Followers

rantau ku sayang

Sunday, June 29, 2014

Kedudukan MB Selangor keputusan bersama dalam Pakatan - Anwar

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pakatan pembangkang bahawa kedudukan Menteri Besar Selangor bukan hak mutlak individu, tetapi ia adalah bersandarkan keputusan bersama gagasan berkenaan.

"Saya merujuk kepada beberapa kenyataan yang dibuat baru-baru berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor.

"Saya dengan tegasnya menyatakan bahawa semua Ahli Dewan dan pemimpin-pemimpin parti mesti menghormati peraturan mengenai isu ini.

"Kedudukan Menteri Besar bukan agenda, juga bukan hak mutlak sesiapa pun, tetapi ia adalah keputusan yang dibuat bersama-sama antara PKR dan PR, dengan persetujuan Sultan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Anwar dilihat sebagai maklum balas kepada kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini yang menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan dari kedudukannya walaupun jika tidak memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR.

Khalid pagi tadi berkata keputusan pemilihan tidak relevan untuk dijadikan ukuran untuk meneruskan jawatan Menteri Besar kerana dia masih kekal ADUN Pelabuhan Klang dan itu juga melayakkannya untuk mengetuai kerajaan Selangor.

Khalid berkata demikian berikutan desakan dan kritikan yang memuncak terhadapnya dari rakan-rakan dalam PKR dan DAP, yang tidak berpuas hati dengan cara pentadbirannya dalam mengendalikan isu air, Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan isu rampasan kitab Bible.

Umum kini mengetahui Khalid berdepan dengan 'ancaman' PKR untuk menggantikan jawatannya menerusi satu gerakan yang dikenali sebagai 'Langkah Kajang' sehingga menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang diadakan bagi membolehkan tujuan tersebut direalisasikan.

Namun, ia tidak kesampaian apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya menjadi calon PRK tersebut untuk membolehkannya menjadi pengganti Khalid, dikira ‘hilang kelayakan’ setelah dijatuhi hukuman 5 tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, beberapa tahun sebelumnya.

Minggu lalu, pemimpin PAS dan DAP‎ Selangor secara terbuka menyatakan penolakan mereka terhadap Khalid kerana bimbang Selangor akan jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) jika Khalid terus menerajui kepimpinan negeri itu.

Tekanan ke atas Khalid semakin bertambah apabila Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Sulaiman turut menggesa beliau mengundur diri atas sikap gemar membuat keputusan bersendirian dan sering membelakangkan parti.

No comments:

Post a Comment