WAJAHNNYA pilu dan sesekali jari-jemarinya mengesat air yang tumpah dari
kolam matanya yang berkaca, namun Norish Karman, 37, tetap mengagahkan
diri. Dia bercerita dan terus bercerita tentang lara yang sedang
dihadapi ekoran pelbagai kontroversi.
Tahun lepas namanya panas gara-gara kehadiran seorang bayi diberi nama
Haq Lutfie Alexander yang sehingga kini masih dirahsiakan identiti
bapanya. Tahun ini, air muka pelakon berkaliber yang cukup dikenali
dengan panggilan NK itu masih belum habis diconteng dengan arang.
Sama ada terhukum oleh kesilapan lalu atau dihukum sewenang-wenangnya
oleh media, apa yang berlaku kepada Norish sebenarnya satu episod hitam.
Luka hidupnya tidak pernah sembuh.
Semuanya bermula beberapa tahun lalu selepas rumah tangganya bersama
Datuk Hashimuddin Abdul Kadir hancur dipukul badai pada 2008. Dalam
tempoh beberapa tahun ini, namanya tenggelam timbul. Selesai soal
penjagaan anak-anak, muncul pula kisah bercinta lelaki muda. Tidak habis
dengan perkara itu, tiba-tiba pula dia dikatakan menyembunyikan diri
dan hamil anak luar nikah.
Terbaharu, Norish dikecam seorang wanita yang mendakwa pelakon itu cuba
merampas suaminya. Norish, baru-baru ini terpaksa merasakan sudah tiba
masa untuknya bangkit memperjelaskan keadaan sebenar kepada media.
"Semua cerita dan kontroversi yang selama ini dipaparkan oleh pihak
media sangat mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya. Saya lebih teruk
daripada banduan kerana media terus menjatuhkan hukuman kepada saya
tanpa mempedulikan berita itu sahih atau tidak," getus Norish dalam nada
hiba usai majlis solat hajat dan jamuan makan buat peminat-peminatnya
di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Norish mengambil peluang itu untuk beramah-mesra dengan media yang
selama ini disifatkannya tidak habis-habis mencungkil cerita panas
tentang dirinya.
"Tanyalah saya apa sahaja, selama ini pihak media tidak habis-habis
telefon saya minta komen macam-macam cerita," katanya separuh tegas,
separuh berseloroh.
Lebih memburukkan keadaan, kata Norish: "Karier lakonan saya mendapat
impak yang paling teruk. Selama enam bulan sampai ke hari ini, saya
tidak berlakon dan tidak mendapat sebarang tawaran lakonan. Semua itu
kesan cerita buruk tentang saya yang dijaja oleh media."
Kehilangan sumber pendapatan hasil lakonan menyebabkan Norish melakukan
kerja-kerja sampingan lain seperti katering dari rumah dan memenuhi
jemputan mengadakan ceramah motivasi. Sepanjang tiada tawaran lakonan
juga, Norish menumpukan perhatian untuk promosi albumnya, Terus
Melangkah.
Untuk tahun 2013, dia masih punya harapan untuk menjayakan promosi dan
persembahan jelajah untuk album berkenaan ke seluruh negara.
"Mujurlah saya masih ada peminat yang terus memberi sokongan. Sekarang
saya ada empat akaun Facebook kerana satu akaun tidak menampung jumlah
pengikut yang ramai," akui Norish.
Berhubung kontroversi terbaharu dituduh sebagai artis perampas suami
orang yang terpalit ke mukanya, ibu kepada empat orang anak itu
menjelaskan dakwaan itu adalah kenyataan yang dilemparkan oleh seorang
wanita yang pernah dianggap seperti kakak sendiri.
"Tuduhan itu buat saya bertambah sedih dan terkilan. Dia bukan sahaja
kawan bahkan saya anggap sebagai kakak sendiri. Saya kenal rapat
keluarga tapi tidak perlulah namanya disebut, saya tidak mahu dia pula
yang dicerca oleh masyarakat.
"Ini semua kerana cemburu dan iri hati. Dia cemburu kerana anak-anaknya
sangat rapat dengan saya. Dia mungkin kurang senang dan fikir saya mahu
rampas suaminya. Saya langsung tidak tergamak untuk runtuhkan rumah
tangga orang lagipun suaminya sudah berusia 66 tahun," jelas Norish.
Menurut Norish, dia tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan
undang-undang kepada penyebar fitnah berkenaan. Dia cuma kesal kerana
hubungan yang terbina selama lima tahun musnah begitu sahaja gara-gara
prasangka tanpa usul periksa.
No comments:
Post a Comment