Followers

rantau ku sayang

Friday, June 13, 2014

Hudud: DAP buat pusingan U depan Nik Aziz...Caya Lah Nik Aziz Nih

DAP yang sebelum ini pemimpinnya pernah menyatakan hudud sebagai punca kekalahan di Teluk Intan, hari ini membuat pusingan U dengan mengatakan hudud bukan faktor kekalahan calonnya, Dyana Sofya Mohd. Daud pada 31 Mei lalu.

Dalam pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kenyataan media Gobind Singh Deo yang menyalahkan hudud PAS sebagai faktor kekalahan, adalah tidak benar.

Sebaliknya, Lim mendakwa kenyataan Gobind yang juga ahli Parlimen Puchong itu telah disalah tafsir oleh pihak akhbar.

“Apa yang ditulis dalam akhbar bahawa DAP ada menyalahkan pemimpin PAS atas kekalahan kami di Teluk Intan itu tidak benar. Sebenarnya Gobind mengucapkan terima kasih kepada PAS atas sokongan dan usaha mereka dalam PRK Teluk Intan.

“Gobind tidak mengatakan hudud merupakan isu utama dalam PRK. Namun, tidak dinafikan isu hudud akan menjadi lebih besar pada masa akan datang tetapi itu bukan punca utama kekalahan kami di Teluk Intan,” kata Lim seperti dipetik dalam laman Astroawani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz yang merupakan bekas Menteri Besar Kelantan di pejabatnya di Yayasan Pemikiran Tok Guru hari ini.

Dalam pertemuan ringkas beliau bersama Dyana Sofya menjelaskan kepada Nik Aziz berhubung kenyataan Gobind itu.

Tiga hari selepas PRK Teluk Intan yang berlangsung 31 Mei lalu, Gobind tampil menyalahkan hudud PAS menjadi punca kekalahan calon DAP kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong.

Gobind berkata, isu hudud menyebabkan wujudnya undi protes terutama di kalangan pengundi Cina yang merupakan pengundi majoriti di kawasan itu.

Bagaimanapun, tuduhan pemimpin DAP itu disangkal oleh pemimpin-pemimpin PAS yang mendakwa punca sebenar kekalahan Dyana Sofya ialah pengundi Cina tidak menyukai calon Melayu.

Dalam pilihan raya itu Dyana Sofya memperoleh 19,919 undi, tewas kepada Mah (20,157 undi) dengan majoriti 238 undi.

Dalam pertemuan pertama mereka selepas PRK Teluk Intan, Lim memberitahu, Nik Aziz  menyambut baik dan memahami situasi sebenar yang berlaku.

Lim bagaimanapun menjelaskan pendirian DAP masih tidak berubah berhubung isu hudud iaitu tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum tersebut.

Sementara itu, Dyana Sofya menjelaskan, sebagai orang Islam beliau tidak menolak hukum Allah itu namun sebagai ahli parti, beliau perlu menyokong pendirian parti dalam isu ini.

“Seperti yang saya katakan saya tidak pernah menolak hudud. Sebagai orang Islam saya tidak boleh menolak hudud. Tetapi saya sama dengan parti DAP,” kata Dyana Sofya.

Bulan lalu, PAS mengemukakan cadangan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah II di Parlimen bagi membolehkan undang-undang itu dilaksanakan di Kelantan.

Namun PAS tidak meneruskan cadangan berkenaan berikutan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikalbagi membincangkan prosedur dan beberapa penelitian bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 1993. 

No comments:

Post a Comment