Anak kelahiran Cheruk Tok Kun di Seberang Perai
bukan dilahirkan dari kalangan ulama. Bapanya, Datuk Ibrahim, pernah
menjadi Setiausaha Parlimen di Kementerian Kesihatan di era Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj.
Sebelum menceburkan diri dalam politik, Ibrahim, bapa Anwar, pernah menjadi attendant hospital. Barangkali mengenangkan jawatannya sebagai attendant, maka Tunku melantik bapa Anwar sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Kesihatan.
Boleh dikatakan keluarga Anwar menyokong UMNO. Emak Anwar sendiri seorang pemimpin Wanita UMNO yang terkenal di Seberang Prai.
Menurut sumber Tok Wannya, sebelah bapanya, dikatakan dari keturunan
India dan dikatakan memeluk agama Islam. Tok Wan Anwar dikatakan
berkahwin dengan wanita keturunan Cina yang dibela oleh keluarga Islam.
Barangkali Anwar dan suku-sakatnya boleh menerangkan lebih lanjut lagi
siapakah gerangan keturunannya itu.
Janganlah hairan bin terkejut kalau Anwar petah berucap. Bukankah
orang keturunan India bijak bercakap walaupun Anwar tidak mempunyai
lenggokan kepala seperti kebanyakan orang India? Melihat dari keturunan
bapanya, bermakna Anwar adalah generasi kedua dari keturunan India
campur Cina.
Itu bukan salah ibu mengandung. Mantan Perdana Menteri Malaysia juga
mempunyai darah campuran. Tunku Abdul Rahman Putra ada darah Siam, Tun
Razak keturunan Bugis, Tun Hussein Onn ada darah Turki, Tun Mahathir
pula campuran Melayu dengan India dan Tun Abdullah pula ada campuran
Cina.
Oleh itu Anwar tidak perlu gusar kerana ada titisan darah India dalam
tubuhnya. Tuah dan sial seseorang pemimpin bukan terletak pada
keturunannya yang punya darah campuran tetapi apakah dia dapat diterima
atau pun tidak sebagai pemimpin super sohor oleh rakyat jelata yang
berbilang kaum seperti Malaysia ini.
Anwar ada matlamat dalam perjuangannya. Dia bertekad hidup atau mati
mempertahankan hasratnya yang maha tinggi untuk menjadi bakal Perdana
Menteri. Dia akan menentang siapa saja yang bakal menjadi penghalangnya.
Dia juga sedar tidak mudah menjadi seorang pemimpin popular yang
boleh diterima rakyat jelata. Ia tidaklah semudah membuat cucur kodok
ala Samsidar.
Menurut Ummi Hafilda, Anwar sangat menggemari cucur kodok bikinan Samsidar, isteri Azmin Ali, kakak ipar Ummi Hafilda.
Anwar sedar risikonya tapi dia tidak gentar menghadapinya. Jiwa dan
jasadnya untuk perjuangan bagi merealisasikan mimpi indahnya sebagai
bakal Perdana Menteri. Kata peribahasa Melayu, “bujur lalu melintang
patah”. “Alang-alang seluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan”.
Nafsu dan keazaman inilah yang membakar dirinya.
Tapi Anwar bukan tolol orangnya. Sejak di kampus Universiti Malaya
dia sudah buat rancangan infrastruktur politik untuk menjadi pemimpin
tersohor kelak. Kalau di Kolej Melayu dia berminat memperjuangkan Islam
menurut pemahamannya, maka di kampus Universiti Malaya, suaranya yang
lantang mengkritik kerajaan mendapat perhatian luar biasa bukan saja di
kalangan pelajar-pelajar universiti, tetapi juga di kalangan rakyat
khasnya orang Melayu.
Kerana retorikanya yang mirip Sukarno dengan wajahnya yang kacak pada
waktu itu, Anwar dapat memukau para pendengar baik lelaki mahu pun
perempuan.
Di kampus inilah dia dijulang sebagai pemimpin ABIM (Angkatan Belia
Islam Malaysia) dan juga sebagai pemimpin PPIUM (Persatuan
Pelajar-pelajar Islam Universiti Malaya). Malah dia juga dilantik
sebagai Pengerusi PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya).
Ketiga-tiga pertubuhan yang dipimpin Anwar memang mempunyai impak
yang kuat, bukan saja dalam kampus tetapi juga di kalangan masyarakat
Melayu.
Tahun-tahun enam puluhan (1960-an) dan awal tujuh puluhan (1970-an),
merupakan period perjuangan mengisi kemerdekaan khasnya dalam bidang
perjuangan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan
selepas 10 tahun kemerdekaan menurut Perlembagaan Negara.
Penyata Razak 1956 dijadikan landasan dalam pembentukan sistem
pendidikan nasional di mana bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama
di semua sekolah kebangsaan hingga ke peringkat universiti.
Dalam tahun enam puluhan (1960-an), lahirnya Barisan Bertindak Bahasa
Kebangsaan yang saya pimpin, menggesa kerajaan melaksanakan Fasal 152
Perlembagaan Negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
yang tunggal dalam pentadbiran kerajaan dan pendidikan negara.
Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan, PBMUM dan PENA (Persatuan
Penulis Nasional) merupakan NGO-NGO Melayu yang lantang memperjuangkan
bahasa Melayu pada waktu itu.
Di kampus pula wujud “Sudut Pidato” (Speaker’s Corner) di
mana para siswa boleh meluahkan pandangan mereka dalam berbagai isu di
sudut pidato tersebut. Boleh dikatakan para pelajar universiti sangat
peka mengenai politik nasional dan sebahagian besar dari para pemimpin
mereka berpihak kepada pembangkang.
Perlulah diingat selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, nasionalisme
Melayu mencapai puncak perjuangannya. ITM (Institut Teknologi MARA)
lahir atas kebangkitan semangat Melayu yang ingin merubah nasib
anak-anak bangsa melalui pendidikan.
Atas semangat perpaduan Melayu juga maka PAS yang dipimpin oleh Datuk
Asri Haji Muda, sanggup menjadi rakan perkongsian politik dalam wadah
Barisan Nasional pada tahun 1974. Walaupun “kawin mutaah” PAS dengan
UMNO tidak kekal lama, namun para penyokong PAS sudah merebak sampai ke
dalam kampus universiti dan juga di berbagai rancangan tanah Felda.
ABIM di bawah Anwar menjadi sebuah NGO yang berpengaruh dan mempunyai
ramai pengikut. Semangat Melayu dan Islam yang tercetus selepas 13 Mei,
menjadikan Islam sebagai suatu kekuatan politik dan budaya yang kuat di
kalangan generasi muda pada waktu itu.
Kalau kebanyakan pemimpin PAS hanya berlegar di keliling serban
mereka dan memperalatkan Islam untuk menyebarkan pengaruh politiknya,
Anwar pula menyebarkan perjuangan Islam ke peringkat antarabangsa.
Melalui ABIM, Anwar mendapat perhatian dan sokongan berbagai pemimpin
Islam di negara-negara Arab,
Pakistan dan Indonesia. Melalui berbagai
jaringan kerjasama beliau dengan berbagai pemimpin negara-negra Barat
khasnya Amerika, Anwar dianggap oleh para pemimpin Barat sebagai
pemimpin Islam yang liberal.
Walaupun beliau hanya memimpin ABIM, sebuah NGO Islam, namun
penghormatan dan sanjungan yang diperolehinya dari berbagai ketua-ketua
kerajaan asing lebih menyerlah dari Perdana Menteri sendiri!
Anwar sedar dia tidak boleh menjadikan nasionalisme Melayu sebagai
produk politik untuk mendapat sokongan dan kerjasama dari ketua-ketua
kerajaan asing. Tapi bila dia memperlihatkan ketokohannya sebagai
pemimpin Islam liberal, maka dengan sendirinya dia mendapat perhatian
dari ketua-ketua kerajaan asing, khasnya dari kalangan Barat.
Oleh kerana Barat lebih senang berbicara kepentingan politik mereka
dengan para pemimpin Islam liberal dan bukan fundamentalis yang dianggap
Barat super kolot dan berbau militan.
Melihat dari neraca politik semasa, Islam boleh menjadi suatu kuasa
besar dalam arena politik dunia. Dalam buku Samuel P Huntington, ‘The Clash of Civilization’,
dia memperlihatkan Islam sebagai suatu kuasa yang bersaing hebat dengan
kuasa Kristian. Komunisme sudah habis tenaga dan pengaruh sebagai suatu
ideologi yang boleh menguasai dunia.
Tapi Islam dengan penganutnya lebih dari 1.5 bilion di dunia yang
kaya dengan hasil minyak dalam perut buminya, menjadikan negara-negara
Islam suatu blok politik yang tidak boleh diremeh-remehkan oleh Barat.
Anwar tahu kekuatan dan pengaruh Islam.
Dia juga ada bakat yang luar
biasa yang sukar diperolehi oleh sebahagian besar para pemimpin politik
tempatan dan antarabangsa, iaitu kebijaksanaannya sebagai pemidato yang
boleh memukau khalayak ramai. Ini “tangkal azimat” Anwar yang sukar
ditandingi oleh para ahli politik yang lainnya.
Sebagai pemimpin politik Islam liberal, Anwar mempromosikan dirinya
sebagai pemimpin Islam yang boleh dipercayai Barat dan sanggup
bekerjasama dengan Barat untuk mengujudkan pengertian yang lebih erat
antara golongan Islam Liberal dengan Barat, khasnya Amerika.
Untuk merealisasikan cita-cita Islam Liberal Anwar sejak memimpin
ABIM, sudah membuat jalinan kerjasama dengan berbagai golongan
masyarakat di Indonesia, bukan saja di kalangan gerakan mahasiswa Islam
seperti HMI (Himpunan Mahasiswa Islam), tetapi juga dengan tokoh-tokoh
Islam terkemuka dari kalangan parti-parti politik Indonesia dan
Muhammadiah yang pada suatu masa dahulu dipimpin oleh Amin Rais.
Jalinan kerjasama tersebut diteruskan hingga kini. Oleh kerana itu,
janganlah terkejut beruk kalau Anwar mempunyai para penyokong yang kuat
di kalangan masyarakat Indonesia.
Kebebasan media yang super bebas di Indonesia sekarang
dieksploitasikan Anwar untuk meraih sokongan moral terhadap
perjuangannya. Dengan kata lain, Anwar menjadikan Indonesia sebagai
pangkalan politiknya memandangkan pengaruh Indonesia dengan
penduduk-penduduknya lebih dari 250 juta penganut Islam.
Memanglah di Indonesia terdapat golongan politikus dan budayawan
Islam Liberal yang pro Barat dan kebanyakan dari mereka terdiri dari
sahabat-sahabat Anwar. Mereka juga mempunyai agenda politik Islam
Liberal yang disenangi Barat. Jadi janganlah hairan kalau ada pertautan
jiwa antara Anwar dengan golongan ini yang cuba mendapat tempat dalam
politik nasional Indonesia dan juga di Malaysia.
Seperti Anwar, golongan Islam Liberal Indonesia juga berkiblat ke
Amerika. Besar kemungkinan Amerika membantu golongan ini dengan harapan
golongan Islam Liberal dapat menguasai kepimpinan negara Indonesia.
Bayangkan sebagai MP Permatang Pauh merangkap Penasihat PKR, Anwar
mempunyai pejabat di Washington DC. Siapa yang membiayai perbelanjaan
dan penyewaan pejabat itu? Anwar sendiri keluar belanja? Apakah
kepentingan Anwar untuk membuka pejabatnya di Washington DC itu?
Tidak ada parti politik di Malaysia yang mempunyai pejabat di sana.
Apakah kerajaan Amerika yang membiayainya? Apakah Anwar juga mempunyai
pelobi-pelobi yang diupah untuk mempengaruhi kerajaan Amerika dan
beberapa Senator yang berpengaruh untuk menyokong perjuangannya?
Besar kemungkinan Anwar juga menjadi orang perantara antara golongan Islam Liberal Indonesia dengan Washington.
Sebagai mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar sudah menempah
hubungan yang akrab dengan berbagai ahli politik Amerika termasuk juga
dari kalangan pemimpin-pemimpin Yahudi.
Oleh kerana Amerika mempunyai kepentingan politik, ekonomi,
pendidikan dan kebudayaan yang penting di Indonesia, maka besar
kemungkinan golongan Islam Liberal Indonesia mengharapkan Anwar untuk
mendapat apa sahaja bantuan dari Pakcik Sam.
Ada kemungkinan Anwar menjadi penasihat Washington dalam berbagai isu
mengenai Indonesia dan Malaysia yang merupakan dua buah negara Islam
yang penting di Asia. Boleh jadi juga Anwar mempunyai pejabatnya di
Washington DC untuk memudahkan dia berurusan dengan berbagai pemimpin
politik di sana, di samping melancarkan berbagai strategi politik bagi
mengimbangi pengaruh kerajaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Datuk Seri
Jamaluddin Jarjis, Duta Malaysia ke Amerika.
Duta besar Malaysian yang bertaraf Menteri ini dikatakan paling
dinamik dan aktif memberi gambaran politik yang sebenar kepada para
pemimpin di negara tersebut dan juga di kalangan para pelajar Malaysia
untuk membasuh dakyah anti kerajaan Malaysia yang dilancarkan Anwar.
Di Malaysia, juga di Indonesia, Anwar menggunakan keahliannya sebagai
pemidato ala Sukarno dengan memutarbelitkan berbagai isu untuk meraih
sokongan terhadap perjuangannya. Dia tahu bagaimana untuk mempengaruhi
para pendengarnya.
Bercakap di kalangan mahasiswa, dia akan memperlihatkan idealisme
generasi muda yang resah gelisah, inginkan pembaharuan dan berfikiran
bebas.
Depan lebai-lebai pondok, ustaz-ustaz dan ulama-ulama berjiwa kerdil,
Anwar dianggap sebagai seorang pejuang Islam nombor wahid yang
mengatasi kemampuan intelek mereka.
Di khalayak bukan Melayu, dia akan menyuarakan hak dan kebebasan
mereka sebagai warganegara dan berjanji akan memperjuangkan nasib
mereka.
Boleh dikatakan Anwar akan menabur janji, aneka ragam dan aneka warna menurut siapa yang menjadi para penontonnya.
Karismanya sebagai pemidato yang super hebat lebih kuat pengaruhnya
dari penjual ubat kuat di Lorong Haji Taib. Tidak ada pemidato yang
lebih handal dan berpengaruh dari Anwar. Ini perlu kita akui.
Anwar seorang oportunis yang bijak merancang strategi hubungan awam
untuk membuat persediaan memasuki gelanggang politik di masa depan. Oleh
kerana dia terlalu bergiat dalam ABIM, PPIUM dan PBMUM, dia dikatakan
hanya memperoleh ijazah BA sahaja.
Demi masa depan politiknya, dia sanggup membuka Yayasan Anda, sebuah
sekolah menengah swasta di Jalan Pantai Bharu, Kuala Lumpur di mana dia
menjadi pengetuanya.
Dia memilih bidang pendidikan kerana ingin melahirkan kader-kader
berjiwa Islam yang sebahagian besarnya menjadi penyokong-penyokongnya
kelak. Boleh dikatakan dia membina ketokohannya sebagai pemimpin pelajar
berjiwa Islam melalui ABIM dan PPIUM yang dipimpinnya.
Sebagai pemimpin ABIM, Anwar melebarkan pengaruhnya sebagai pejuang
Islam di kalangan para pemimpin Islam di Timur Tengah, Indonesia dan
negara-negara Barat khasnya Eropah dan Amerika Syarikat serta Kanada.
Pada zaman rejim Jeneral Zia-ul-Haq, Anwar pernah diberi pingat
kebesaran negara Pakistan kerana perjuangannya sebagai pemimpin Islam.
Boleh dikatakan banyak ketua-ketua kerajaan Arab di Timur Tengah,
juga Turki mengenali Anwar sebagai sahabat mereka, lebih-lebih lagi bila
dia menjadi salah seorang pemimpin WAMY (World Association of Muslim Youth) untuk Asia.
Mengapakah Anwar mengambil jalan politik pembangkang melalui ABIM dan
PPIUM sewaktu menjadi pemimpin pelajar? Bukankah bapanya Datuk Ibrahim
pernah menjadi Setiausaha Parlimen di Kementerian Kesihatan dan setelah
meninggalkan politik menjadi jutawan selaku Pengerusi IOI?
Bukankah
sebahagian besar ahli keluarganya menjadi ahli UMNO? Bukankah UMNO
memberi peluang kepada keluarga bapanya untuk hidup senang-lenang
sebagai jutawan? Apakah Anwar lupa jasa dan budi UMNO terhadap
keluarganya?
Tapi Anwar lain dari lain. Dia sedar bapanya menjadi kaya-raya kerana
UMNO dan dia juga menumpang tuah UMNO. Tapi soal menumpang tuah UMNO
tidak masuk dalam neraca perjuangan politik dan kedudukan yang dia
idam-idamkan selama ini. Anwar mahu jadi bakal Perdana Menteri.
Dengan apa jalan sekali pun, dia tetap menentang arus untuk mencapai
cita-citanya. Seperti kata peribahasa orang Bugis, “sekali belayar biar
robek layarnya, patah kemudinya, namun berpantang balik tidak
sekali-kali”. Seperti kata peribahasa Melayu, “alang-alang seluk
pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.” “Genggam bara api biarlah
sampai jadi arang.”
Anwar kuat azamnya. Dia akan mengharungi apa saja derita, penyeksaan,
pengorbanan demi menjaga kepentingan cita-cita besarnya iaitu menjadi
bakal Perdana Menteri.
Dia membina imej sebagai pejuang Islam kerana pengaruh PAS menjadi
semakin kuat selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Selepas 13 Mei,
timbul kesedaran di kalangan orang Melayu untuk bersatu padu
mempertahankan kuasa politik Melayu dan hak hidup orang Melayu sebagai
pribumi yang sah.
Walaupun penyertaan PAS dalam Kabinet Barisan Nasional pada tahun
1974 dianggap sebagai “kahwin mutaah”, namun ia perlu wujud dan kena
pada masanya.
'
Anwar melihat perkembangan politik pasca 13 Mei sebagai politik
mempertahankan kuasa, hak orang Melayu dan Islam. Beberapa orang
pemimpin ABIM bersama Anwar sudah mengorak langkah menyertai PAS sebagai
suatu strategi memperkukuhkan politik PAS dan ada juga yang menyertai
UMNO.
Dia meletakkan orang-orangnya dalam PAS dan juga UMNO dengan
harapan mereka akan menjadi pemimpin-pemimpin yang bakal mengambil alih
kepimpinan PAS dan UMNO pada suatu waktu itu.
Maka berlakulah apa yang tidak disangka-sangka. Timbul kisah kononnya
ada orang kampung mati kelaparan kerana makan ubi gajah di Baling. Ini
berlaku pada tahun 1974.
Berlaku demonstrasi para pelajar universiti dan ITM di Kuala Lumpur
dan juga di Pulau Pinang secara besar-besaran. Beberapa orang pemimpin
pelajar dan politik terlibat. Antara mereka yang ditahan di bawah ISA
selepas demonstrasi tersebut termasuklah Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali
(pemimpin pelajar dari ITM) dan tokoh-tokoh politik sosialis, Dr Syed
Hussein Ali dan Kassim Ahmad. Dr Chandra Muzaffar, pensyarah yang juga
aktivis dari USM juga ditahan.
Selama dua tahun Anwar dan Ibrahim Ali menjadi “siswa” di “Universiti Kamunting.”
Sebenarnya penahanan Anwar lebih menyerlahkan lagi imejnya sebagai
pejuang Islam. Hubungannya yang baik dengan sesetengah ketua kerajaan di
Timur Tengah, Amerika dan Eropah menyebabkan beliau mendapat sokongan
dari berbagai kerajaan asing. Secara moral, kerajan-kerajaan asing
tertentu meminta jasa baik kerajaan Malaysia agar membebaskan Anwar
dengan segera.
Dari segi strategi politik, networking perhubungan awam
dengan berbagai pemimpin negara-negara asing boleh membantu Anwar dalam
percaturan politiknya. Sokongan moral atau kebendaan dari pihak asing
boleh membantu seseorang pemimpin yang inginkan tekanan politik asing
untuk membela dan menyokong perjuangannya.
Anwar bukan lahir dari keluarga jutawan. Bapanya bekas attendant
hospital dan mendapat gelaran Datuk serta peluang bisnes yang super
lumayan setelah bergelumang dalam politik dan menjadi Setiausaha
Parlimen. Memang jauh beza kehidupan sebagai attendant hospital dengan
kedudukannya sebagai orang korporat sekarang.
Waktu menjadi pemimpin ABIM dan Pengetua Yayasan Anda, sekolah swasta
yang didirikan Anwar dengan para kabilahnya, kehidupannya sederhana,
makan nasi campur di restoran Amjal Jalan Pantai Baharu dan hanya ada
Volkswagen merah yang separuh uzur untuk dia berkelana ke sana sini.
Pakaiannya juga tidak begitu mahal harganya dan selalu memakai capal.
Lain stail Anwar bila dia menjadi Menteri Kewangan sewaktu bersemangat
UMNO dan menjadi pemimpin nombor dua tersohor selain Presiden UMNO
merangkap Perdana Menteri.
Waktu menjadi Menteri Kewangan ada orang berkata, pakaian Anwar
dengan sut serta kasut buatan tangan dari Itali tidak kurang dari
RM17,000 sepasang!
Mengikut beberapa orang sahabat baik Anwar, adik angkat Anwar, Sukma Darmawan menjadi image consultant
beliau sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri
Kewangan. Kata orang, sekali air bah sekali pasir berubah. Begitu juga
dengan nasib Anwar.
Tuah ayam pada kaki, bagaimana pula dengan tuah Anwar? Dia disanjung
sebagai wira oleh ribuan para penyokongnya bila dibebaskan dari
“Universiti Kamunting.” Imej ketokohannya mengeruni para pemimpin
politik baik yang bertaraf nasional apalagi yang berstatus kampungan.
Anwar bukan sebarang pemimpin. Kata para penyokongnya, sewaktu
menjadi pemimpin ABIM, dia sudah mendapat penghormatan dan sokongan yang
kuat dari sesetengah pemimpin negara-negara Arab dan juga Barat. Boleh
dikatakan tidak ada pemimpin NGO yang mendapat penghormatan dan sokongan
kuat dari berbagai pemimpin kerajaan asing seperti Anwar.
Bintang Anwar semakin menyerlah. Kamunting tidak menjadikan Anwar
sebagai pengikut angin. Sebaliknya Kamunting mengentalkan jiwa
kursaninya untuk menjadi pemimpin politik muda yang mendapat perhatian
rakyat jelata.
Nama Anwar berkumandang di udara sebagai tokoh muda yang berjiwa
Islam. Anwar boleh mendabik dada dan menjerit di angin lalu bahawa
akulah pejuang Islam nombor wahid yang mendapat sokongan dan sanjungan
di peringkat antarabangsa.
Dia, Anwar Ibrahim, menjadi tokoh yang disenangi dan dihormati ramai
baik lelaki mahu pun perempuan Melayu dan bukan Melayu, Islam dan bukan
Islam. Anwar dalam diam-diam telah menyemai cinta kasih dengan seorang
doktor mata muda yang secara diam-diam juga menaruh harapan kepada
pemuda dari Cheruk Tuk Kun, mantan siswa “Universiti Kamunting: itu.
Namanya Dr Wan Azizah, anak perempuan Datuk Wan Ismail, bekas Pengarah
Perang Saraf.'
Ummi Hafilda, adik perempuan Azmin Ali, seorang srikandi yang tahu
banyak rahsia Anwar dan abangnya berkata, Wan Azizah itu keturunan Korea
dan diambil sebagai anak angkat oleh Wan Ismail.
Seperti kisah Uda dan Dara karya Usman Awang, kononnya bapa Dr Wan
Azizah tidak merestui asyik masyuk antara anak gadis seorang Pengarah
Perang Urat Saraf yang merancang strategi politik untuk kerajaan dan
menentang musuh-musuh kerajaan, boleh jatuh cinta pada seorang pemimpin
yang berpihak pada pembangkang?
Tapi cinta kasih Anwar kepada Wan Azizah tidak dapat dihalang oleh
sesiapa pun kecuali Allah Taala. Kedua asyik masyuk mengambil jalan
mudah seperti kebanyakan pasangan yang tidak mendapat restu dari ibu
bapa. Mereka menikah lari di Thailand. Kononnya Datuk Wan Ismail, bapa
Wan Azizah, marah seperti singa lapar.
Siapakah yang menjadi orang tengah untuk meredakan sengketa antara
menantu dengan bapa mertuanya? Pak Lah, mantan Perdana Menteri yang kini
bergelar Tun Abdullah Ahmad Badawi, mendapat jolokan Mr Clean tetapi
hanya bernafas sebagai Perdana Menteri tidak sampai dua penggal.
Itu hanya secebis kisah dari kehidupan Anwar dan Wan Azizah yang taat
setia kepada suaminya seperti taatnya Sita Dewi pada Seri Rama dalam
hikayat Hindu yang bernama Hikayat Seri Rama. Datanglah segala ribut dan
taufan politik melanda Anwar, Wan Azizah tetap di samping suami
tercinta.
Kisah peribadi Anwar yang nikah di sempadan banyak tidak diketahui
para penyokongnya yang terlalu kagum dengan gaya pidato anak Cheruk Tuk
Kun itu. Banyak juga yang terkejut beruk bila tahu pejuang Islam ini
sanggup nikah di sempadan oleh kerana tidak mendapat restu dari bapa
mertuanya.
Mereka tidak menyangka seorang pejuang Islam seperti Anwar tidak
dapat mempengaruhi bapa mertuanya untuk menerimanya dengan tangan
terbuka.
Walaupun dia dijulang sebagai pemimpin Islam oleh ribuan para
penyokongnya, namun dia gagal mempengaruhi Pak Wan, gelaran popular
Datuk Wan Ismail, untuk menerimanya sebagai menantu.
Ada pula yang menganggap Anwar seolah-olah memperlekehkan bapa
mertuanya yang menjadi alat kerajaan dengan cara mengahwini Wan Azizah
tanpa restu bapanya di sempadan.
Setelah mendapat cucu dan Anwar menyertai UMNO dan jadi anak emas
Mahathir dalam Kabinet, maka akhirnya Pak Wan menerima menantunya dengan
tangan terbuka dan lapang dada, senyuman meleret sampai sedepa!
Tapi ada cerita di belakang tabir banyak orang tidak tahu. Yang maha
tahu hanya Allah Taala, Wan Azizah dan Anwar. Menurut cerita dari mereka
yang dekat dengan keluarga Cheruk Tuk Kun ini, kononnya Wan Azizah
pernah didera Anwar hingga lebam-lebam. Apakah ini benar? Bolehkan Wan
Azizah atau Anwar menafikan perkara ini?
Kalau benar, mengapakah seorang pemimpin yang memperjuangkan Islam
dan bermimpi menjadi bakal Perdana Menteri sanggup memukul isteri
tercinta? Apakah Anwar dipengaruhi filem Tamil yang banyak adegan
memukul isteri itu?
Mereka yang dekat dengan Anwar berkata, dia tidak pernah melihat
filem Tamil yang banyak peristiwa pukul-memukul isteri itu. Apakah
gerangan yang menyebabkan Anwar memukul isterinya?
Kita harap cerita ini bikinan orang untuk memperlekehkan Anwar dan
Wan Azizah. Tapi alangkah baiknya kalau Anwar atau Wan Azizah membuat
kenyataan akhbar bahawa dia tidak pernah memukul isteri hingga lebam dan
menuduh musuh-musuh Anwar sengaja mereka-reka cerita untuk membesarkan
kemaluannya.
Tidak masuk akal seorang mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap
Menteri Kewangan suka memukul isteri seperti yang terdapat dalam
filem-filem Tamil Nadu itu.
Ada lagi kisah yang menjadi buah mulut mereka yang rapat dengan Anwar
dan cuba menutup kisah demi menjaga imej “brother Anwar”, seorang
pemimpin berjiwa Islam nombor wahid. Mereka yang rapat dengan Anwar dan
selalu berkunjung ke kediamannya, pernah melihat Sukma Darmawan, adik
angkat Anwar berbangsa Indonesia yang tinggal bersama bosnya, masuk ke
bilik Anwar.
Kononnya Sukma menjadi image consultant kepada Anwar.
Sebagai juru runding imej seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap
Menteri Kewangan yang juga berstatus sebagai Timbalan Presiden UMNO,
maka tentulah Anwar hendak menjaga ketrampilannya. Ini era politik
kegemilangannya dalam UMNO. Ini bukan era Yayasan Anda dengan Volkswagen
tua dan makan nasi campur di restoran Amjal.
Kata sahabat yang mengenali Anwar, sekiranya Sukma berada dalam bilik
Anwar, maka Wan Azizah tidak dibenarkan masuk. Apakah yang dilakukan
Anwar bersama Sukma? Tanya Sukma, apakah dia sangat diperlukan Anwar
hingga Wan Azizah sendiri tidak diizinkan masuk bilik Anwar? Apakah Wan
Azizah tidak tahu memilih pakaian yang sesuai bagi suaminya yang
bertaraf Menteri itu?
Sebagai isteri mithali, Wan Azizah terpaksa akur dengan kehendak
suaminya walau pun ada ketikanya dia sendiri terkilan dengan sikap
suaminya yang mementingkan Sukma yang dikatakan pernah berkongsi bilik
dengan pemuda Indonesia itu sewaktu Anwar masih bujang dan tinggal
dengan bapanya di Kampung Tunku, Petaling Jaya.
Rupa-rupanya setelah keluar dari “Universiti Kamunting”, bintang
Anwar menjadi semakin terang. Siapa sangka seorang yang mendabik dada
sebagai pejuang Islam, dengan senyuman bangganya menyertai UMNO, parti
politik yang menjadi musuh politiknya di masa lalu.
Dengan sekelip mata dia disintuk limau sebagai Menteri dalam Kabinet
Mahathir. Pemimpin yang dikatakan terlibat dalam kemasukan Anwar dalam
UMNO ialah Tengku Razaleigh Hamzah.
Dalam satu temuramah saya dengan Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir,
sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, saya bertanya, “Mengapakah Datuk
Seri membawa masuk Anwar dalam UMNO dan menjadikan dia seorang Menteri
penuh?”. Dengan tenang Dr Mahathir menjawab, “Kalau saya tak ambik dia
masuk UMNO, dia akan masuk PAS. Dia tu pejuang Islam. Kalau dia masuk
PAS, teruklah UMNO.”
Rupa-rupanya Mahathir juga menganggap Anwar sebagai pejuang Islam
yang berpengaruh. Mengikut perhitungan politik Mahathir, Anwar boleh
memainkan peranan penting dalam UMNO, memandangkan dia seorang pemimpin
muda yang ada karisma, bijak berpidato dan mempunyai ribuan pengikut
dalam dan luar negara.
Dilihat dari latar belakang politik, baik Mahathir mahupun Anwar,
pernah menentang UMNO dan berceramah di atas pentas PAS pada suatu waktu
dahulu. Jadi, tidak hairanlah mengapa Mahathir mempunyai soft spot
terhadap Anwar.
Tidak hairan bin terkejut mengapa Mahathir menerima Anwar dengan
tangan terbuka dan menjadikan dia Menteri walaupun baru saja menjadi
ahli UMNO. Soal keahlian perkara remeh. Yang penting Anwar ada umph, ada
karisma, ada pengikut yang ramai yang boleh menjamin kemenangan dan
menjadi aset kepada UMNO.
Bukankah politics make strange bedfellows? Tidur satu bantal
tapi mimpi lain-lain? Dulu jadi musuh politik, tapi selepas diberi
kedudukan yang super istimewa sebagai Menteri, Anwar dijulang ke langit
biru, dicium tangan, ditatang sebagai minyak yang penuh, dihadiah bunga
malai, diiringi gendang dan tabla sebagai pemimpin negara yang super
umph.
Beberapa sahabat karib Anwar dalam ABIM menyertai PAS seperti Ustaz
Fadzil Noor (Allahyarham), tetapi Anwar pilih UMNO, parti politik Melayu
yang berkuasa sejak merdeka hingga sekarang.
Apa yang dirancangkan beliau sewaktu memimpin ABIM, kini sudah nampak
hasilnya. Kata Dr Mahathir, sewaktu saya interbiu beliau selepas Anwar
dipecat dari UMNO dan Kabinet, “Waktu dia masuk UMNO dan jadi Menteri,
saya sudah tahu Anwar sudah tubuh berbagai cell dalam UMNO dan juga
dalam kerajaan.”
Sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri,
tentulah Mahathir mendapat berbagai laporan mengenai Anwar dari pihak
Cawangan Khas (Special Branch).
Anwar mungkin berpendapat kedudukannya dalam UMNO dan kerajaan super
hebat dan kuat apalagi dia dianggap sebagai anak emas Mahathir.
Memang ada perasaan kurang senang di kalangan sesetengah Menteri
Kabinet dan UMNO bila Anwar mengepak dan berkokok sebagai pemimpin yang
kononnya akan menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Mahathir juga pernah membuat kenyataan akhbar dan juga dalam berbagai
ucapannya, bahawa Anwar akan menjadi pengganti beliau sebagai Perdana
Menteri kelak. Sokongan kuat dari Mahathir menjadikan Anwar dan para
kabilahnya mabuk kuasa.
Memang benar kata Mahathir, bahawa Anwar telah merancang untuk
mengambil alih kuasa dengan meletakkan orang-orangnya dalam parti dan
juga kerajaan. Sebahagian besar Ketua-ketua Bahagian UMNO sudah “dibeli”
kesetiaan oleh beliau. Banyak yang mendapat saham pink form sewaktu
Anwar menjadi Menteri Kewangan merangkap Timbalan perdana Menteri.
Mereka yang lama berjuang dalam UMNO dan menjadi Menteri terpinggir
oleh ombak sokongan Ketua-ketua Bahagian dan Menteri-menteri Besar
tertentu terhadap Anwar. Malah ada setengah pemimpin UMNO berlagak
sombong sebagai juak-juak Anwar yang digamit datang, dinyah pergi.
Mereka tidak segan-silu memperlihatkan gelagat sebagai juak-juak dan
pengampu-pengampu Anwar yang bakal menggantikan Mahathir kelak.
Mereka dihanyut oleh mimpi yang tidak bertepi. Mereka sudah menganyam
angan-angan bahawa kalau Anwar menjadi Perdana Menteri, mereka akan
mendapat kedudukan yang penting kerana menjadi sang setia pemimpin
berasal dari Cheruk Tok Kun itu.
Sebenarnya banyak pihak dalam UMNO tidak suka Anwar menyertai parti
itu. Banyak meramalkan dia akan menimbulkan berbagai masalah dalam
kepimpinan parti kelak. Apakan daya Mahathir sudah menerima Anwar dan
secepat kilat menjadi ahli Kabinet pula. Ini menimbulkan kejengkelan
sesetengah pemimpin.
Tapi siapakah antara mereka yang sanggup menentang kemahuan Mahathir? Semua diam. Semua angguk.
Anwar tahu, berbagai Menteri dan pemimpin UMNO tidak senang dengan
kehadirannya dalam Kabinet dan pimpinan parti. Dia tidak peduli itu
semua. Dia ada rancangan maha penting untuk dilaksanakan dengan seberapa
segera. Dia persetan dengan Sanusi Junid dan Pak Lah, Megat Junid
(Allahyarham) dan lain-lain. Dia akan menentang siapa saja yang
menghalang dia mencapai matlamat perjuangannya.
Mahathir juga ada agendanya yang tersendiri bila melamar Anwar
menyertai UMNO. Dia juga mahu mengukuhkan kepimpinannya dalam parti dan
kerajaan. Justeru itu dia menerima Anwar, dengan harapan Anwar akan
terhutang budi padanya dan akan menari menurut rentak kemahuannya.
Pada hemat Mahathir, Anwar boleh menentang pengaruh PAS dan akan
memberi dinamisme dalam kepimpinan UMNO. Lebih-lebih lagi Anwar
mempunyai hubungan yang akrab dengan sesetengah pemimpin Arab di Timur
Tengah dan juga beberapa negara Eropah dan Amerika. Dia menganggap Anwar
akan kekal menjadi sang setia, lantaran dia menjadi anak emas Perdana
Menteri.
Mahathir juga ada muslihatnya. Sengaja dia war-warkan Anwar sebagai
bakal Perdana Menteri untuk melihat reaksi dari berbagai kabilah dalam
UMNO. Mereka yang berhajat hendak mengekalkan kedudukan dalam pimpinan
parti serta Kabinet akan tetap berpaut pada Mahathir, selagi nyawa
politik dikandung badan dengan harapan Mahathir tidak gugurkan mereka
dari kedudukan yang super nyaman sebagai Menteri.
Dalam menjaga kedudukan masing-masing, baik Anwar mahupun mereka yang
anti Anwar, akan tunduk pada Mahathir yang menjadi bos mereka.
Buat sementara waktu, Anwar menari menurut hasrat Mahathir. Dia ingin
menunjukkan kepada Mahathir, bahawa dia adalah sang setia nombor wahid
seperti Laksamana dalam hikayat Hindu Seri Rama.
Dia melakukan apa saja untuk menjamin Mahathir tidak difitnah oleh
puak-puak lain untuk menjatuhkannya. Risiko politik besar sekali. Anwar
tidak boleh silap langkah yang boleh membawa akibat buruk pada diri dan
masa depan politiknya.
Dia banyak musuh. Seperti buaya lapar, musuh-musuhnya hanya menunggu
waktu untuk menyingkirkannya dari kedudukannya yang penting sebagai
orang nombor dua kepada Perdana Menteri.
Dia tidak ada banyak masa untuk menunggu lama-lama, takut jawatan
pentingnya dikebas orang. Dia harus fokus pada matlamat perjuangannya.
Dia harus bijak bermain politik. Kata perumpamaan Melayu, “Pukul ular,
ular biar mati, kayu jangan patah, tanah jangan berlekuk.”
Silat dan kuntau dalam mainan politik memerlukan kesabaran,
kebijaksanaan, kerakusan dan kalau perlu kezaliman. Dalam politik semua
boleh jadi. Tidur sebantal tapi mimpi lain-lain.
Anwar sedar, sekiranya Mahathir tetap sayang padanya dan mahu dia
menjadi pengganti sebagai Perdana Menteri, tidak siapa pun yang berani
menyingkirkannya dari kepimpinan parti. Walaupun dia tidak bersetuju
dengan Mahathir dalam beberapa perkara, namun dia tetap memperlihatkan
sokongan penuh kepada bosnya.
Kalau Mahathir menjadi Seri Rama, biarlah dia menjadi Laksamana sang
setia yang tidak berbelah bagi. Dalam masa angguk-mengangguk dengan
Mahathir, dia terus menerus meletakkan juak-juaknya dalam semua bahagian
UMNO, kerajaan dan berbagai badan berkanun. Boleh dikatakan para
penyokongnya secara aktif dan pasif terdapat dalam berbagai sektor,
kerajaan dan bukan kerajaan, berbagai NGO dan juga di kalangan generasi
muda di berbagai kampus universiti.
Ada orang berkata, Anwar hendak “abimkan” UMNO. Banyak rakan-rakan
Anwar dalam ABIM diberi kedudukan dalam parti, kerajaan dan badan
berkanun.
Memandangkan Anwar seorang pejuang Islam yang kini mendapat kedudukan
tinggi dan menjadi orang kepercayaan Perdana Menteri, maka banyak pihak
menafsirkan Anwar hendak melakukan reformasi dalam UMNO, dengan
meluaskan jaringan ABIM di berbagai peringkat dalam parti.
Kononnya dia akan berusaha supaya UMNO dan PAS akan bergabung tenaga
sebagai parti politik Melayu Islam yang super hebat dan super kuat di
tanah air.
Perlulah diingat sahabat-sahabat Anwar dalam ABIM juga menyusur masuk
ke dalam pimpinan PAS. Menurut beberapa pemimpin UMNO veteran, mereka
yang tidak sehaluan dengan citarasa politiknya akan disingkir dari
kepimpinan UMNO. Dengan kata lain, Anwar akan memilih mereka yang
sehaluan dengannya untuk menerajui parti.
Ini bermakna, mereka yang menari menurut rentak tengo Anwar akan
menguasai UMNO kelak kalau ditakdirkan Allah dia menjadi Perdana Menteri
merangkap Presiden UMNO.
Kalau dulu dia banyak mengecam kepimpinan UMNO yang dikatakan rasuah,
menyalahgunakan kuasa dan gila kuasa, tidak bermoral, mengamalkan
kronisme, ampuisme dan nepotisme, maka apakah Anwar Ibrahim kelahiran
Cheruk Tok Kun dari Seberang Perai, menjadi pemimpin UMNO yang super
bersih, lebih bersih dari sabun feb?
Kalau UMNO dikatakan parti politik yang dipimpin oleh manusia-manusia
yang tidak bertanggungjawab, mengapakah ia terus diberi mandat oleh
rakyat untuk memerintah negara sejak merdeka hingga sekarang?
Apakah
Anwar sendiri sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri
Kewangan merangkap lagi sebagai Timbalan Presiden UMNO, berjaya
melakukan reformasi seperti yang dimimpikannya?
Tanya pada Anwar, mengapakah dia menerima pelawaan menyertai UMNO
sekiranya dia sungguh-sungguh membenci UMNO? Dia pernah menjadi “siswa
yang tak dipinta” di “Universiti Kamunting” selama dua tahun kerana
berjuang untuk membela rakyat lapar di Baling dan ingin mengubah senario
politik tanah air.
Mengapa dia tidak menyambung perjuangan yang super suci sebagai
pembela rakyat melalui NGO seperti ABIM yang dipimpinnya? Mengapakah dia
tidak menyertai PAS untuk menentang berbagai kemungkaran yang dilakukan
para pemimpin UMNO? Mengapa dia menyertai UMNO dengan senyuman meleret,
dada terbuka?
Mengapa dia memilih UMNO dengan segala sorak-sorai, renjisan air
mawar, dikalung bunga malai dengan tiupan nafiri dan pukulan tabla
segala? Apakah yang ada pada UMNO yang tidak ada pada dirinya? Ada deh.
Dia dan kabilahnya marhaban ya marhaban, bila Mahathir menjadikan Anwar
sebagai Menteri Kabinet dengan mudah tanpa perlu menjerit membela rakyat
miskin yang makan ubi gajah lagi.
Kata mereka yang mengikuti liku-liku sejarah hidupnya Anwar, seperti
ular menukar kulit bila disintuk limau sebagai Menteri Kabinet dengan
mimpi untuk menjadi bakal Perdana Menteri.
Hanya melalui UMNO Anwar boleh mempercepatkan khayalan dan mimpinya
sebagai bakal Perdana Menteri menjadi realiti. Waktu menjadi pemimpin
pelajar, dia benci UMNO. Bila direnjis air mawar sebagai Menteri, maka
kebencian menjadi percintaan yang memabukkan untuk sementara waktu
sebelum dia mencapai cita-cita nafsu besarnya untuk menjadi bakal
Perdana Menteri selepas Mahathir.
Kuasa adalah inti mainan politik. Sebagai pembangkang, Anwar hanya
boleh menjerit dan melolong, namun kera di hutan pun tidak panik dengan
jeritan slogan sebagai mantera politiknya.
PAS dan DAP sudah lama berjuang sebagai pembangkang dan sehingga sekarang tidak mampu menumbangkan kerajaan UMNO / BN.
Justeru itu, dia mesti menjadi ahli UMNO untuk merealisasikan agenda
politiknya yang terpendam. Justeru itu, dia terhutang budi pada Tengku
Razaleigh Hamzah yang menyakinkan Mahathir bahawa Anwar boleh membantu
UMNO untuk menentang pengaruh PAS.
Secara tidak langsung, Mahathir mengakui Anwar besar pengaruhnya di
kalangan rakyat terutama sekali generasi muda kerana pendekatannya
sebagai pejuang Islam. Pada waktu itu, Mahathir lebih bimbang terhadap
gugatan PAS yang kian merebak sampai ke kampus-kampus.
Sebagai pejuang Islam, bekas tahanan Kamunting, dengan jaringan
hubungannya dengan berbagai pemimpin negara-negara asing, Anwar boleh
membantu kerajaan memperkukuhkan lagi kekuasaan dan kepimpinan UMNO. Ini
pandangan Mahathir.
Anwar mengangguk dan tersenyum girang bila dia dijulang sebagai
pemimpin muda yang berjiwa Islam untuk menangkis serangan PAS dan
membela UMNO dalam apa saja keadaan.
Kata peribahasa Inggeris, “make hay while the sun shines” (jadikan rumput kering waktu matahari masih panas) dan “strike when the iron is hot” (pukul besi waktu ia masih panas). Inilah masa dan ketika yang paling baik bagi Anwar membuat cell-cellnya dalam berbagai bidang kehidupan rakyat dan juga kerajaan dan pihak swasta.
Masa berbulan madu dalam politik perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya
supaya tidak ketara bahawa dia dan juak-juaknya sedang merancang untuk
mendapat sokongan rakyat, ahli-ahli UMNO khasnya, sebagai persediaan
menghadapi cabaran terhadap Mahathir.
Seperti orang tidur disarung bantal, Anwar tidak lepas peluang untuk
merancang strategi politiknya. Apa yang diidam-idamkan sewaktu memimpin
pergerakan pelajar dan ABIM akan menjadi kenyataan. Mimpinya untuk
bersemayam di Putrajaya sebagai Perdana Menteri semakin cerah, cerahnya
seperti bulan purnama.
Dia sedar, hanya melalui UMNO dia boleh mencapai cita-cita yang
terpendam. Bukan melalui PAS yang akan kekal sebagai pembangkang. Dia
harus bersikap tolenrasi dengan PAS kerana ada sahabat-sahabat karibnya
dalam parti itu yang boleh membantu melonjakkan dia sebagai bakal
Perdana Menteri kelak.
Malah PAS juga menjadi modal politiknya sekiranya juak-juaknya
menguasai parti itu dan mempengaruhi percaturan politik Melayu dan Islam
pada masa akan datang. Pada waktu itu DAP tidak termasuk dalam
perhitungannya sebagai alat politiknya, oleh kerana DAP dianggap
sebagai parti politik chauvinis Cina.
Kekuatan UMNO dan PAS ialah sokongan mutlak dari orang Melayu. Untuk
menjadi bakal Perdana Menteri, seseorang tokoh mesti mendapat dukungan
dari masyarakat Melayu. Tanpa sokongan Melayu, hanya mimpi yang berlabuh
di Sri Perdana dan Putrajaya.
Sejak merdeka hingga ke hari ini, malah 50 tahun akan datang, politik
Malaysia masih berteraskan politik perkauman. Orang Melayu sebagai
pribumi tidak akan merelakan kuasa politik tanah air berpindah kepada
kaum-kaum lain.
Bukan Melayu boleh berkongsi kuasa dengan orang Melayu selagi
kedudukan dan kuasa politik Melayu tidak tergugat. Politik akomodasi
dengan bukan Melayu sejak merdeka hingga sekarang mestilah berdasarkan
hasrat keramat Perlembagaan Negara.
Setiap warganegara, tidak kira bangsa, agama, adat dan kebudayaan,
mesti patuh dan terima segala aspek dari Perlembagaan Negara tersebut.
Seperti kata peribahasa Melayu, “di mana bumi dipijak di situ langit
dijunjung’, “masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing
mengembek.”
Dari segi strategi politik, Anwar nampak bijak. Retorikanya yang
berbunga janji ditabur mengikut selera para pendengarnya. Seperti
penjual ubat kuat di Lorong Haji Taib, Anwar melontarkan berbagai janji
tentang gagasan fikirannya untuk mengkhayalkan mereka yang mendengar,
seolah-olah dia boleh menjadi Perdana Menteri terbaik sekiranya mereka
menyokong kepimpinannya.
Kebanyakan para pendengar terpengaruh dengan gagasan ideanya yang disampaikan dalam pidato yang penuh dramatic. Ceramah-ceramah Anwar mendapat sambutan hebat oleh berbagai golongan masyarakat bukan Melayu.
Karismanya sebagai pemimpin, ucapannya yang dramatik menjadi mantera
politik yang menyebabkan dia terserlah sebagai pemimpin dari kebanyakan
pemimpin-pemimpin politik yang lain. Oleh kerana terpengaruh dengan
pidato Anwar, banyak yang menganggap dia layak menjadi bakal Perdana
Menteri. Ucapannya yang berapi-api menjadi mantera politik, tangkal
azimat untuk meruntun sokongan dari mereka yang tidak mengenalinya dari
dekat.
Dia memperkenalkan “masyarakat madani” sebagai wadah perjuangan
politiknya yang lebih merupakan sebagai penciptaan masyarakat majmuk
Malaysia yang utopia. Dia melontarkan idea keadilan, hak asasi manusia,
demokrasi, ketelusan, anti kezaliman, percambahan agama sebagai
pembangunan spiritual masyarakat majmuk.
Dalam bukunya, “Asian Renaissance” (Kebangkitan Gelombang Asia),
menonjolkan gagasan masyarakat madani sebagai suatu aspek dari riadah
intelektual (intellectual exercise) Anwar Ibrahim yang cuba meraih sokongan dari kalangan intelektual dan inteligensia di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Menurut Datuk Jaafar Rahim, yang menterjemahkan buku ini, dia dijanjikan untuk mendapat upah yang setimpal dengan kerjanya.
Kata Jaafar Rahim, “Haram sekupang pun aku tak dapat. Anwar mungkir janji.”
Dia ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa dia dapat menyesuaikan
diri dan fikiran untuk semua golongan.
Dia ingin mendekati petani,
nelayan, buruh dengan menyanyikan lagu politik untuk mereka.
Di kalangan mahasiswa dan golongan profesional, Anwar memakai topeng
intelektual dengan memagut kata-kata falsafah dari berbagai sumber untuk
“memenderamkan” mereka bahawa dia mempunyai darjat intelektualisme yang
super hebat, sesuai dengan mimpinya untuk menjadi bakal Perdana
Menteri.
Di kalangan ulama dan para ustaz dan ustazah, dia bercakap tentang
agama dan tidak melepas peluang menjadi imam, memberi khutbah sembahyang
Jumaat.
Di kalangan kaum wanita, ada pula tali pengikat dalam ucapannya untuk menambah para penyokongnya.
Pendek kata, Anwar boleh menyesuaikan diri dan jiwanya dalam berbagai
golongan masyarakat dan bangsa. Ibaratkan drama dia, Anwar Ibrahim
boleh berlakon berbagai watak, baik sebagai hero mahu pun sebagai ketua
kruk…
Anwar bukan sebarang pelakon. Dia ada agenda yang tersembunyi. UMNO
telah membuka peluang untuk dia merealisasikan agenda yang terpendam.
Dia sudah menonjolkan dirinya sebagai pejuang Islam, menjadi imam,
pembaca khutbah, sebagai pendukung demokrasi, anti kronisme, anti
nepotisme, anti feudal, seorang pencinta ketelusan, pro Barat, pro Arab,
pro perdamaian. Semua dilondehkannya sebagai peragaan diri dan
personalitinya.
Dia juga memperlihatkan kebijaksanaannya berpidato yang boleh membara
semangat para pendengarnya. Dia ada karisma, dia dianggap handsome oleh
setengah pihak dan dia ada gaya serta intelek yang dapat menarik
perhatian orang ramai.
Semua dia dedahkan tentang dirinya. Hanya satu. Hanya satu inilah
yang membimbangkannya sejak dia menyertai Kabinet Mahathir, ini yang
menghantui dia dari dulu hingga sekarang dan sampai habis hayatnya.
Petikan dari buku Yahaya Ismail, “Anwar Ibrahim, pengkhianat Atau Patriot?,” Usaha Teguh Sdn Bhd, 2011.
Salam Admin.
ReplyDeleteUntuk golongan pertengahan umur (40 tahun) macam saya petikan buku ini menarik. Dapat juga sedikit sebanyak yang mengisi ruang kosong rantai-rantaian fakta apa yang telah saya ketahui sebelum ini. Juga sewaktu maklumat sebelum saya lahir lagi atau waktu saya amat kecil lagi seperti zaman 1970an. Seperti Sukma menjadi "image consultant" (tersenyum jugak membaca perkataan ini). Saya ingat hanya sebagai adik angkat sahaja sebelum ini.
Akan tetapi pada sayalah dalam keadaan suasana sekarang post yang agak panjang kurang sesuai untuk semua golongan. Saya yang pertengahan umur yang sepatutnya mempunyai daya konsentrasi yang tinggi pun boleh lelah membaca petikan ini.
Fikirkan bersama ada atau tidak yang berpangkat adik-adik atau anak-anak di bawah saya hendak membacanya? Rasanya sukar.
Pada saya dalam suasana baharu ni, petikan ini boleh diterjemahkan dalam media yang lain. Yang paling bagus di ringkaskan kepada video lima minit misalnya. Jadikan lima minit video sebagai satu standarad paling tinggi untuk penghasilan video. Lagi pendek lagi bagus tetapi ringaksannya hendaklah berkesan. Selitkan sedikit lawak jenaka, parody atau spoof misalnya. Sebarkan melalui media sosial FB twitter Youtube dan lain-lain. Jika tidak mempunyai kemudahan, ringkaskan petikan ini lagi.
Penulis buku tersebut telah menjalankan tugasya. Pengamal media seperti Tuan Admin juga haruslah menjalankan tugas Tuan seperti zaman sekarang ni yang menterjemahkan petikan ini dengan suasana sekarang.
P/s Saya rasalah Blogging semata-mata pun dah ketingalan zaman juga. Apakata buka Youtube channel misalnya. Maklumat boleh di sampaikan dalam media pelbagai. Kalau blogging dari media penulisan sahaja orang akan cepat bosan.