Followers

rantau ku sayang

Wednesday, October 15, 2014

Anwar Benggang.....hanya tahu meniru teori ekonomi yang diperkenal pihak lain


Hasrat pakatan pembangkang untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal (CGT) sebagai alternatif kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membuktikan sikap tidak konsisten Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan hujahnya.
Ahli Parlimen BN Ketereh Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, pada 1993, Anwar yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan pernah menyatakan di Dewan Rakyat bahawa beliau menolak cukai nilai tambah (VAT) iaitu sistem percukaian yang digunakan di negara-negara Barat.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, Anwar kini berubah pendirian apabila mencadangkan dalam bajet pakatan pembangkang tentang pelaksanaan CGT mengikut model yang digunakan United Kingdom (UK).

"Terdapat banyak percanggahan berikutan ketidakupayaan Ketua Pembangkang untuk memahami tadbir urus ekonomi negara.

"Beliau juga mempunyai rekod buruk dalam tadbir urus ekonomi negara dan cuba menggunakan teori-teori Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam keadaan negara menghadapi krisis ekonomi," katanya ketika membahaskan Bajet 2015 dalam sidang Dewan Rakyat Isnin.

Terdahulu, Anwar ketika membahaskan Bajet 2015 mencadangkan pelaksanaan CGT bagi menggantikan GST yang bakal dikuatkuasakan mulai 1 April depan.

Annuar menambah, ketidakupayaan Anwar untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan terserlah apabila negara dilanda krisis ekonomi pada 1997.

Menurut beliau, Anwar cuma tahu mencedok, meniru dan mengambil teori-teori yang disalin daripada model-model ekonomi yang diperkenalkan oleh pihak lain.

"Namun, saya memahami beliau tiada latar belakang dalam bidang ekonomi dan bernasib baik kerana apabila memasuki arus politik UMNO, beliau mendapat kedudukan secara fast track," ujarnya.

Annuar berkata, krisis ekonomi negara yang semakin meruncing menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa campur tangan bagi menyelamatkan keadaan.

Manakala Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkata cadangan itu disifatkan sebagai tidak mesra perniagaan dan boleh menjadikan negara kurang kompetitif.

Sebaliknya, beliau berkata pelaksanaan CBP pada April tahun hadapan merupakan strategi dalam menyusun semula sistem percukaian yang lebih komprehensif, telus, mesra perniagaan dan berupaya menjana punca pendapatan yang lebih stabil.

"Cukai CGT digunakan oleh Amerika Syarikat atau United Kingdom atau negara Eropah yang lain, yang sudahpun berstatus negara maju. Namun, Malaysia belum lagi berstatus negara maju.

"Bagi mencapai status itu, Malaysia memerlukan pelaburan domestik dan luar untuk meningkatkan pendapatan negara serta membuka lebih peluang pekerjaan untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020," katanya.

PR pada Khamis lalu mencadangkan CGT bagi menggantikan CBP untuk meningkatkan hasil pendapatan negara di dalam Bajet Alternatif PR 2015.

Tambah Johari, para pelabur yang ingin menanam modal di negara ini mungkin membatalkan hasrat itu jika membuat analisis terhadap sistem percukaian negara (sekiranya menggunakan sistem CGT) kerana keuntungan yang ingin dimiliki pelabur berkenaan akan dikenakan CGT.

"Justeru, CGT akan menghalau semua pelaburan asing kerana ia merupakan sejenis cukai yang dikenakan ke atas keuntungan modal. Kalau begitu, sudah pasti, ekonomi negara sukar berkembang dalam pasaran modal sekaligus menjejaskan perkembangan ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) menarik perhatian apabila mendedahkan laporan sebuah akhbar di United Kingdom pada 2013 mengenai pengakuan pakar ekonomi di negara itu bahawa pelaksanaan CGT yang dianggap dapat meningkatkan pendapatan negara sebenarnya satu langkah silap.

"Mereka jangka CGT akan meningkatkan pendapatan, sebaliknya sasaran itu tersasar jauh apabila kerajaan hilang sebanyak RM2.4 bilion, dan akhirnya para pelabur tidak lagi berminat sehingga merencat ekonomi United Kingdom," katanya.

No comments:

Post a Comment