Followers

rantau ku sayang

Monday, November 3, 2014

Luahan Rasa Menyampah Lim Guan Eng Terhadap PAS


Apabila baru-baru ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara terbuka menggelar empat orang EXCO PAS sebagai pengkhianat ekoran kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor, khalayak umum melihatnya sebagai penghinaan yang amat memalukan PAS.PR Bakal Berpecah

Gelaran hina itu juga dianggap ramai sebagai cerminan rasa muak dan menyampah DAP dengan pelbagai tingkah-laku PAS yang dikatakan sering membelakangi keputusan bersama yang disepakati pakatan pembangkang PR.

Bagi Guan Eng kelancangan mulutnya itu dikira wajar dan diharapkan akan menyedarkan PAS keperluan mematuhi kesepakatan bersama PR, sedangkan pada PAS gelaran buruk itu cukup melukakan apatah lagi bila ia diluahkan oleh rakan pimpinan yang pernah diiktirafnya sebagai Khalifah Umar zaman moden.

Mungkin disebabkan memendam rasa terhina dengan gelaran pengkhianat itulah kemudiannya membawa kepada tindakan protes oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang sekali lagi memboikot mesyuarat penting Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang diadakan awal minggu lepas.

Rupanya tindakan boikot Presiden PAS itu seumpama menyiram minyak ke dalam api apabila hari ini Guan Eng secara sinis memberi amaran PR berdepan kemungkinan akan berpecah disebabkan ada anggota gabungan tidak berdaftar itu gagal memberi komitmen yang sepatutnya.

Kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu, kalau pun Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bebas dari tuduhan liwat ia tiada gunanya selagi ada komponen PR yang cakap tidak serupa bikin, tidak menunaikan janji dan tidak berpegang pada komitmen yang disepakatinya.

Malah Guan Eng juga mengakui sudah tidak tahu bagaimana caranya lagi mahu berurusan dengan parti tersebut yang tidak tetap pendirian dan sering berubah-ubah keputusan. Bunyi luahannya macam terlalu kecewa persis seorang jantan yang sudah berputus asa dengan kesetiaan kekasih gelapnya.

Walau pun Guan Eng tidak menyebut secara langsung parti mana yang dimaksudkan, umum tahu ia merujuk kepada PAS, rakan pakatan kelas ketiga dalam PR yang pernah dilabelkannya sebagai pengkhianat tempohari dan selama ini pengkhianat itulah yang sering menjayakan pelbagai program keramaian PR.

Luahan sinis Guan Eng itu jelas membayangkan perasaannya yang semakin menyampah dengan sikap PAS. Kejantanannya sudah tercabar dan hanya menunggu masa sahaja untuk betul-betul meledak barangkali dalam waktu-waktu terdekat ini.

Baru sahaja pemimpin PAS digelar sebagai pengkhianat, kini dianggap pula sebagai parti yang cakap tidak serupa bikin dan dituduh pula gagal memberi komitmen untuk PR. Entah apa malang nasib PAS selepas dipergunakan bertahun-tahun sekarang dicerca dan dihina sedemikian.

Setakat ini kita tidak tahu apa reaksi rasmi PAS dengan kenyataan sinis Guan Eng itu. Marahkan mereka atau masihkah nak memendam rasa?

Tapi rasanya tak mustahil entah esok atau lusa akan ada pemimpin PAS yang memujuk hati berkata cercaan itu hanya kenyataan peribadi Guan Eng semata-mata dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi DAP dan selepas itu PAS taat kembali mengikuti kehendak DAP, tak gitu? 

No comments:

Post a Comment