Followers

rantau ku sayang

Friday, June 13, 2014

ADUN PKR Pula Mahu Saman Malaysiakini

Majlis Peguam serta pihak tertentu lain yang melihat tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman fitnah terhadap portal berita Malaysiakini sebagai mengancam kebebasan media dan melanggar hak asasi manusia kini barangkali perlu menyatakan pendirian mengenai tindakan sama yang mahu diambil Dr Xavier Jeyakumar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Seri Andalas itu menimbang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap portal berita pro-pembangkang itu jika ia tidak memohon maaf dalam masa 48 jam kerana menyiarkan artikel yang didakwa memfitnah beliau baru-baru ini.

Dr Xavier mendakwa, artikel berkaitan dakwaan rasuah yang dilemparkan oleh ahli PKR yang digantung keahliannya, Badrul Hisham Shaharin yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 5 Jun lalu adalah fitnah dan tidak benar.

Menurut Dr Xavier, laporan berkenaan adalah tidak sahih, dan dengan itu telah mencemarkan imej dan kepimpinan beliau sebagai ADUN, bekas Exco Selangor serta antara pemimpin tertinggi dalam PKR ketika ini.

“Kesemua dakwaan atau berita yang dilaporkan itu tidak benar sama sekali.
“Banyak media lain mengambil (memetik) artikel itu dan menyiarkannya (semula)…ia tidak benar.

“Anda (Malaysiakini) tidak mendapatkan komen saya. Jika anda seorang yang bertanggungjawab dan beretika, anda patut menghubungi dan mendapatkan jawapan saya terlebih dahulu sebelum menerbitkan artikel itu,” kata Dr Xavier dalam satu sidang media, Khamis.

Artikel yang beliau maksudkan berjudul “PKR top leaders implicated in bribery claim” yang turut diterbitkan dalam bahasa Malaysia dengan tajuk “Chegubard buat aduan bertulis dakwaan rasuah” yang disiarkan Malaysia kini minggu lalu.
Selain Malaysiakini, Dr Xavier berkata beliau juga akan menyaman Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard serta akhbar harian Tamil Malar berhubung laporan berita tersebut.

Tegas Dr Xavier lagi, dakwaan berbaur fitnah dan tidak berasas oleh Malaysiakini itu juga dikhuatiri boleh menjejaskan peluang beliau untuk menang dalam pemilihan PKR yang belum berakhir.

Sementara itu Malaysiakini yang turut melaporkan berita ia mungkin disaman Dr Xavier mendakwa wartawannya yang menulis laporan berkenaan telah cuba menelefon Dr Xavier sebanyak lima kali selain menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi tidak berbalas.

Namun, Dr Xavier tidak lama kemudian memberikan jawapan dengan menafikanpembabitan beliau lalu ia disiarkan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai satu lagi kes saman fitnah terhadap Malaysiakini yang difaillkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

“Saya tak mahu bercakap mengenai Najib tetapi artikel ini (yang berkaitan beliau) amat tidak benar.

“Ia mencemarkan imej saya sebagai seorang warganegara yang mengikut undang-undang, ADUN dan bekas exco negeri serta memegang jawatan tinggi dalam PKR.

“Pada masa sama pemilihan parti masih berlangsung dan perkara ini menjejaskan imej saya,” kata beliau.

Dalam pada itu peguam Dr Xavier, David Samuel berkata, beliau akan menghantar notis menuntut penjelasan kepada media lain yang turut melaporkan berita tidak sahih yang disiarkan oleh Malaysiakini itu.

“Tindakan menuntut penjelasan dan permohonan maaf daripada pihak bertanggjawab akan diteruskan sehingga minggu depan.

“Selepas itu, kita akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap

Malaysiakini dan pihak-pihak yang bertanggungjawab di Mahkamah sekiranya tiada maklum balas atau jawapan daripada Malaysiakini dan media yang terlibat,” tegas David

No comments:

Post a Comment