Followers

rantau ku sayang

Friday, June 13, 2014

Anwar sibuk "menyerang" tanpa tahu keadaan sebenar...Dasar Suka Mencari Kesalahan Orang Lain

Sebenarnya keadaan di Petaling Jaya itu tidaklah seburuk yang dilaporkan oleh portal-portal pembangkang. Perkara ini disahkan sendiri oleh pengantin perempuan, Zarena Abdul Majid.

Akhbar yang bukan milik Umno, Sinar Harian melaporkan Zarena sebaliknya menzahirkan penghargaannya kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS.

Ini kerana ketika Anwar sibuk dengan sidang media untuk menyerang Umno dan medianya, kedua-dua institusi agama Islam Selangor berkenaan mengambil inisiatif mengadakan pertemuan bertujuan mengesahkan perkara sebenar dengan keluarga Zarena.

Wakil keluarga Zarena, D Arun mengakui bahawa proses siasatan oleh pihak JAIS telah dilaksanakan dengan penuh rasa hormat tanpa menyinggung perasaan ahli keluarga dan tetamu yang hadir.

Beliau menambah, pihaknya kesal dengan istilah "serbuan" yang sengaja disensasikan oleh media sehingga menimbulkan ketegangan awam.

Pada masa yang sama JAIS turut mengakui mendapat kerjasama baik daripada keluarga Zarena sepanjang siasatan dilakukan.

Pertemuan di antara MAIS dan keluarga Zarena Selasa lalu bertujuan  menjelaskan kedudukan sebenar berhubung siasatan JAIS semasa majlis resepsi perkahwinan Zarena pada 1 Jun lalu yang dikatakan "diserbu" pasukan JAIS.

Adalah jelas bahawa Anwar bertindak untuk menyambar peluang "menyerang Umno dan medianya" kerana diracuni oleh media pembangkang yang kebanyakannya bukan diterajui oleh orang Islam dan lebih condong membakar sentimen bukan Melayu terhadap badan-badan Islam.

Demikian juga kes rampasan mayat di Pulau Pinang. Sinar Harian sekali lagi melaporkan bahawa menurut sepupu Nora Teoh Abdullah, Teoh Choo Chew, keluarganya terkejut apabila pegawai polis tampil memaklumkan bahawa Nora beragama Islam.

"Polis memaklumkan bahawa kami tidak dibenarkan meneruskan upacara itu kerana sepupu saya sudah memeluk Islam selepas berkahwin dengan lelaki Melayu," kata Choo Chew.

Beliau berkata, kemudian pegawai JHEAIPP datang untuk menyatakan perkara yang sama.

"Hasil semakan JHEAIPP mengesahkan sepupu saya memeluk Islam ketika berusia 20 tahun iaitu 18 tahun lalu tanpa pengetahuan keluarga," kata Choo lagi.

Pengarah JHEAIPP, Datuk Sazali Hussein berkata, mengikut rekod jabatannya, Nora memeluk Islam pada 1997. JHEAIPP kini berusaha mendapat perintah mahkamah syariah bagi menguruskan jenazah wanita berkenaan mengikut hukum Islam.

Seharusnya, sebagai ahli politik yang bertanggungjawab Anwar menyiasat terlebih dahulu apa sebenarnya berlaku sebelum menyerang jabatan-jabatan agama Islam berkenaan sebagai "angkuh".

Anwar harus yakin bahawa sebagai pegawai agama, mereka faham peraturan. Malah sebagai orang Islam mereka tentu lebih sensitif soal perasaan insan yang sedang bergembira meraikan perkahwinan dan masygul bila ada kematian sanak keluarga.

Anwar seharusnya mencari semula nilai dalam dirinya untuk menghormati "orang-orang agama" dan memahami apa yang dimaksudkan oleh mantan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar, bahawa Islam menganggap perkahwinan dan kematian dua perkara besar dalam kehidupan manusia.

Kembalilah kepada semangat Islam tulen. Siasatlah dahulu. Adakah Anwar sudah berusaha menemui pengarah JAIS dan JHEAIPP untuk mendapatkan gambaran sebenarnya apa yang berlaku?

Atau, pertimbangan Anwar hanya bersandarkan laporan dan ulasan portal-portal pro-pembangkang yang sentiasa mengampunya sebagai wira.

Adalah lebih menyedihkan jika Anwar hanya menjatuhkan hukuman "angkuh" terhadap JAIS dan JHEAIPP hanya kerana Lim Guan Eng kelihatan tidak gembira.

Malah Anwar harusnya tahu bahawa Guan Eng sendiri belum "menziarahi" keluarga Nora Abdullah untuk mengetahui apakah benar wanita itu sudah mengahwini pemuda Muslim sejak 18 tahun lalu ketika beliau duduk di sebelah Anwar dalam sidang media itu. 

No comments:

Post a Comment