatu keputusan merupakan satu ilmu yang sangat besar ertinya dalam kajian-kajian akademik dan politik akan datang.
Namun autobiografi juga mempunyai kelemahan iaitu mereka yang menulis cenderung untuk mengkesampingkan unsur-unsur yang menunjukkan kelemahan, keburukan mahu pun kekurangan diri sendiri.


Saya tidak mengatakan memoir Dr. Mahathir penuh pembohongan mahupun terdapat penipuan. Begitu pun, memoir tidak boleh dianggap sebagai fakta dan bukti yang kukuh dan tepat hanya kerana ia ditulis berdasarkan sudut pandangan tokoh tersebut. Apa yang terdapat dalam memoir Dr. Mahathir adalah benar dan tepat dalam sudut pandangan beliau. Memoir ini juga berharga dalam kita memahami keputusan-keputusan yang diambil oleh Dr. Mahathir adalah berdasarkan maklumat-maklumat yang beliau ada dan yang disampaikan kepadanya.

Justeru, ketika kita menerima dan meraikan keterbukaan Dr. Mahathir mendedahkan pemikiran beliau terhadap keputusan-keputusan yang dibuat, adalah penting juga kita membenarkan mereka yang terbabit dalam pendedahan tersebut menyangkal atau menafikan sebarang kenyataan Dr. Mahathir yang membabitkan orang lain.

Dalam konteks inilah Ahli Parlimen Gua Musang dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) berhak mengkritik memoir Tun Mahathir yang memperkatakan dirinya.

Yang mengelirukan penulis mengapa Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, menghentam Ku Li kerana mengkritik Memoir Tun Mahathir. Malah Ahmad Maslan pergi lebih jauh dengan menyatakan apa yang terdapat dalam buku Memoir tersebut benar belaka.

Ahmad Maslan dilaporkan oleh Malaysiakini sebagai berkata, “Apa yang ditulis Mahathir dalam buku memoir karangannya berjudul “A Doctor in the House” mengenai Tengku Razaleigh adalah sesuatu yang benar. Apa yang benar tetap benar. Tun Dr Mahathir menyatakan perkara yang benar dalam bukunya.”

Apa kebolehan dan kemampuan ilmu Ahmad Maslan untuk menyatakan segala yang terkandung dalam memoir tersebut sebagai benar? Ahmad Maslan adalah pemimpin genarasi baru yang tidak berada dalam kemelut politik era Mahathir, Ku Li dan Musa. Jika orang seperti Tun Musa Hitam bersuara mungkin ada kredebiliti dan nilai keilmuannya kerana Musa merupakan antara pemimpin yang pernah berada dalam kedua-dua kem.

Namun Ahmad Maslan tidak punya apa-apa pengalaman sendiri dalam konflik Mahathir – Ku Li sepatutnya menjaga kewibawaan jawatan Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Sebagai orang yang bertanggung jawab mengkuhkan UMNO, beliau perlu ingat Ku Li juga ahli UMNO, ahli Parlimen Barisan Nasional, bekas Naib Presiden UMNO. Jika beliau lupa itu pun, ingatlah jasa Ku Li membantu merampas DUN Galas tempoh hari.

Pertikaian Mahathir – Ku Li adalah pertikaian dua pemimpin besar UMNO yang perlu diselesaikan oleh mereka berdua atau pemimpin sezaman mereka.

Sikap Ahmad Maslan yang mengambil jalan berpihak kepada Dr. Mahathir hanya kerana Mahathir berpengaruh dan Ku Li pula adalah Ketua Bahagian yang lanjut usia sekadar mencerminkan sikap tidak bertanggung jawab Ketua Penerangan UMNO.

Sekarang ini ramai mahu membela Mahathir kerana situasi politik yang telah berubah. Malangnya garang tidak bertempat mempertahankan Tun Mahathir tidak akan menguntungkan UMNO mahu pun Tun sendiri. Ini termasuklah Ahmad Maslan yang suatu ketika lalu tidak bersuara pun ketika Dr. Mahathir dibelasah dengan teruk oleh konco-konco Pak Lah.

Eloklah Ahmad Maslan menumpukan diri kepada pemerkasaan penerangan UMNO dan mempertahakan keputusan-keputusan kerajaan bukannya masuk campur dalam pertikaian pemimpin UMNO.

No comments:

Post a Comment