Followers

rantau ku sayang

Monday, October 27, 2014

Hadi terus bidas Pasma pertikai larangan ahli PAS sertai NGO itu


KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang terus mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama berhubung larangan ke atas ahli parti itu agar tidak menyertai pertubuhan tersebut.

Abdul Hadi turut mempersoalkan status Pasma yang kononnya bergerak selari dengan kepentingan parti dan dalam nada sinis menggambarkan beliau tidak tahu kalangan mereka ini yang dianggap ‘entah dari spesies mana.’

Beliau seterusnya mempertahankan Majlis Syura Ulama berhubung perkara itu atas alasan keputusan yang dibuat badan tertinggi PAS berkenaan disebabkan wujud aduan di peringkat negeri mengenai salah laku anggota pertubuhan terbabit.

Jelasnya, salah laku itu membabitkan tindakan anggota Pasma yang dikatakan berkempen agar ahli PAS tidak menghadiri mesyuarat parti di peringkat cawangan dan pihaknya sedang menunggu laporan sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Itu kita kena dengar pengaduan dari mana-mana negeri. Majlis Syura Ulama buat kenyataan itu (keputusan melarang ahli Pas sertai Pasma) dan ikut fahaman saya kerana ada anggota Pasma yang berkempen supaya (ahli PAS) jangan pergi mesyuarat cawangan PAS.

“Ada (aduan) negeri dan sebab itulah Majlis Syura Ulama buat kenyataan itu. Kita akan tengok sejauh mana (tindakan),” katanya kepada pemberita selepas membuat penggulungan serta menutup Seminar Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pertembungan di antara Majlis Syura Ulama dan Pasma yang semakin serius berikutan kenyataan Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi bahawa majlis tersebut tidak berhak melarang ahli PAS menghadiri program pihaknya.

Phahrolrazi berkata, Majlis Syura Ulama tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk berbuat demikian kerana ia di bawah bidang kuasa Jawatankuasa PAS Pusat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang seringkali mencetuskan kontroversi turut mempersoalkan keputusan majlis berkenaan yang melarang semua ahli PAS menyertai sebarang program Pasma.

Mengenai bentuk tindakan yang mungkin dikenakan ke atas anggota Pasma sekiranya terbukti melakukan kempen agar ahli PAS tidak menghadiri mesyuarat peringkat cawangan parti itu, Abdul Hadi berkata: “Kita tak tahu lagi, kita pun tak tahu Pasma ini dari spesies mana.”

Mengulas kenyataan Phahrolrazi bahawa Majlis Syura Ulama tidak berhak membuat keputusan itu, Abdul Hadi berkata, Presiden Pasma itu tidak mempunyai hak untuk menyatakan demikian tanpa memahami Perlembagaan PAS.

Ditanya adakah kemungkinan Khalid dan Phahrolrazi tidak lagi diberi tempat dalam PAS akibat tindakan mereka mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama, Presiden PAS itu berkata, perkara tersebut bergantung kepada aduan daripada PAS negeri.

No comments:

Post a Comment