Followers

rantau ku sayang

Wednesday, January 30, 2013

Tunku Zain: Saya pernah diajak bincang DAP, parti-parti lain

KENYATAAN akhbar oleh Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz berhubung kenyataan oleh (bekas Naib Pengerusi DAP) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan (Pengerusi DAP Negeri Sembilan), Anthony Loke.

Saya akan menulis sepenuhnya mengenai kenyataan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan Anthony Loke dalam kolum biasa saya pada Jumaat ini.

Namun terdapat beberapa perkara yang akan saya ulas dahulu sebagaimana berikut:

Adalah malang sekali apabila perbincangan peribadi kini menjadi topik perbualan umum. Ahli politik seharusnya mampu berhubung dan berkomunikasi dengan semua lapisan warga Malaysia dalam apa jua situasi termasuk perbincangan sulit asalkan masih di dalam batasan perundangan negara. Saya amat berterima kasih kepada Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi untuk tweetnya : “klu tidak terima, kita senyap jer. Hormatilah privasinya. Macam meminang tak jadi, tak perlu heboh.”

Namun begitu, nasi telah menjadi bubur. Oleh kerana perkara tersebut telah dibawa kepada pengetahuan umum, saya boleh mengesahkan bahawa butiran perbincangan dengan DAP beberapa bulan sebelum ini adalah hampir tepat. Memandangkan ia adalah perbincangan tidak rasmi, maka tiada minit perbincangan dicatatkan. Ingin saya nyatakan di sini, bahawa saya juga pernah dijemput untuk bertemu dan berbincang secara tidak rasmi dengan wakil-wakil parti politik yang lain.

Sebagaimana penulisan saya sejak lima tahun kebelakangan ini, saya amat menghormati dan mengkagumi ahli politik tanpa mengira kepartian yang berprinsip dan berkerja keras. Namun, pada pandangan saya tiada satupun parti politik pada hari ini yang mampu menyamai kejituan dan kesaksamaan visi Ayahanda Kemerdekaan yang boleh mempengaruhi saya untuk menyertai mana-mana parti.

Ada yang memperkatakan bahawa tidak wajar untuk putera Raja melibatkan diri di dalam parti politik. Namun, terdapat lima orang putera Raja yang telahpun berbuat demikian iaitu:

a)      YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah dari Kedah (Ahli Parlimen Kuala Muda 1955-1970 dan Perdana Menteri 1957-1970; Umno dan Semangat 46)

b)     YAM Tunku Panglima Besar Tunku Abdullah ibni Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan (Ahli Parlimen Rawang 1964-1974; Umno)

c)      YAM Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim ibni Sultan Ismail Nasiruddin Shah dari Terengganu (Adun Ajil 1990-1995; Semangat 46 dan Pas)

d)     YAM Tengku Datuk Seri Azlan ibni Sultan Abu Bakar of Pahang (Ahli Parlimen Jerantut 1999-kini dan Timbalan Menteri Pengangkutan 1999-2008; Semangat 46 dan Umno)

e)     YAM Datuk Seri Diraja Syed Razlan Jamalullail ibni Syed Putra Jamalullail dari Perlis (Ahli Parlimen Arau 2004-2008 dan Adun Pauh 2008-kini; Umno)

Masyarakat sivil di Malaysia telah berkembang secara signifikannya beberapa tahun kebelakangan ini dan saya sendiri memang telah bergiat aktif di dalam persekitaran sebegini lama sebelum Ayahanda saya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11.  Di dalam ruang sebeginilah saya berhasrat untuk terus menyumbang bakti terutamanya menerusi Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) dan juga beberapa yayasan lain yang saya berkhidmat.

sumber:  sinar harian

No comments:

Post a Comment