Followers

rantau ku sayang

Wednesday, September 24, 2014

Mari teropong di sebalik tindakan Khalid tutup pejabat Penasihat Ekonomi Selangor


'Seronok Faekah nak tunjuk kuasa semalam. Biarlah, hari terakhir...'.Itu kalimah ringkas yang agak sinis ditulis Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Seri Setia,Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad di laman twitter beliau pagi Selasa.

Hal yang dimaksudkan ialah keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor Isnin,yakni pada hari akhir Tan Sri Khalid Ibrahim Menteri Besar tutup Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Orang yang beliau tujukan ayat itu tentulah pada Faekah Husin yakni Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

Ini kerana beliau yang keluarkan kenyataan media memberitahu mengenainya.

Faekah ialah orang kuat Tan Sri Khalid Ibrahim.Sebelum pegang jawatan CEO MBI beliau ialah Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar itu.

Beliau memang vokal dalam mempertahankan Khalid dan diketahui umum ramai kalangan pimpinan PKR geram padanya.

Dari satu sudut keputusan ini memang nampak lawak sikit.

Bunyi macam Khalid ' pecat' Anwar sebelum langkah keluar.

Ibarat kata orang yang hari ini nak berhenti macam nak ' kasi ajar' tutup pejabat kawan itu.

Sebaliknya orang yang ganti Khalid Menteri Besar ialah Azmin Ali.Sudah tentu sebagai orang kanan Anwar - kalau mahu- beliau boleh petik jari buka balik Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Jadi ia dilihat sebagai satu keputusan tidak bermakna dan macam orang lepas geram kerana sour grape.

Mungkin Nik Nazmi nak perli Faekah 'nak tunjuk kuasa' pada hari akhir.

Setakat ini tidak tahulah bagaimana kedudukan Faekah sebagai CEO MBI.Apakah kekal atau tidak.

Faekah sebelum ini sudah umum keluar PKR kerana hilang kepercayaan pada parti itu dalam isu jawatan Menteri Besar.

Namun ada kalangan pemerhati politik yang baca tindakan Khalid itu dari sudut lain.

Mereka merasa ia tindakan simbolik untuk lenyapkan kewujudan Anwar secara rasmi dalam pentabiran Selangor.

Ini dikatakan mungkin juga ada kaitan dengan beberapa tindak tanduk Ketua Umum PKR itu yang terus menerus melanggar titah Sultan Selangor dalam isu Menteri Besar.

Juga mungkin tentu ramai nak tengok samada Azmin akan lantik semula bos politiknya itu dalam arus pentabiran pimpinanya.

Istana baru-baru ini dikatakan membayangkan Sultan tidak mahu Menteri Besar yang ' remote control'.

Ini yang dikatakan antara faktor yang buat nama Datuk Seri Wan Azizah Ismail tergelincir.

Kini sudah pasti ramai yang akan mula teropong samaada Azmin Menteri Besar yang ' bebas' urus sendiri negeri ikut akujanji sumpah jawatan depan Sultan Selangor.

Sementara itu ketika ditanya mengenai hal ini semasa sidang akhbar di Istana Alam Shah selepas angkat sumpah jawatan,Azmin kata beliau akan meneliti alasan kenapa Khalid tutup pejabat Penasihat Ekonomi Negeri itu sebelum buat apa-apa keputusan mengenainya.


BERIKUT IALAH KENYATAAN FAEKAH HUSIN ISNIN


MMKN PUTUSKAN PEJABAT PENASIHAT EKONOMI SELANGOR DITUTUP

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini bersetuju supaya Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor di Plaza Perangsang ditutup berkuatkuasa serta merta bagi menjimatkan kos pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri berpendapat urusan melibatkan hal ehwal ekonomi boleh dilakukan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) yang merupakan pusat sehenti dan memiliki pegawai-pegawai terlatih serta berpengalaman terutama melibatkan urusan pentadbiran, prosedur dan promosi.

Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor ditubuhkan pada 2009 dan diletakkan di bawah Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) serta bertujuan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam bidang ekonomi dan kewangan sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Kita mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim di atas sumbangan dan perkhidmatan beliau sepanjang menjadi Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Semenjak penubuhannya, pelbagai fitnah dan kontroversi telah timbul antara lain tohmahan gaji yang diterima oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta peranan dan sumbangan yang beliau berikan kepada Kerajaan Selangor sesuai dengan jawatan yang disandang.

Sehubungan itu, kita berpendapat adalah wajar Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor ditutup supaya peranannya tidak bertindih dengan tugas dan tanggungjawab pegawai-pegawai kerajaan negeri yang dikhususkan untuk menjaga hal ehwal ekonomi dan pelaburan Negeri Selangor.

FAEKAH HUSIN

KETUA PENGAWAI EKSEKUTIF

MENTERI BESAR SELANGOR PEMERBADANAN (MBI) 

No comments:

Post a Comment