Followers

rantau ku sayang

Monday, September 8, 2014

AJK PAS Pusat sanggah Hadi, tetapkan kerusi MB Selangor milik PKR


Jawatankuasa PAS Pusat hari ini menegaskan untuk tidak menuntut kerusi Menteri Besar Selangor, sekaligus menolak tindakan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilapor mencalonkan  ADUN PAS  kepada Istana Selangor untuk dilantik mengisi jawatan itu.

"Keputusan mesyuarat hari ini memutuskan PAS tetap dengan keputusan sebelum ini tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor," kata Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali pada sidang akhbar selepas mesyuarat JPP. 

“(Keputusan) yang hari ini (adalah) yang terakhir,” kata Mustafa.

Hadi mempengerusikan mesyuarat lima jam itu namun tidak hadir pada sidang media berkenaan.

Bagaimanapun Mustafa mendakwa keputusan itu turut didokong oleh Hadi.

“Presiden hadir bersama dengan kita hari ini..ertinya dia bersama dengan kita,” kata beliau.

Mustafa enggan mengupas tindakan Hadi menghantar beberapa nama calon MB daripada parti itu untuk pertimbangan Istana Selangor.

“Nama (yang dihantar Hadi) tak apa, kita beri  nama tidak bermakna Tuanku (Sultan) tidak memahami perkara (ini). Bagi kita peringkat parti sebagaimana kita sebut jawatan Menteri Besar, PAS tak tuntut,” tegasnya.

Beliau berkata Jawatankuasa PAS Pusat mengambil ketetapan untuk menyerah kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membuat keputusan calon paling layak menjadi MB. .

Kelmarin Hadi terang-terangan menyifatkan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai tidak berkaliber untuk menjadi MB Selangor  dan menegaskan keputusan itu " bukan kerana beliau wanita."

PKR dan DAP mengemukakan Wan Azizah sebagai calon tunggal mereka kepada Sultan Sharafuddin untuk mengisi jawatan MB sungguhpun baginda menitahkan parti-parti komponen Pakatan Rakyat mengemukakan lebih daripada dua nama.

Setakat ini Hadi tidak menafikan laporan bahawa beliau mengemukakan nama tiga ADUN PAS termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad untuk pertimbangan Sultan.

Senarai itu kemudian dipinda dengan memasukkan nama dua ADUN PKR iaitu Yaakob Sapari dan Idris Ahmad namun pencalonan Iskandar dikekalkan,

Hadi mendapat restu Majlis Syura untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat bulan lalu yang mencalonkan Wan Azizah dan Azmin untuk pertimbangan Sultan bagi menduduki kerusi MB.

Mohamad Sabu sebelum ini mengesahkan Hadi bertindak bersendirian dalam mengemukakan senarai calon itu.

PAS dan PKR bertelagah sejak sebulan lalu setelah PKR nekad mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai MB, PKR akhirnya memecat Khalid Ibrahim daripada parti itu di atas tuduhan beliau terbabit dalam beberapa urusan mencurigakan.

Dalam reaksi balas, Hadi dan golongan ulama PAS menolak Wan Azizah yang ditampilkan oleh PKR sebagai calon tunggal untuk menggantikan Khalid dan  polimik itu berlarutan sehingga memecah belahkan Pakatan Rakyat. 

No comments:

Post a Comment