Followers

rantau ku sayang

Friday, September 19, 2014

Pengkalan Kubor: PAS yang bertanding, PKR yang menyibuk...


Rata-rata pemerhati politik memuji kempen pilihanraya calon-calon yang bertanding di Pengkalan Kubor.
Tak ada sangat yang buat 'tension' dan semua berjalan ikut peraturan yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kecuali PKR, parti yang 'menyibuk' di Pengkalan Kubor hendak juga pasang bendera mereka walau yang bertanding dalam pilihanraya kecil ini adalah PAS.

Mungkin takut orang lupa kot.

Selain 'menyibuk', PKR juga tak endah teguran dan nasihat SPR supaya ia menurunkan kain rentang yang memaparkan logo parti itu.

Walaupun telah diberi amaran sebanyak empat kali sejak beberapa hari lepas, pemimpin negeri PKR sebaliknya menyalahkan SPR kerana suruhanjaya itu hanya memberikan amaran lisan.

Pengerusi PKR Negeri Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata SPR sepatutnya mengeluarkan amaran bertulis bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan lanjut.

"Mereka (SPR) kata parti yang tidak bertanding tidak boleh menaikkan kain rentang atau bendera yang memaparkan logo sedangkan kami adalah Pakatan Rakyat," katanya Rabu.

Ab Aziz berkata selepas berbincang dengan pegawai SPR terbabit, pihaknya bersetuju untuk menutup logo parti itu tetapi enggan menurunkan kain rentang besar yang diletakkan pada bangunan dua tingkat itu,  yang dijadikan bilik gerakan mereka.

"(Amaran) mereka (SPR) hanya merujuk kepada logo, jadi kita akan menutup logo sahaja, kain rentang tidak buang. Kita akan buat selewat-lewatnya malam ini," katanya.

Selain mengandungi logo parti itu, kain rentang itu turut memaparkan wajah pasangan suami isteri iaitu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain wajah Timbalan Presiden parti itu Mohd Azmin Ali.

Berikutan itu, petang Rabu, SPR terpaksa mengeluarkan kenyataan media sekali lagi mengingatkan hanya parti bertanding sahaja yang dibenarkan mempamer dan mengedar bahan-bahan kempen sepanjang PRK itu.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata kebenaran itu diberikan kepada parti bertanding mengikut 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu selepas mereka mendapat permit daripada Pegawai Pilihan Raya Negeri dan telah membayar deposit sebanyak RM3,000.

"SPR juga menasihatkan supaya setiap parti yang bertanding sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak berkempen dengan cara yang boleh menimbulkan hasutan dan sebagainya.

"Perkara 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas menyatakan tentang kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan sepanjang tempoh kempen berlangsung, yang jika sabit kesalahan, ia boleh diambil tindakan tegas," katanya.

Abdul Ghani berkata bagi parti-parti yang menggunakan premis awam atau swasta, SPR menasihatkan parti berkenaan mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis itu termasuk membayar sewa jika mahu menggunakannya semasa PRK itu.

Bagi lambang parti-parti politik yang digantung di luar kawasan PRK, beliau berkata ia tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.

Abd Ghani berkata bagi memastikan proses PRK itu berjalan dengan aman dan harmoni, semua pihak termasuk pemimpin parti politik, calon bertanding, penyokong parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai diminta mematuhi undang-undang, peraturan dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR dan Polis DiRaja Malaysia.

"SPR berharap aktiviti berkempen akan berjalan lancar dan tidak mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.

PRK Dun Pengkalan Kubor diadakan ekoran kematian penyandangnya Allahyarham Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas. SPR menetapkan 25 Sept ini sebagai hari mengundi.

PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada PRU13 tahun lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. 

No comments:

Post a Comment