Followers

rantau ku sayang

Monday, October 29, 2012

MB Kedah Dicabar Akui Kerugian Projek Pembalakan Di Papua New Guinea



Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dicabar mengakui kerugian projek pembalakan di Papua New Guinea.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Azizan perlu mengakui projek pembalakan yang bernilai jutaan ringgit di Papua New Guinea adalah merugikan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Kalau dah rugi berniaga pembalakan sampai berjuta-juta ringgit, mengaku sajalah.

“Dia sebagai MB mana boleh kata saya tak tahu. Ketika itu Kedah Corporation Berhad (KCB) adalah di bawah kelolaan MB. MB kena bertanggungjawab kepada projek perniagaan itu,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan majlis korban perdana di Masjid Felda Lubuk Merbau di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah berkata, Azizan tidak seharusnya mencari kesalahan orang lain apabila diri sendiri melakukan kesalahan.

“Hari ini (semalam) dalam surat khabar dia kata nak dedah projek BN yang sakit. Projek itu ada, tapi dia langsung tak ada, tapi rugi berjuta-juta ringgit

“Maknanya dia patut bertanggungjawab. Saya cabar dia mengakulah projek itu rugi,” katanya.

Mengenai projek padang golf di Langkawi, Mahdzir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pedu berkata, sepatutnya projek itu diteruskan oleh Kerajaan Negeri setelah BN tewas dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) pada 2008.

“Projek itu sebenarnya sedang berjalan tapi sampai 2008 kita kalah, dia menang. Sepatutnya dia sambung projek itu, tapi dia tak sambung.

“Dia tak nak sambung sebab dalam itu ada tanah Melayu Islam Kedah (MIK) dan tanah Kerajaan Negeri yang perlu digabungkan untuk buat padang golf. Tapi dia tak sambung,” katanya.

Katanya, niat BN pada ketika itu adalah untuk membangunkan sebuah padang golf bertaraf antarabangsa agar orang ramai boleh mengadakan pertandingan di situ.

“Tapi hari ini (semalam), dia kata projek ini tak berjaya. Sebenarnya bukan tak berjaya, tapi sebab kita kalah dalam PRU12 pada tahun 2008, kita tak dapat sambung sebab dia dah jadi kerajaan,” katanya.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, Kerajaan Negeri terpaksa menanggung hutang yang ditinggalkan BN sejak mengambil alih pemerintahan.

Laporan itu menyebut, Azizan mengambil pendekatan ‘menyerang balik’ pemimpin BN yang sejak kebelakangan ini sering menyalahkan Kerajaan Negeri, terutama dirinya berhubung dakwaan penyelewengan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Beliau yang sebelum ini mengambil sikap berdiam diri, kini mendedahkan empat projek bawah kerajaan BN yang gagal sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri menanggung hutang.

Tuesday, October 23, 2012

Jawatan MB Kelantan: Dulu Nik Aziz Tolak, Sekarang Tak Puas-puas



Nampaknya tekanan agar Nik Aziz bersara semakin menjadi-jadi. Ramai di kalangan akar umbi PAS sendiri semakin resah dengan kesungguhan Tok Guru mereka untuk kekal berkuasa walaupun mereka enggan mengakuinya kerana terlalu taksub dengan ‘kewalian’ Tok Guru. 


PAS sendiri nampaknya ‘malu alah’ dengan kedegilan Nik Aziz untuk memahami kehendak rakyat Kelantan yang sudah tidak lagi yakin dengan kepimpinannya. Namun, sudah menjadi budaya orang Melayu itu untuk tidak berterus terang tetapi lebih senang mengata di belakang kononnya atas alasan hormat dan menjaga hati orang, terutama orang yang lebih tua, apatah lagi pemimpin bertaraf Ulama. Akibatnya, Nik Aziz mula kelihatan seperti seorang yang gila kuasa kerana enggan berundur walaupun telah tiba masa. 

Sedangkan, orang yang paling hebat dikritik PAS sebagai ‘gila kuasa’ suatu ketika dahulu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah pun berundur, walaupun sehingga ke hari ini, fizikal dan mental beliau masih kuat dan jauh melangkaui kemampuan manusia di usianya. Tetapi, Nik Aziz yang kononnya tawaduk lagi warak ini, tidak sanggup pula melepaskan jawatan walaupun sudah tidak mampu dari segala segi. 

Dalam ucapan tahniah oleh Presiden PAS atas ulangtahun 22 tahun kepimpinan Nik Aziz di Kelantan semalam, telah menyebut tentang bagaimana Nik Aziz pada ketika hendak dilantik sebagai MB telah telah menolak jawatan tersebut. 

Mungkinkah beliau sebenarnya ingin menyindir Nik Aziz, dengan harapan agar Nik Aziz kembali terfikir akan perubahan dirinya sehingga menjadi manusia yang gila kuasa dan sayangkan jawatan?

Nik Aziz telah menceburi politik sejak tahun 1967 iaitu 45 tahun dahulu. Dari jangkamasa itu, beliau telah pun menjadi Menteri Besar selama 22 tahun. Tidak mungkin beliau belum puas berpolitik lagi. Jika nak dikatakan yang beliau masih punya perancangan untuk Kelantan yang perlu dilaksanakan, adalah tidak logik kerana tempoh itu sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk beliau melaksanakan apa jua rancangannya. Sedangkan dalam tempoh yang sama, Tun Mahathir berjaya membangunkan sebuah negara dari negara ketiga menjadi Harimau Asia yang dicontohi dan dikagumi serata dunia. 


Maka, jelaslah tidak ada alasan yang konkrit bagi Nik Aziz untuk terus kekal berkuasa selain dari, gila kuasa. Jika benar beliau seorang yang tawaduk sebagaimana 22 tahun lepas di mana beliau menolak jawatan Menteri Besar, maka beliau pasti akan berundur dengan sendirinya, tanpa perlu disindir, disuruh atau dipaksa memandangkan keadaan fizikal dan mental beliau yang semakin hari semakin kronik. 

Jawapan yang diberi Nik Aziz ketika ditanya mengenai sama ada beliau akan bertanding lagi membuktikan yang beliau enggan berundur. Katanya, beliau menyerahkan ‘nasibnya’ kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak dalam pilihanraya kali ini. 

Sedangkan ‘kepimpinan tertinggi’ itu adalah beliau sendiri iaitu sebagai Mursyidul Am, satu jawatan yang mengatasi Presiden, yang terletak dalam kategorinya yang tersendiri, yang berhak mengampun dan menghukum manusia lain, tidak boleh dikritik atau disentuh hatta maksum, mengikut pemikirannya. 

Berdasarkan hakikat ini, beliau cukup maklum yang tiada siapa di dalam PAS yang sanggup untuk menyatakan secara terus terang yang beliau tidak lagi diperlukan oleh rakyat Kelantan dan perlu berundur. 

Jelas, jawapan yang diberikan hanyalah jawapan politik yang berniat untuk memperdaya rakyat. Nik Aziz tidak ada niat langsung untuk berundur selagi hayat masih ada. Beliau yakin jika rakyat Kelantan sanggup berada di bawah pemerintahannya yang tidak membawa apa-apa perubahan kepada mereka selama 22 tahun, maka apakah yang menghalang mereka untuk terus berada di bawahnya bagi beberapa tahun lagi? Jika air berkarat, kotor dan tidak cukup bekalan tidak pernah menjadi masalah selama hidup mereka, kenapa ia perlu menjadi masalah sekarang? Jika rakyat tidak kisah berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki selama ini, maka kenapa pula mereka akan kisah mengenai perkara itu sekarang? 

Belum ada rakyat Kelantan yang mati kerana bekalan air kotor atau tidak cukup. Nik Aziz pula tidak pernah menghalang rakyat miskin untuk mencari rezeki di negeri lain, jadi apa masalahnya? Rakyat hidup seperti biasa, dan beliau akan terus menjadi MB, seperti biasa juga. 

Apapun, jika benar Nik Aziz ingin bertanding lagi, maka nasib beliau akan ditentukan oleh rakyat Kelantan sendiri, sama ada beliau akan terus menjadi MB atau bekas MB selepas PRU nanti. 

Monday, October 22, 2012

Bukit Kepong: Mahkamah tolak permohonan Mat Sabu



GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak permohonan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu untuk mengetepikan pertuduhan terhadapnya yang membuat tohmahan memburukkan nama baik 25 anggota polis serta keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor dekat sini.
Hakim Mohd Amin Firdaus Abdullah yang membuat keputusan itu juga mengarahkan agar perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Sesyen terhadap Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, diteruskan.
Bagaimanapun, tarikh baru bagi menyambung perbicaraan kes itu masih belum ditetapkan lagi.
Penolakan permohonan itu juga adalah kali kedua selepas Mahkamah yang sama menolak permohonan Mat Sabu, pada Februari lepas, Mat Sabu, 57, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Suhaimi Ibrahim manakala Mat Sabu diwakili peguam Aminuddin Zulkifli dan Mohamed Hanipa Maidin.- Bernama

Friday, October 19, 2012

La tak do kojo lain ko nak cari salah pemimpin !!

Lama juga Cili api tak numbuk dan ngayam kek jubo sapo sapo sobab mikirkan  hari nak Pilihanraya , tak nak lah bercakar sesamo sendiri. Tapi saban hari ado yo yang nyolok macam nyolok buah yang tak gugur gugur. Yang bestnya tu , yang di jolok adalah buah yang tak masak dan ada yang kata  cerita yang sengaja  direka untuk memburukkan  MB Negeri Sembilan. Ini adalah cerita telor setengah masak. 3/4 tipu.

Banyak blog Pro UMNO dan BN sudah angkat tangan tak mahu menyerang sesama sendiri dan juga pemimpin sendiri , tapi lain pulak dengan satu blog ini yang diupah kot oleh orang orang yang tertentu untuk terus menyerang MB Negeri Sembilan. Dato' Seri Haji Mohamad Haji Hasan. " carilah apo apo pun asalkan nyerang , kata boss blogger ini kot." sobab cerita sampah pun dikais eh nak dijadikan sesuatu untuk memburukkan MB Negeri Sembilan ini.Blog ni sah sah memang tak ponah muji kebaikan MB. Yang di cari yang salah , tak salah pun jadi salah.

IO LAH NAK KATO MAT HASAN TAK KOJO TAK BULEH : ACU TENGUK LAH   http://www.n9kini.net. 

Tak ada bondo yang nak dijolok , cari yo asalkan boleh tulis dan dapatkan bayaran. Berjuanglah dengan keikhlasan. Rakyat tahu menilai , tak payah lah nak  buruk buruk kan umah tanggo sendiri. Kalau boto tak apo , tapi banyak yang saja di drag untuk dijadikan cerito. Lantak kek kau lah jang , blog kau. tapi hati hati bilo menulis tuh .....

Sian , susah gak hidup diorang ini bilo PM ngan TPM tak ado masalah ngan MB. Tuh lah cakap macam halilintar , konon eh PM noga cakap dio , kata ada orang tuh lah.... bila PM datang PM tak layan pun orang tuh ...tuh yang terpaksa gunakan bloggers untuk  burukkkan PM, Apolah sangat blog tu..bukan ramai orang yang baco pun .Ni tongah paneh miang agak eh....orang buek tak tahu yo ..tulih lah apo pun MB tetap berdiri tegas dan tetap pendiriannya meneruskan amanah rakyat.



Thursday, October 18, 2012

Nasharudin desak Guan Eng tarik balik kenyataan berhubung hudud



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menarik balik dan meminta maaf secara terbuka berhubung kenyataan beliau sebelum ini untuk tidak menerima hudud atas semangat pakatan pembangkang.

Beliau berkata, kenyataan terbaru kepimpinan DAP itu bercanggah dengan pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menekankan hudud adalah kewajipan dan bukan keperluan.

“Pendirian Lim Guan Eng bercanggah dengan semangat persepakatan dan beliau perlu menarik balik dan minta maaf secepat mungkin.

“Malah, ada di kalangan ahli DAP pernah menyuarakan ketidakselesaan terhadap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat Dewan Negara di sini, hari ini.

Audit Negeri Kedah Paling Teruk! Bukti PAS Tak Mampu Memeritah



Rata-rata Laporan Audit negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat menunjukkan kelemahan di sana sini dan langsung tidak menggambarkan ketelusan atau kecekapan yang jauh lebih baik dari Barisan Nasional sepertimana yang digembar-gemburkan mereka.
Namun begitu, rasanya tidak salah jika dikatakan bahawa kelemahan pentadbiran Kedah berada di kelasnya yang tersendiri – iaitu paling bawah antara semua negeri-negeri lain kerana sifatnya yang 'tidak masuk akal'.

Walaupun kita cukup maklum akan kelemahan PAS Kedah dalam mentadbir, tetapi apa yang terdedah melalui Laporan Audit 2011 ini adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima oleh akal yang waras.

Kita tidak dapat memahami bagaimana sebuah kerajaan negeri boleh terlepas pandang perkara asas seperti lesen kontraktor, dalam pemberian projek jutaan ringgit.

Perkara ini melibatkan 5 kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan berjumlah RM2.55 juta pada tahun 2010 dan 2011 bagi beberapa projek Perumahan Awam. Selain tidak berdaftar, Pengarah bagi 5 syarikat tersebut pula didapati mempunyai hubungan kekeluargaan antara satu sama lain.

Bukan itu sahaja, audit juga mendapati sejumlah RM0.50 juta telah dibayar kepada kontraktor berkenaan menggunakan akaun bank dan nombor pendaftaran syarikat lain. Tidak terhenti di situ, audit juga menemui beberapa tuntutan berulang dalam baucar yang sama bagi kerja dan rumah yang sama yang mana, yang mana semakan rambang kemudiannya menunjukkan yang kerja yang disahkan siap itu telah tidak dilaksanakan serta beberapa rumah yang dimaksudkan adalah sebenarnya tidak wujud!

Selain itu, penemuan audit dalam Projek Pembalakan Dan Perladangan Di Papua New Guinea juga menyebabkan kita menggeleng-gelengkan kepala. Projek yang dikritik sebagai berisiko ini melibatkan pinjaman pesisir pantai berjumlah USD44 juta yang diperolehi melalui Capital Investment Agency (CIA) iaitu sebuah syarikat perunding kewangan yang berpejabat di London.

Entah bagaimana dan kenapa, pinjaman yang sebegitu besar ini telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan projek tanpa kelulusan Lembaga Pengerah malah, bayaran juga telah dibuat kepada syarikat perunding dan yuran guaman walaupun projek tersebut telah dibatalkan.

Audit juga mendapati pinjaman berjumlah RM3.01 juta daripada 5 syarikat lain untuk menampung kos perbelanjaan di Papua New Guinea juga telah dibuat oleh Pengarah Urusan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah dan pinjaman tersebut pula dilakukan tanpa perjanjian dan tanpa dokumen sokongan yang lengkap.

Begitu juga dengan Projek 99 East di Langkawi yang mana menyebabkan Kedah Corp. Berhad terpaksa menanggung kerugian besar atas alasan yang tidak masuk akal iaitu melanggar syarat perjanjian tanpa sebab yang konkrit.

Penulis tidak berniat untuk mengulas panjang, tetapi cukup bagi rakyat Kedah untuk menilai pentadbiran PAS melalui menilai 3 projek ini sahaja. Apa yang dapat dilihat ialah amalan kronisme, korupsi, ketidakcekapan dan kelemahan keseluruhan jentera pentadbiran PAS Kedah. Seolah-olah tiada sistem jelas berkenaan kelulusan sesuatu projek di mana sesuatu pihak boleh dengan sewenang-wenang membelakangkan kerajaan negeri dan Menteri Besar dalam membuat keputusan termasuk yang melibatkan jutaan ringgit wang rakyat.

Ini juga membuktikan betapa kepimpinan Dato' Seri Azizan Razak tidak mempunyai kawalan atau mungkin juga pengetahuan langsung berkenaan apa yang berlaku di dalam negerinya, seperti siapa yang membelanjakan wang negeri, untuk apa dan ke mana akhirnya.

Keseluruhan audit juga menunjukkan pengurangan yang drastik dalam lebihan pendapatan iaitu daripada lebih RM20 juta pada tahun 2010, menjadi hanya RM2 juta lebih bagi tahun 2011. Alasan yang diberi adalah bagi menampung kos pentadbiran. Namun, dari apa yang dilihat nampaknya begitu banyak wang negeri telah dileburkan untuk projek-projek yang sama ada tidak sesuai, berisiko tinggi sehingga akhirnya tidak terlaksana atau gagal sama sekali, semata-mata kerana pentadbiran dan kepimpinan negeri begitu lemah, tidak cekap dan mengamalkan rasuah dan kronisme.

Rakyat Kedah wajar mendesak siasatan lanjut dilakukan terhadap mereka-mereka yang terlibat sehingga menyebabkan begitu banyak kerugian dialami oleh negeri.

Monday, October 15, 2012

Nakhaie Sokong Haron Din Ganti Nik Aziz



Cadangan supaya Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada Timbalannya, Datuk Dr Haron Din mendapat sokongan seorang bekas naib presiden parti. 

Datuk Nakhaie Ahmad, berkata saranan oleh Datuk Dr Hasan Ali yang juga bekas Naib Presiden parti memang bertepatan bagi memastikan keutuhan parti berkenaan. 

Namun, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membidas Hasan yang menurutnya tidak layak mempersoalkan kedudukan Nik Aziz dan mencadangkan Haron sebagai pengganti. 

Kepemimpinan PAS pun tidak berbunyi, malah selesa dengan kepemimpinan yang ada. Beliau (Hasan) boleh diibaratkan sebagai bekas menantu yang cuba menasihati bekas mentua sedangkan hakikatnya mereka tiada sebarang kaitan lagi, katanya. 

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hasan, pula berkata Pemuda PAS tidak akan melayan sebarang campur tangan pihak yang tidak ada kaitan dengan PAS berhubung isu dalaman parti. 

Hasan diingatkan jangan mencampuri urusan PAS, biarkan ahli dan kepemimpinan yang menentukan perkara itu, katanya ringkas. 

Mengulas lanjut, Nakhaie, berkata sejak kebelakangan ini banyak kenyataan Nik Aziz bertentangan dengan prinsip parti yang memperjuangkan negara Islam sebagai teras, malah ada ketikanya terlalu memuji DAP hingga mengakibatkan PAS dilihat berpuak-puak. 

Ada ketikanya pimpinan PAS lain terpaksa mempertahankan semua kenyataannya walaupun kadangkala ia memberikan impak negatif terhadap parti, katanya semalam. 

Hasan dalam laporan akhbar semalam, meminta Nik Aziz menyerahkan jawatan itu kepada Haron demi menjaga keutuhan parti. Beliau dipetik sebagai berkata, sudah sampai masanya Nik Aziz menyerahkan tanggungjawab besar itu kepada Haron bagi menjamin martabat PAS sebagai penjaga perjuangan Islam. 

Nakhaie berkata, Nik Aziz kini dilihat sebagai liabiliti kepada PAS, justeru Haron adalah pengganti terbaik. 

Jika ketika ramai pemimpin lain mengkritik kelantangan DAP mempertikaikan pelaksanaan hukum hudud, Nik Aziz menentang arus yang secara terang menyokong DAP dan jelas tidak selari dengan perjuangan parti.

Ini banyak menimbulkan kemarahan ahli, pengikut mahupun pemimpin tetapi mereka tidak menyuarakannya disebabkan rasa hormat kepada beliau, sedangkan hakikatnya mereka tidak dapat menerima kenyataan itu, katanya. 

Sementara itu, PAS menubuhkan jawatankuasa khas untuk menemui Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad pada masa terdekat bagi menjelaskan situasi terkini parti. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad, berkata langkah itu diambil kerana PAS berpendapat ahli seumur hidup PAS terbabit mendapat maklumat salah mengenai parti. 

Jawatankuasa yang turut dianggotai wakil Lujnah Seni dan ulama ini akan cuba berjumpa dengan beliau dan beri maklumat betul berhubung parti ini kerana kami menganggap selama ini beliau banyak bergantung kepada berita dan khabar angin saja, katanya ketika dihubungi BH di sini, malam tadi. 

Baru-baru ini, Shahnon yang juga Sasterawan Negara, mengakui perjuangan politik PAS kini tersasar daripada asas perjuangan asal parti dan kehendak Islam. 

Friday, October 12, 2012

Bajet pembangkang jahanamkan rakyat, negara - Muhyiddin



MIRI 11 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas bajet pembangkang sebagai bajet mengelirukan yang boleh menjahanamkan rakyat dan negara selain tidak berasaskan prinsip belanjawan baik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika bajet tersebut dijadikan asas oleh pembangkang untuk menunjukkan keupayaan mereka, keadaan itu jelas membuktikan mereka tidak bijak mengurus negara.

"Mereka kata ada mengurangkan defisit (fiskal) 3.5 peratus kononnya lebih baik daripada empat peratus yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi sebenarnya bila kita kira balik, adalah 7.5 peratus.

"Kalau Malaysia mencatatkan kadar defisit (fiskal) 7.5 peratus, ini boleh menjejaskan penarafan dan dunia akan kata Malaysia berada dalam keadaan teruk, bila begitu tentu pelaburan tidak akan masuk," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Tanjung Bungai, Bekenu di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa bajet pembangkang sekiranya dilaksanakan hanya akan mengakibatkan negara jatuh bankrap.

Keadaan itu berlaku disebabkan pemimpin pembangkang dilihat 'lemah matematik' apabila beberapa perkara penting dan inisiatif yang dijanjikan tidak diambil kira dalam bajet bayangan yang mereka kemukakan baru-baru ini.

Sementara itu, Muhyiddin sewaktu berucap pada majlis berkenaan turut menyindir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sibuk membentangkan bajetnya sewaktu Perdana Menteri bersedia membentangkan Bajet 2013.

"Tuan puan dah baca bajet dia? Tak payah baca pun tak apa tetapi bajet Perdana Menteri kena baca, ada 111 titik sentuhan kepada rakyat dalam belanjawan (bajet), tetapi Anwar Ibrahim tiada titik sentuhan.

"Anehnya dia tidak pandai kira, bila kita buat bajet dia buat bajet, kononnya kalau pilih saya, inilah belanjawannya," katanya.

Dalam ucapannya itu, Muhyiddn turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM5 juta khas untuk membangunkan sektor pelancongan di kawasan Sibuti.

Wednesday, October 10, 2012

Kronisme: Karpal Singh Tempelak Anwar Ibrahim


Kronisme, nepotisme, merupakan antara tuduhan-tuduhan yang sering dibuat oleh Pakatan Rakyat terhadap Barisan nasional walaupun yang jelas mengamalkanya adalah mereka sendiri. 

Sedangkan pemimpin BN yang dituduh mereka mengutamakan anak atau sepupu dalam pemberian jawatan itu tidak pernah mengamalkan nepotisme tetapi kesemua yang terlibat telah membuktikan kredibiliti dan ‘naik ke atas’ melalui anak tangga yang sah. Lebih dari itu, tiada mana-mana pemimpin BN yang ahli keluarganya memegang jawatan dalam era yang sama, sekali gus membuktikan bahawa kedudukan mereka itu bukanlah diperolehi secara automatik. 

Sebaliknya bagi pemimpin-pemimpin PR, anak dan menantu mereka dilantik secara langsung ke jawatan yang tinggi, seolah-olah bersiap sedia untuk mewarisi takhta yang menjadi hak keluarga mereka. Jelas, demokrasi adalah sesuatu yang objektif dalam pentadbiran Pakatan Rakyat dan ini terbukti apabila Ketua Umum mereka sendiri bukanlah dilantik melalui proses demokrasi.

Kabinet Bayangan yang dibentangkan PKR juga telah menyerlahkan lagi amalan nepotisme tahap tertinggi dalam parti yang cakap tidak serupa bikin tersebut. Anwar Ibrahim yang melantik dirinya sendiri sebagai bakal Perdana Menteri telah meletakkan isterinya, sebagai Menteri di Jabatan PM dan anaknya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. 

Bagi membela PR, Karpal Singh telah membuat kenyataan paling lucu dalam sejarah politik dengan menggesa rakyat agar tidak bimbang dengan amalan nepotisme di dalam PR. Alasannya, semua isteri, anak atau menantu pemimpin PR yang memegang jawatan telah membuktikan kredibiliti dan kelayakan masing-masing. Namun, di masa yang sama, Karpal turut menafikan yang partinya mengiktiraf senarai Kabinet Bayangan yang dikeluarkan PKR. 

Kenyataan ini dilihat sebagai usaha yang paling menyedihkan bagi Karpal untuk menjustifikasi amalan nepotisme di dalam PR. 

Apalah sangat yang telah dibuktikan oleh Nurul Izzah yang menjadikan beliau layak memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan? Dan apakah keengganan Karpal untuk mengiktiraf Kabinet Bayangan tersebut adalah kerana beliau merasakan anaknya, Gobind Singh, lebih layak dari Nurul Izzah untuk jawatan itu? 

Inilah dilemma yang dapat kita kesan dalam diri Karpal di mana beliau ingin sekali mengkritik amalan nepotisme Anwar tetapi tidak mampu kerana beliau dan parti beliau sendiri mengamalkannya. 

Rakyat sedia maklum bahawa seperti juga PKR, DAP turut ‘membudayakan’ nepotisme di mana Lim Kit Siang, yang pernah memegang jawatan Setiausaha Agung parti dan juga Pengerusi telah memastikan yang anaknya, Lim Guan Eng melalui jejak yang sama. Lim Guan Eng kini Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang juga tidak lupa mengheret isterinya, Betty Chew ke dalam politik. Betty Chew kini ialah Ahli Parlimen di Melaka. Dan sudah pasti, jawatan Menteri juga menunggu Betty Chew jika PR memerintah negara ini. 

Begitu juga Nik Aziz, Mursyidul Am PAS turut memastikan anaknya, Nik Abduh menyusuri jejak politiknya melalui jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat. Menantunya, Ariff Fahmi pula, menuruti jejaknya dari luar politik melalui jawatan Ketua Pegawai Eksekutif PMBK. Pendek kata, PR sentiasa mengamalkan nepotisme tak kira di mana, iaitu dalam politik mahupun dalam pentadbiran negeri. Nampaknya, kemungkinan besar Nik Abduh dan Ariff Fahmi juga akan dilantik ke kabinet jika PR memerintah. 

Jika anak-anak pemimpin BN yang terlibat dalam politik telah benar-benar membuktikan kebolehan serta telah pun menabur jasa yang tak kurang banyaknya kepada rakyat dan negara, bolehkah pemimpin PR berkata yang sama mengenai isteri, anak dan menantu mereka? 

Anak-anak pemimpin BN seperti Dato’ Mukhriz Mahathir dan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri telah lama mencurah bakti menjayakan program-program keusahawanan, belia dan berbagai-bagai lagi sepanjang hidup mereka sebelum dan setelah berada di kedudukan mereka sekarang. 

Tetapi, apakah jasa-jasa yang begitu signifikan yang pernah dicurahkan oleh Nurul, Gobind, Guan Eng atau Betty yang mengatasi jasa-jasa pemimpin kecil PKR dan DAP yang lain yang melayakkan mereka memegang jawatan penting parti dan menjadi menteri kabinet sekiranya PR memerintah?

Tuesday, October 9, 2012

PKR Selangor Desak Faekah Letak Jawatan




Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Borhan Aman Shah mendesak Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin meletak jawatan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan boleh mencetuskan kekeliruan dan salah faham dalam Pakatan Rakyat (PR).

Borhan berkata, desakan itu dibuat kerana Faekah didakwa mengkritik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali secara terbuka menerusi sebuah portal berita baru-baru ini.

Menurutnya, beliau berharap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

“Kami selaku pemimpin-pemimpin PKR Selangor mendesak agar pimpinan pusat mengambil tindakan keras terhadap Faekah.

“Faekah perlu meletakkan jawatannya dengan serta-merta dan kami faham kuasa penuh ada di tangan Menteri Besar untuk membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya pada sidang media di pejabat PKR Selangor di sini semalam.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Azmin mengeluarkan kenyataan Abduk Khalid akan dilantik sebagai menteri pusat sekiranya PR berjaya merampas Putrajaya.

Dalam pada itu, Azmin menafikan membuat kenyataan seperti itu dan Faekah mempersoalkan niatnya itu.

Tindakan Faekah itu menyebabkan beliau ditegur oleh Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Faekah diingatkan supaya tidak memberi kenyataan secara membuta tuli kerana boleh mengeruhkan lagi hubungan antara pimpinan parti.

Borhan berkata, beliau mempersoalkan tindakan Faekah mengkritik Azmin secara terbuka kerana dia tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam parti.

Katanya, Faekah perlu ingat bahawa Azmin mengeluarkan kenyataan berdasarkan kapasiti selaku timbalan presiden, pengerusi majlis pimpinan negeri merangkap pengarah pilihan raya.

“Perkara ini dah berlaku berulang kali dan kita harap Faekah lebih teliti pada masa akan datang sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Sebarang komen perlu dirujuk terlebih dahulu kerana kita khuatir perkara seumpama ini boleh menimbulkan pertelingkahan,” katanya.

Dalam pada itu, semalam Sinar Harian Online melaporkan Faekah mengambil pendirian tidak akan mengulas lagi isu melibatkan kedudukan Menteri Besar.

Faekah juga akur dengan teguran kepimpinan PKR supaya tidak membuat kenyataan balas mengenai isu berkenaan.

Sunday, October 7, 2012

Mampukah MACA mengekang isu rasuah?? MACA?? Apa tuuu??

 LOGO Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA)

MACA tawar program anti rasuah

Malaysia bakal menjadi pusat kecemerlangan anti rasuah antarabangsa menerusi program peringkat Sarjana yang ditawarkan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini mulai 9 Disember depan.

Program selama dua tahun itu bukan saja ditawarkan kepada golongan profesional anti rasuah dan pihak berkuasa tempatan malah terbuka kepada peserta dari luar negara termasuk pengamal undang-undang seperti hakim.

Bagi memastikan program dilaksana dan dirancang secara teliti, akademi melantik enam pakar dalam pelbagai bidang khususnya yang berpengalaman dalam usaha memerangi rasuah peringkat global untuk memberi nasihat kepada akademi itu.
 
Ia dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Malaysia dipilih IAACA

Lima lagi ahli yang dilantik, Ketua Cawangan Ekonomi dan Jenayah, Bahagian Perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), Dimitri Vlassis.

Setiausaha Agung Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat kuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA), Dr Ye Feng; Pengerusi Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA), Martin Kreutner; bekas Timbalan Pesuruhjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong, Daniel Li dan perunding antarabangsa, Dr Chris Saville.
 
Sehubungan itu, Abu Kassim mewakili SPRM memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan IACA diwakili Kreutner.

Abu Kassim berkata, Malaysia satu-satunya negara yang dipilih IACA untuk mengendalikan satu daripada tujuh modul yang diperkenalkan selain Vienna, Austria.

Terdahulu, Abu Kassim mewakili SPRM menandatangani MoU dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan Thailand (NACC) bagi mewujud kerjasama dalam mencegah dan membanteras rasuah yang diwakili Pesuruhjaya Profesor Pakdee Pothisiri.

Ciliapi blogger;
Tahniah Malaysia, kerana di pilih oleh IAACA bagi menangani isu rasuah di peringkat antarabangsa.. walaupun di pilih.. ianya memberi kesan yang baik kepada industri dan perkhidmatan negara ini untuk mencapai minimum gejala rasuah. 

Secara tidak langsung, dunia mengiktiraf Malaysia sebuah negara kurang rasuah walaupun kerajaan dituduh melakukan pelbagai rasuah.. Rakyat negara ini perlu yakin dengan kebolehan dan ketegasan kerajaan menangani isu tersebut. Tidak berguna kita mendapat tawaran pelbagai.. Tetapi masih ada lagi yang masih terpalit dengan fikiran rasuah, rasuah, rasuah.. sedangkan rasuah boleh dielakkan, jika kita sebagai individu jujur dalam hidup.. 

Rasuah tidak boleh dikaitkan dengan parti.. ini kerja individu.. hanya indvidu mengamalkan rasuah dan menerima rasuah.. kita perlu tolaklah  individu seperti ini..
 

Sumber : n9kini.com

Saturday, October 6, 2012

Anwar lari lagi.. Kata pakar ekonomi.. Kenapa ke Paris???


ANWAR KE PARIS KETIKA PEMBENTANGAN BAJET 2013, ANWAR DAN PROGRAM JESUIT PERLU DIBONGKAR
 
Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup ke Paris, Perancis ketika sesi perbahasan Bajet 2013 sedang berlangsung menunjukkan beliau seorang pemimpin penakut yang `bercakap tidak serupa bikin’.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak hadir semasa Ketua Pembangkang itu berucap dituduhnya sebagai penakut sedangkan sebagai pemimpin kerajaan, sudah tentu Najib sibuk dengan pelbagai tugas rasmi.
 
Tegasnya, semasa memegang jawatan Menteri Kewangan juga Anwar jarang mendengar ucapan Ketua Pembangkang pada masa itu yang disandang Lim Kit Siang.
 
“Semasa memegang jawatan Menteri Kewangan dahulu sehingga menjadi Ketua Pembangkang sekarang pun jarang ada dalam Dewan Rakyat untuk mendengar Ahli Parlimen lain berbahas.
 
“Adakah Anwar pun begitu sibuk sehingga sanggup ke Paris semalam atau pun takut untuk berada di dalam Dewan Rakyat kerana bimbang diserang oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN),” katanya yang juga wakil rakyat Bebas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
 
Beliau mengulas tindakan Anwar yang menuduh Najib yang juga Menteri Kewangan takut untuk berdepan dengan dirinya ketika membahaskan Bajet 2013 Isnin lalu tetapi pada masa sama semalam Ketua Pembangkang itu telah ke Perancis semasa sidang Dewan Rakyat masih berlangsung.
 
Ibrahim turut memperlekeh tindakan Anwar yang dilihat sentiasa takut untuk berhadapan dengan beliau khususnya di Parlimen.
 
Yang saya tahu, apabila saya bangun berucap mesti Ketua Pembangkang itu akan bangun meninggalkan Dewan Rakyat sebab dia tahu Ibrahim Ali kawan lamanya ini tahu segala rahsia dirinya.
 
Cukup-cukuplah Anwar, insaflah. Berapa banyak lagi kamu hendak berbohong, memperlekeh dan memfitnah orang,” ujarnya.
 
Sementara itu Ibrahim menjelaskan, ketika Anwar berucap membahaskan Bajet 2013, Perdana Menteri berada di pejabatnya dan sentiasa mendengar perbahasan itu melalui siaran langsung di televisyen.
 
Pegawai-pegawai pun akan mencatatkan segala perbahasan dan semua ucapan dalam Parlimen itu nanti akan diterbit dalam bentuk hansard.
Adakah itu juga menjadi masalah,” ujarnya sinis

Thursday, October 4, 2012

Bila khalifah minum arak..

Bila dia masuk surau atau masjid.. mereka diam.. bila dia dan sekutu menggunakan potongan ayat dan menghalalkan cara.. mereka bertepuk tangan sambil bersorak-sorak handal.. puji wahhh ini orang faham maksud ayat al-Quran..

Bila dia masuk surau atau masjid dengan kain belah tengah.. kipas angin senggaja pusing nombor 5 sehingga terkibeh kain eh.. jemaah duk dopan suko amik.. ini amoi yang kita carik.. tazkirah dalam masjid.. fadhilat dapat lebih..

Tak cukup itu.. ini tokong serupa khalifah Umar Abdul Aziz.. konon lah.. Ini macam boleh karrrr??  Apa cerrrrrrrrrrrrrr???

Manyak syiok ini khalifah duduk sebelah amoi, pegang itu arak gelas besar punya.. sudah pegang.. ada minum kar?? Ini khalifah talak takut punya, sebab ularmak PAS ada belakang kasi back-up.. Tak dak masalah punya, itu Nicky Ajis boleh kasi hapus dosa maaa...

Ooops, ini khalifah ada tau ka apa itu dosa? take beer!!

Kredit : AAKJ dan PAS Beruk

Tuesday, October 2, 2012

[Sayangi Warga Emas] Faktor umur..







Warga emas tersilap buka pintu tandas pesawat Hong Kong


Penerbangan Hong Kong Airlines dari Bali terselamat daripada malapetaka apabila seorang penumpang gagal membuka pintu kecemasan pesawat yang disangka pintu tandas Hong Kong Airlines gambar warga emas tersilap buka pintu tandas pesawat Hong Kong.

Krew pesawat yang menyaksikan kejadian itu terkejut setelah terlihat seorang warga emas berusia 60 tahun bangun dari tempat duduknya lalu menuju ke arah pintu kecemasan pesawat itu dan kemudian cuba membuka pintu berkenaan

“Nasib baik dia gagal membuka pintu itu dan kakitangan kabin dengan pantas menghalangnya daripada meneruskan niatnya itu.

Apabila dia disoal selepas mendarat, lelaki itu berkata dia berbuat demikian kerana menyangka ia adalah pintu tandas kerana inilah pertama kali dalam hidupnya menaiki pesawat,” kata salah seorang kakitangan pesawat itu


Monday, October 1, 2012

Akhbar Suara Keadilan Kelentong Lagi..



Tidak lama dahulu blog-blog pro-kerajaan ada mendedahkan strategi pilihanraya Pakatan Rakyat yang dibocorkan oleh sumber dalaman parti tersebut.   Jika ada pembaca yang masih ingat, antara strategi utama PR menjelang pilihanraya ialah menyerang Datin Seri Rosmah Mansor dengan menggambarkan beliau sebagai boros, sombong dan buruk tingkahlaku.

Dan nampaknya, walaupun strategi tersebut telah pun bocor, PR tetap menggunapakainya kerana ketandusan isu yang ‘valid’ untuk menyerang kerajaan.   Maka, Datin Seri Rosmah pun dijadikan isu utama oleh media-media pembangkang walaupun sebenarnya tiada isu.

Baru-baru ini akhbar Suara Keadilan sekali lagi mengitar semula pembohongan kononnya Datin Seri Rosmah membeli-belah lagi dengan menggunakan wang rakyat.   Tidak serik apabila terkantoi dengan tuduhan cincin RM24 juta yang sebenarnya dibawa ke Malaysia untuk pameran, kini PR menurunkan pula harga penipuan kepada RM2.5 juta bagi sebuah jam tangan Datin Seri Rosmah dan RM500,000 bagi sepasang subang beliau, seperti yang tertera dengan tulisan besar di muka belakang Suara Keadilan.

Yang peliknya, di muka 31 akhbar tersebut faktanya terbalik pula di mana ia menyebut,  “Rosmah dilapor memakai subang bernilai RM2.5 juta dan jam tangannya dianggar bernilai antara RM350,000 hingga RM500,000.”

Lebih pelik lagi apabila di dalam media alternatif PR, hanya jam tangan yang dipertikai iaitu berharga RM350,000 dan kisah mengenai subang tidak pula digembar-gemburkan.

Kecelaruan fakta ini saja sudah cukup menunjukkan bahawa kisah ini sengaja diada-adakan mengikut ‘sedap rasa’ si penulis.

Entah kenapa kisah mengenai subang kurang dimainkan berbanding jam.  Mungkinkah kerana menyedari bahawa kisah mengenai subang akan menyebabkan mereka terkantoi lagi sekali?

Jika takut kisah subang terkantoi kerana ia tidak benar, maka kisah mengenai jam juga sama kerana Datin Seri Rosmah tidak pernah berbelanja sedemikian besar hanya untuk sebuah jam.  Tetapi beliau ada mengakui ada menerima hadiah jam tangan mewah dari pihak tertentu dalam salah satu lawatan beliau ke luar negara, sepertimana kelaziman seorang VIP.

Ini tidak seharusnya menjadi isu kerana seorang bekas banduan seperti Anwar Ibrahim juga pernah mengakui menerima hadiah jam tangan Omega dari pihak tertentu.

Desakan PR agar Datin Seri Rosmah mengisytihar harta amatlah melucukan kerana pemimpin PR sendiri enggan mengisytihar harta walaupun diselubungi persoalan dari rakyat tentang dari mana datangnya kereta Ferrari Azmin Ali atau wang untuk Anwar dan keluarga keluar negara beribu-ribu kali setahun?

Jika setiap perbelanjaan Datin Seri Rosmah dikatakan ditanggung oleh kerajaan atau rakyat maka bagaimana pula dengan perbelanjaan pemimpin PR tersebut?  Apakah mereka selama ini bermewah atas wang kerajaan atau rakyat Selangor?  Atau wang Soros?  atau wang Yahudi?

Tidak seperti perbelanjaan rasmi Datin Seri Rosmah yang terikat kepada peraturan dan kelulusan kabinet,  perbelanjaan pemimpin PR tidak terikat kepada apa-apa peraturan atau kelulusan.   Oleh itu, adalah mustahil bagi Datin Seri Rosmah untuk ‘mencekau’ wang kerajaan atau wang rakyat untuk perbelanjaan peribadi, tetapi sebaliknya pemimpin PR tidak mustahil berbuat demikian.  

Malah, PR juga tidak pernah menyembunyikannya dan langsung tidak merasa bersalah menggunakan wang rakyat Selangor untuk membayar kos guaman pemimpin mereka yang bersifat peribadi.  Untuk ini, kita tidak pasti apa yang tertulis di dalam laporan audit kerajaan Selangor bagi kos guaman peribadi tersebut, tetapi yang pastinya ia telah diumumkan sendiri oleh Menteri Besar.

Dengan itu, tidak usahlah PR terus cuba memburuk-burukkan Datin Seri Rosmah dengan cuba menyamakan beliau dengan Imelda Marcos atau mana-mana isteri Ketua Negara yang boros.  Sesungguhnya, BN mengurustadbir kewangan negara dengan professional dan tiada sesiapa dari mana-mana pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri dan isteri yang boleh menggunapakai wang negara sesuka hati.

BN tidak pernah mengurustadbir negara cara PR iaitu mencampuradukkan peribadi, politik dan kerajaan negeri.  Buktinya, ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh dan berkembang dengan selesa.  Tidak mungkin rekod ekonomi negara ini begitu baik jika benar kewangan negara tidak diurus dengan baik.

Justeru, strategi memburukkan Datin Seri Rosmah sebagai boros dan menghabiskan wang rakyat adalah strategi bodoh.  Strategi ini hanya menyerlahkan betapa BN telah berkhidmat dengan cemerlang sehinggakan PR ketandusan isu untuk menyerang dan terpaksa merekacipta isu yang tidak signifikan bagi menghadapi pilihanraya.