MIRI 11 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas bajet pembangkang sebagai bajet mengelirukan yang boleh menjahanamkan rakyat dan negara selain tidak berasaskan prinsip belanjawan baik.
Timbalan Perdana Menteri berkata, jika bajet tersebut dijadikan asas oleh pembangkang untuk menunjukkan keupayaan mereka, keadaan itu jelas membuktikan mereka tidak bijak mengurus negara.
"Mereka kata ada mengurangkan defisit (fiskal) 3.5 peratus kononnya lebih baik daripada empat peratus yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi sebenarnya bila kita kira balik, adalah 7.5 peratus.
"Kalau Malaysia mencatatkan kadar defisit (fiskal) 7.5 peratus, ini boleh menjejaskan penarafan dan dunia akan kata Malaysia berada dalam keadaan teruk, bila begitu tentu pelaburan tidak akan masuk," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Tanjung Bungai, Bekenu di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa bajet pembangkang sekiranya dilaksanakan hanya akan mengakibatkan negara jatuh bankrap.
Keadaan itu berlaku disebabkan pemimpin pembangkang dilihat 'lemah matematik' apabila beberapa perkara penting dan inisiatif yang dijanjikan tidak diambil kira dalam bajet bayangan yang mereka kemukakan baru-baru ini.
Sementara itu, Muhyiddin sewaktu berucap pada majlis berkenaan turut menyindir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sibuk membentangkan bajetnya sewaktu Perdana Menteri bersedia membentangkan Bajet 2013.
"Tuan puan dah baca bajet dia? Tak payah baca pun tak apa tetapi bajet Perdana Menteri kena baca, ada 111 titik sentuhan kepada rakyat dalam belanjawan (bajet), tetapi Anwar Ibrahim tiada titik sentuhan.
"Anehnya dia tidak pandai kira, bila kita buat bajet dia buat bajet, kononnya kalau pilih saya, inilah belanjawannya," katanya.
Dalam ucapannya itu, Muhyiddn turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM5 juta khas untuk membangunkan sektor pelancongan di kawasan Sibuti.
No comments:
Post a Comment