Followers

rantau ku sayang

Tuesday, June 3, 2014

PERKASA Terus Berjuang, Laungan 'Hidup Melayu' di Kota London

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) melebarkan sayap perjuangan masyarakat pribumi Melayu di peringkat global apabila melancarkan Kelab Perkasa United Kingdom dan Eropah di London kelmarin.

Penubuhan cawangan luar negara yang berpusat di London itu menjadikan Perkasa satu-satunya NGO di negara ini yang memiliki kekuatan serta pengaruh untuk berbuat demikian dan sehingga kini seramai 150 ahli antaranya dari Belgium, Perancis termasuk Jerman sudah mendaftar.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, badan itu akan sentiasa mempertahan, melindungi dan memperjuangkan kepentingan pribumi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa menidakkan hak masyarakat bukan peribumi.

"Perkasa juga akan terus menyokong pemerintah negara selagi kepemimpinan dan penjawat awamnya benar-benar menepati janji untuk sentiasa memelihara Perlembagaan Persekutuan dengan berterusan memperkasakan ekonomi orang Melayu dan bumiputera.

"Perkasa menerima kebijaksanaan perjuang kemerdekaan terdahulu untuk menubuhkan parti pemerintah berasaskan kepada prinsip perkongsian kuasa kerana terbukti amalan politik tersebut adalah faktor utama menjamin keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan kelangsungan negara ini.

"Tapi jangan ada pihak lukakan hati peribumi dan memperkecilkan status bangsa teras ini. Saling bergantungan antara peribumi dan bukan peribumi ini jangan sesekali dinodai atau dikhianati," katanya semasa berucap melancarkan Kelab Perkasa United Kingdom dan Eropah di London semalam.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekecewaan beliau terhadap segelintir orang Melayu dan bumiputera termasuk mereka yang berada dalam saf kepemimpinan negara hari ini kerana didakwa diresapi fahaman liberal sehingga sanggup bertindak melunturkan serta menghakis status teras peribumi.

Beliau yang menyifatkan golongan tersebut sebagai buta sejarah berkata, disebabkan keadaan itulah Perkasa perlu wujud di bumi Malaysia kerana jika tidak, pasti lebih banyak pihak menuntut hak kesamarataan tanpa memikirkan kepentingan peribumi.

"Jangan izinkan diri kita diresapi fahaman liberal yang membahayakan kelangsungan peribumi selaku bangsa teras Malaysia kerana kejituan status peribumi merupakan kunci kepada kelestarian sosioekonomi dan keselamatan keseluruhan masyarakat majmuk di negara ini," jelasnya.

Perkasa yang muncul pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bumiputera terbesar dengan keahlian melebihi 500,000 juga berikrar untuk terus menyokong sistem perkongsian kuasa dengan syarat tiada mana-mana pihak cuba mengganggu kontrak sosial.

No comments:

Post a Comment