Followers

rantau ku sayang

Sunday, October 26, 2014

Ali Abd Jalil cuba dapatkan suaka politik di luar negara...Tahu Pun Takut?


Aktivis Ali Abd Jalil yang berdepan dakwaan menghina kerabat Diraja Johor dan Sultan Selangor kini sedang berusaha mendapatkan suaka politik di luar negara, lapor The Malaysian Insider.

Kakak Ali, Asiah Abd Jalil mengesahkan adiknya ada membuat panggilan telefon memaklumkan telah selamat tiba di negara yang enggan didedahkan itu.

"Saya boleh sahkan Ali selamat berada di negara tersebut bagi mendapatkan suaka politik," Asiah dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

Asiah juga dilaporkan berkata keluarganya tidak mengetahui mengenai perancangan Ali itu dan mengakui terkejut dengan tindakan adiknya.

Katanya, Ali dibantu oleh sebuah badan hak asasi manusia antarabangsa untuk keluar dari Malaysia, namun enggan mendedahkan NGO yang dimaksudkan itu.

"Ali berjaya menjalani proses mendapatkan visa. Majistret negara tersebut sudah meluluskan visa. Kini Ali dalam proses memohon suaka politik daripada negara itu.

"Tetapi, beberapa proses perlu dijalani terlebih dahulu, antaranya pengesahan yang Ali ialah warganegara Malaysia dan bentuk ancaman yang dihadapinya," Asiah seterusnya dipetik sebagai berkata.

Asiah juga menjelaskan keluarganya menyokong penuh tindakan yang dilakukan oleh Ali memandangkan tiada jaminan keselamatan untuk adiknya itu jika terus kekal berada di Malaysia.

"Banyak ancaman dan tekanan dihadapinya," katanya.

Ali sebelum ini menghadapi tiga tuduhan hasutan kerana didakwa menghina kerabat diraja Johor dan Sultan Selangor dalam postingnya di Facebook.

Beliau juga ditahan polis di penjara selama 22 hari sejak 8 September dan dibebaskan kemudiannya pada 29 September.

The Malaysian Insider turut mendakwa menerima emel memberitahu Ali selamat tiba di Stockholm, Sweden selepas berjaya keluar dari Malaysia menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Danok.

No comments:

Post a Comment