BERTEMU dengan pelakon Rita Rudaini pada majlis pelancaran
drama terbaharu lakonannya berjudul Sehangat Asmara di Publika Solaris Dutamas,
Kuala Lumpur, dia tetap kelihatan jelita biarpun usianya sudah mencecah 37
tahun.
Jadi, tidak hairanlah ada gosip nakal yang mengatakan ada
seorang isteri kepada aktor terkenal cemburu dengan Rita dan tidak membenarkan
pelakon wanita itu berlakon dengan suaminya.
Beralih pada pelakon bertubuh sasa Adi Putra pula, hubungannya
bersama isteri, Zuhaida Yusof dikhabarkan semakin intim selepas kehadiran anak
perempuan Zara Adelia, 3 bulan.
Kedua-dua figura hebat itu digandingkan dalam drama tersebut
yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Sofea Aisya yang juga penulis novel
Adam & Hawa - sebelum juga turut dijadikan drama bersiri dan sudah
disiarkan di TV3.
Rita profesional - Adi
Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera, 32, dalam
pada itu mengakui selesa dengan sikap Rita kerana aktres itu bersikap terbuka
dan memberi kerjasama bagi menjayakan babak-babak romantis.
"Rita profesional, jadi tidak ada masalah apabila ada
babak memerlukan saya mencium dahi dan mendukungnya. Ia memudahkan kerja saya
menjayakan watak suami isteri bersamanya," akui Adi Putra mengenai
gandingannya dengan Rita dalam drama bersiri Sehangat Asmara.
Ditebak soalan sama ada drama gandingannya bersama Rita itu
dapat memecahkan tembok fenomena naskhah Adam & Hawa lakonan aktor terkenal
Aaron Aziz dan Nadiya Nisa, ujar Adi, dia yakin dengan kejayaan Sehangat
Asmara. Ini kerana novel dengan judul yang sama itu sememangnya popular dan
mempunyai pengikut tersendiri.
"Saya yakin Sehangat Asmara akan menjadi fenomena
kerana ia diadaptasi daripada novel terkenal," jelas Adi yang membawakan
watak pelajar dan kemudiannya suami kepada Rita itu.
Mengulas mengenai peranannya sebagai pelajar bersama Rita
dalam drama tersebut, ungkap Adi, ia tidak menjadi masalah buat mereka.
"Usia tidak tertakluk kepada watak yang kita bawa.
Asalkan ia boleh meyakinkan penonton. Jika beri watak itu kepada orang muda,
kalau dia tidak dapat warnakan watak itu pun tiada guna. Disebabkan itu Rita
dipilih sebab dia berpengalaman.
"Cara dia menggalas beg dengan postur tubuh yang pandai
dimainkannya sudah berjaya menampakkan keremajaan dia," ulasnya yang turut
memberitahu, tidak akan mengubah bentuk tubuhnya untuk membawa watak sebagai
pelajar.
Di luar lapangan seninya, Adi kini mengakui kehadiran Zara
Adelia yang dipelihara kira-kira tiga bulan lalu menjadi pengikat kepada rumah
tangganya yang hampir-hampir musnah pada tahun lepas.
Ditanya adakah kehadiran anak itu merapatkan semula
perkahwinannya dengan Zuhaida yang dikatakan berantakan sebelum ini, ungkap
Adi, dia menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan.
"Tidak boleh kata sejauh mana (kehadiran anak) akan
mengekalkan rumah tangga saya. Kami biarkan ia berjalan secara semula jadi. Apa
yang penting, doa daripada kami berdua kepada Tuhan agar dipermudahkan segala
urusan," tuturnya mengenai perkahwinan yang dibina sejak 14 April 2006
itu.
Gembira dengan kehadiran Zara, kongsi Adi, setiap kali
keluar berlakon dia tidak sabar untuk pulang semula ke rumah malah akuinya,
rutin sebagai bapa seperti membuat susu sudah dipraktikkan setiap hari walaupun
Zara berjaga pada pukul 4 pagi.
"Ketika ambil dia umur empat hari, saya takut lagi mahu
dukung tetapi sekarang bila umur dia sudah tiga bulan saya sudah berani dukung.
Kehadiran Zara memang menggembirakan kami (Adi dan isteri). Ia adalah
pengalaman baharu buat kami," jelasnya lagi.
Rita dan Lisdawati
Masih lagi tidak selesai dengan kes rumah tangganya, Rita
Rudaini mengakui tertekan membaca novel Sehangat Asmara yang mengisahkan
kesengsaraan seorang isteri menunggu suaminya selama sembilan tahun.
"Sebenarnya saya memang suka baca novel dan Sehangat
Asmara merupakan salah satu koleksi novel yang saya ada. Cuma, saya tertekan
baca novel itu kerana ceritanya sedih," ujarnya yang mengakui dengan
membaca novel tersebut membantunya menjayakan drama Sehangat Asmara itu.
Tidak hanya tertekan membaca novel, Rita juga mengakui
mengalami tekanan kerana menjayakan babak yang banyak menangis sehingga
menyebabkan air matanya kering. Mujur, pihak produksi faham dan tidak memaksa
Rita untuk menjayakan babak menangis sehingga dia memperoleh mood semula.
Ditebak soalan tidakkah tawaran berlakon dalam Sehangat
Asmara itu mengguris perasaannya kerana ia kelihatan serupa dengan kehidupan
sebenarnya, ungkap Rita, dia tidak berasa sedemikian.
"Saya tidak terguris. Apa yang boleh saya cakap, ia
memudahkan lagi untuk saya menjiwai watak tersebut kerana pernah
melaluinya," jelasnya yang membawakan watak sebagai Kamilia Najwa itu.
Mengulas mengenai gandingannya bersama Adi, tutur Rita,
Sehangat Asmara bukan merupakan gandingan pertamanya bersama Adi kerana sebelum
ini dia pernah berlakon dengan Adi dalam filem Balistik.
Begitupun, pelakon drama Kutub Utara Kutub Selatan itu
mengakui agak sukar untuk mendekati Adi pada mulanya.
"Ini kali ketiga berlakon bersama Adi. Cuma, sebelum
ini adegan bersama Adi tidak banyak tetapi dalam Sehangat Asmara kami berlakon
sebagai suami isteri.
"Mula-mula susah juga nak dapatkan keserasian dengan
Adi kerana saya tidak mengenalinya dengan rapat. Lainlah dengan Rosyam dan
Aqasha sebab kami memang berkawan jadi untuk membina keserasian di set
penggambaran adalah mudah," jelasnya.
Melihat karakter Adi yang pendiam, Rita pada mulanya gentar
untuk menyapa Adi kerana takut dituduh 'gatal.'
"Mula-mula memang rasa canggung tetapi selepas seminggu
penggambaran baru boleh 'masuk' dengan dia (Adi)," ujarnya mengenai
gandingannya bersama Adi dalam drama yang sebahagiannya menjalani penggambaran
di Sydney, Australia itu.
Usai lakonannya dalam drama Sehangat Asmara diceritakan,
Rita berkongsi cerita pula mengenai hubungannya bersama aktres Lisdawati yang
dikatakan sudah berdamai itu selepas hampir tujuh tahun bermusuhan.
Semuanya gara-gara selepas ditawarkan berlakon bersama dalam
drama bersiri Kerana Sarah.
Ujarnya, dia dan Lisdawati tidak lagi bermusuh dan tiada isu
yang perlu timbul antaranya dengan isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu.
No comments:
Post a Comment