Kalau mereka berjaya menawan Putrajaya dan pada masa itu
bertelagah siapa akan jadi Perdana Menteri dan siapa Timbalan Perdana
Menteri. Kedudukan apa yang akan diserah kepada Pas, Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan DAP, apa akan jadi kepada negara?
“Sebaik sahaja anda (pembangkang) melangkah ke Putrajaya, rakyat
mahu tahu (senarai Kabinet) atau dalam kata lain negara tidak boleh
tunggu. Sebab itu saya cakap mentadbir Malaysia yang terdiri daripada
pelbagai bangsa bukan tugas mudah, ia tugas yang sangat kompleks.”
Demikian pandangan Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi DAP.
Syarat untuk jadi PM dan jadi kerajaan Malaysia, sebuah negara yang
sangat kompleks, bukan sekadar seseorang itu mesti cukup sifat, tidak
cacat dan boleh membaca, menulis dan mengira, bertutur dengan baik.
Syarat terpenting seharusnya mesti adil dan saksama kepada semua kaum
(rakyat). Adil dan saksama bukan bermaksud sama rata dan sama rasa.
Untuk bersikap adil dan saksama, seseorang itu mestilah seorang yang
rasional dan tidak mengikut perasaan atau emosi. Sifatnya mestilah
menahan setiap ragam dan bukan seorang yang suka membuat ragam kerana
negara ini sangat kompleks dari segi etnik, kepercayaan dan perbezaan
sosio-ekonomi.
Kompleksiti negara ini ibarat telur di hujung tanduk. Boleh hancur
sekelip mata jika tidak berhati-hati dalam membuat keputusan atau polisi
pentadbiran.
Trek rekod UMNO/BN yang tidak mampu dilakukan oleh sesiapa pun ialah
keupayaan mengendalikan sebuah negara yang berada di hujung tanduk
selama lebih 60 tahun “tanpa telur jatuh”.
“Urat dan kerandut” yang menyangkutkan telur ini kekal di hujung
tanduk tanpa jatuh-jatuh ialah kejayaan fungsi “perundingan dan
permuafakatan” antara etnik, kepercayaan dan kepelbagaian latar belakang
yang wujud dalam situasi yang sangat kompleks.
Kalau tahap pemimpin dan parti yang membentuk kerajaan hanya setakat
mampu mengurus dan memobilisasi demonstrasi dan rusuhan jalanan saja,
negara pasti lebih cepat hancur.
Kalau setakat mengurus kepelbagian dan sensitiviti etnik dengan
mengamalkan politik pendekatan sesumpah, paling lama sebulan, rusuhan
kaum pasti akan berlaku.
Kalau dah sampai dekat PRU pun masih tidak mampu berterus-terang
dengan rakyat mengenai soal penting, iaitu memperkenalkan barisan
kabinet bayangan, itu adalah petanda paling besar yang membuktikan
bahawa barisan pembangkang tidak layak sama sekali menjadi kerajaan
dalam situasi yang sangat kompleks ini.
Tapi kalau rakyat nak cuba dan nak rasa bagaimana hidup dalam kancah
kemusnahan sebaik selepas subuh pakatan haram berjaya mengambil-alih
Putrajaya, silakanlah…
Kamarulzaman Kamdias (kkamdias.blogspot.com)
No comments:
Post a Comment