Biar hidup dalam dunia serba moden, Liyana Jasmay, 24, yang akan menikahi usahawan, Fathuddin Mazlan, 28, pada 2 Februari ini tetap mengikut pantang larang orang tua apabila tidak bertemu bakal suami menjelang hari bahagia mereka.
“Alhamdulillah, segala perihal berkaitan majlis (nikah dan resepsi) sudah hampir 100 peratus selesai hasil bantuan seluruh anggota keluarga kami terutama kakak saya, Adriana, yang tidak menang tangan sejak beberapa bulan lalu.
“Kalau ada perkara yang belum selesai pun mungkin cuma fitting busana pengantin yang memerlukan saya dan Fathuddin datang bersama. Rasanya Jumaat ini ialah hari terakhir kami berpeluang berjumpa.
“Kata orang tua-tua, lebih manis tidak bertemu menjelang hari pernikahan itu nanti. Sebagai orang muda, kita ikutkan saja nasihat sebegini. Tentu ada sebabnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ikut suami ke Sabah
Daripada nada suaranya, Liyana yang mesra disapa Nana sememangnya sedang melalui fasa bahagia. Malah kongsinya, dia tidak sabar hidup bersama insan tercinta selepas ditunangkan Mac tahun lalu, iaitu kira-kira tiga bulan sebelum melanjutkan pengajian ke New York selama setengah tahun.
“Sejujurnya saya sukar meluahkan bagaimana perasaan saya menjelang hari itu nanti, namun kami sama-sama gembira dan bersyukur impian hidup bersama direstui semua,” katanya yang akan mengikut suami ke Sabah.
Bagaimanapun, tambah anak bongsu daripada empat bersaudara itu, andai jadual kerjaya seni memerlukannya ‘turun’ ke ibu negara, dia masih boleh memenuhi undangan malah mereka juga tetap kerap pulang Kuala Lumpur berikutan tuntutan tugas Fathuddin.
Bulan madu di New York, Paris
Pasangan serasi ini akan dinikahkan di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada pagi 2 Februari, manakala majlis persandingan yang dijadualkan dimeriahkan kehadiran 1,000 jemputan berlangsung pada malamnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Majlis bertandang yang bakal menyaksikan mempelai menyarungkan busana sentuhan Rizman Ruzaini pula mengambil tempat di Dewan Perdana Felda pada 9 Februari ini.
Pereka popular, Jovian Mandagie, dipertanggungjawabkan memberi sentuhan untuk persalinan nikah dan resepsi di PWTC manakala urusan dandanan diserahkan kepada Deq Sha serta Tiar Zainal.
Berdasarkan perancangan, dia akan kembali semula ke New York bagi menjalani penggambaran drama terbitan Mermaid Studios yang juga miliknya bersama Adriana, selain mengambil peluang berbulan madu sambil bekerja disusuli percutian ke London dan Paris.
No comments:
Post a Comment