KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki parah akibat ditetak ketika sedang
memasang bendera sebuah parti politik di Kemaman malam tadi.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu Supt Koh Ah Tiam
berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam itu dipercayai
berpunca akibat perebutan kawasan untuk memasang bendera parti.
Katanya mangsa berusia 40-an bersama empat lagi rakannya sedang
memasang bendera parti apabila dihampiri sekumpulan lelaki yang
kemudiannya bertindak di luar kawalan dengan menetak mangsa menggunakan
parang.
"Akibat tetakan itu mangsa mengelami kecederaan parah di bahagian
hadapan dan belakang badan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan
Ampuan Afzan, Kuantan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya polis sedang memburu kumpulan suspek yang dipercayai dianggotai 10 orang berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Tiam berkata sehingga kini sebanyak tujuh laporan polis dibuat
berhubung kes pergaduhan melibatkan parti politik dan ini merupakan kes
pertama yang mendatangkan kecederaan.
Beliau mengingatkan penyokong parti politik supaya jangan bertindak di
luar batasan dan sebaliknya membuat laporan polis sekiranya bendera dan
poster parti mereka dirosakkan. - Bernama
No comments:
Post a Comment