Followers

rantau ku sayang

Friday, September 9, 2011

Jang perlu terus rentak cemerlang

SEKALIPUN memiliki kelebihan, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah tidak mahu anak buahnya dibuai keyakinan ketika melayani kunjungan Sime Darby pada perlawanan Piala Malaysia Kumpulan B di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam esok.

Baginya, kemenangan ke atas PKNS Selasa lalu, perlu diteruskan dan pemain perlu berhati-hati supaya tidak mudah terperangkap taktik lawan yang berhasrat untuk bangkit selepas tewas kepada Terengganu.

Menurutnya, pemain perlu sentiasa fokus terhadap saingan yang masih di peringkat awal bagi menambah mata dan seterusnya melangkah lebih jauh dalam misi merebut kejuaraan musim ini, tercapai.
“Saya sudah ingatkan pemain supaya tidak terlalu ghairah untuk menewaskan lawan kerana bimbang ia akan memerangkap diri sendiri, sebaliknya mereka diminta lebih berhati-hati kerana Sime Darby sudah pasti akan berusaha keras untuk menang.

“Namun begitu, kita sudah bersedia untuk berdepan pihak lawan dan berharap pemain mengekalkan disiplin serta semangat berpasukan dengan tidak mensia-siakan setiap peluang menjaringkan gol,” katanya semalam.

Menurut Azraai, beliau tidak akan melakukan banyak perubahan dalam kesebelasan utama kecuali mempertaruhkan Mohd Farizal Harun di benteng terakhir selepas Mohd Farizal Marlias terpaksa diketepikan kerana menerima kad merah.
Malah katanya, kedudukan barisan depan juga dikekalkan membabitkan gandingan Hairuddin Omar dan Mohd Firdaus Azizul yang menunjukkan persembahan membanggakan ketika menang ke atas PKNS, 2-1.

“Sementara itu, kedudukan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak akan ditentukan juga apabila dia kini sudah cergas selepas demam,” katanya.

No comments:

Post a Comment