Followers

rantau ku sayang

Sunday, November 2, 2014

PRU14: Umno Terengganu rumus 10 asas


Umno Terengganu hari ini merumuskan 10 asas yang dianggap mampu mengembalikan kekuatan parti itu terutama untuk menghadapi PRU14 akan datang.
  
Ketua Penerangan Umno negeri, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar berkata, rumusan itu hasil kesepakatan menerusi sesi percambahan minda di peringkat akar umbi serta pemimpin Umno Bahagian.
  
Beliau berkata, ia memberi tumpuan ke arah merapatkan barisan dalam menghadapi PRU14 di samping mengemas kini daftar pemilih selain meletakkan sasaran empat tahun menerusi asas berdasarkan 4P - Tahun Pemulihan, Tahun Penyatuan, Tahun Pengukuhan dan Tahun Perang.
  
"Kita perlu menginsafi hakikat bahawa kedudukan Umno negeri Terengganu adalah amat tenat dan justeru itu ia harus diperkukuhkan di bawah pemerintahan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menerusi Transformasi Terengganu Baharu," katanya.
  
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Umno Terengganu di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Wan Abdul Hakim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Air Puteh berkata, pemilihan calon boleh menang menjadi keutamaan kerana ia adalah faktor besar dalam menentukan kemenangan dalam PRU akan datang dan wajar diterima dengan reda oleh semua pucuk pimpinan akar umbi Umno negeri.
  
Beliau berkata, Umno juga perlu peka dengan perkembangan semasa terutama isu-isu mencabar kesucian agama Islam, kedudukan orang Melayu, kedaulatan institusi raja dan keluhuran perlembagaan.
  
"Kriteria pemimpin yang dihormati rakyat sudah pastinya seorang yang cenderung kepada agama, berpendidikan dan bersahsiah baik.
  
"Selain itu, peranan wanita hendaklah diperkasakan sebagai satu daripada inisiatif meningkatkan perpaduan di kalangan ahli parti di samping Umno juga perlu segera melakukan usaha berbincang dengan golongan muda yang mampu merubah demografi pengundian dalam PRU," katanya.
  
Menurutnya pendekatan melaksanakan aktiviti parti lebih berkesan sekiranya diadakan berskala kecil-kecilan tetapi berkala dan bukannya berskala besar tapi tiada susulan.

No comments:

Post a Comment