Nampaknya tekanan agar Nik Aziz bersara semakin menjadi-jadi. Ramai di kalangan akar umbi PAS sendiri semakin resah dengan kesungguhan Tok Guru mereka untuk kekal berkuasa walaupun mereka enggan mengakuinya kerana terlalu taksub dengan ‘kewalian’ Tok Guru.
PAS sendiri nampaknya ‘malu alah’ dengan kedegilan Nik Aziz untuk memahami kehendak rakyat Kelantan yang sudah tidak lagi yakin dengan kepimpinannya. Namun, sudah menjadi budaya orang Melayu itu untuk tidak berterus terang tetapi lebih senang mengata di belakang kononnya atas alasan hormat dan menjaga hati orang, terutama orang yang lebih tua, apatah lagi pemimpin bertaraf Ulama. Akibatnya, Nik Aziz mula kelihatan seperti seorang yang gila kuasa kerana enggan berundur walaupun telah tiba masa.
Sedangkan, orang yang paling hebat dikritik PAS sebagai ‘gila kuasa’ suatu ketika dahulu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah pun berundur, walaupun sehingga ke hari ini, fizikal dan mental beliau masih kuat dan jauh melangkaui kemampuan manusia di usianya. Tetapi, Nik Aziz yang kononnya tawaduk lagi warak ini, tidak sanggup pula melepaskan jawatan walaupun sudah tidak mampu dari segala segi.
Dalam ucapan tahniah oleh Presiden PAS atas ulangtahun 22 tahun kepimpinan Nik Aziz di Kelantan semalam, telah menyebut tentang bagaimana Nik Aziz pada ketika hendak dilantik sebagai MB telah telah menolak jawatan tersebut.
Mungkinkah beliau sebenarnya ingin menyindir Nik Aziz, dengan harapan agar Nik Aziz kembali terfikir akan perubahan dirinya sehingga menjadi manusia yang gila kuasa dan sayangkan jawatan?
Nik Aziz telah menceburi politik sejak tahun 1967 iaitu 45 tahun dahulu. Dari jangkamasa itu, beliau telah pun menjadi Menteri Besar selama 22 tahun. Tidak mungkin beliau belum puas berpolitik lagi. Jika nak dikatakan yang beliau masih punya perancangan untuk Kelantan yang perlu dilaksanakan, adalah tidak logik kerana tempoh itu sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk beliau melaksanakan apa jua rancangannya. Sedangkan dalam tempoh yang sama, Tun Mahathir berjaya membangunkan sebuah negara dari negara ketiga menjadi Harimau Asia yang dicontohi dan dikagumi serata dunia.
Maka, jelaslah tidak ada alasan yang konkrit bagi Nik Aziz untuk terus kekal berkuasa selain dari, gila kuasa. Jika benar beliau seorang yang tawaduk sebagaimana 22 tahun lepas di mana beliau menolak jawatan Menteri Besar, maka beliau pasti akan berundur dengan sendirinya, tanpa perlu disindir, disuruh atau dipaksa memandangkan keadaan fizikal dan mental beliau yang semakin hari semakin kronik.
Jawapan yang diberi Nik Aziz ketika ditanya mengenai sama ada beliau akan bertanding lagi membuktikan yang beliau enggan berundur. Katanya, beliau menyerahkan ‘nasibnya’ kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak dalam pilihanraya kali ini.
Sedangkan ‘kepimpinan tertinggi’ itu adalah beliau sendiri iaitu sebagai Mursyidul Am, satu jawatan yang mengatasi Presiden, yang terletak dalam kategorinya yang tersendiri, yang berhak mengampun dan menghukum manusia lain, tidak boleh dikritik atau disentuh hatta maksum, mengikut pemikirannya.
Berdasarkan hakikat ini, beliau cukup maklum yang tiada siapa di dalam PAS yang sanggup untuk menyatakan secara terus terang yang beliau tidak lagi diperlukan oleh rakyat Kelantan dan perlu berundur.
Jelas, jawapan yang diberikan hanyalah jawapan politik yang berniat untuk memperdaya rakyat. Nik Aziz tidak ada niat langsung untuk berundur selagi hayat masih ada. Beliau yakin jika rakyat Kelantan sanggup berada di bawah pemerintahannya yang tidak membawa apa-apa perubahan kepada mereka selama 22 tahun, maka apakah yang menghalang mereka untuk terus berada di bawahnya bagi beberapa tahun lagi? Jika air berkarat, kotor dan tidak cukup bekalan tidak pernah menjadi masalah selama hidup mereka, kenapa ia perlu menjadi masalah sekarang? Jika rakyat tidak kisah berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki selama ini, maka kenapa pula mereka akan kisah mengenai perkara itu sekarang?
Belum ada rakyat Kelantan yang mati kerana bekalan air kotor atau tidak cukup. Nik Aziz pula tidak pernah menghalang rakyat miskin untuk mencari rezeki di negeri lain, jadi apa masalahnya? Rakyat hidup seperti biasa, dan beliau akan terus menjadi MB, seperti biasa juga.
Apapun, jika benar Nik Aziz ingin bertanding lagi, maka nasib beliau akan ditentukan oleh rakyat Kelantan sendiri, sama ada beliau akan terus menjadi MB atau bekas MB selepas PRU nanti.
No comments:
Post a Comment