Followers

rantau ku sayang

Saturday, April 27, 2013

Pertembungan ideologi serius


Muhyiddin Yassin bersama Mohamad Hasan dan Khairy Jamaludin serta sebahagian calon PRU-13 menunjukkan isyarat bagus selepas melancarkan Sisipan Aku Janji BN Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Kampung Sendayan, semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN 
SEREMBAN 26 April - Pertembungan ideologi pembangkang kini berada pada tahap serius dan amat berbahaya jika dibenarkan mentadbir negara kelak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara itu adalah realiti yang wajar dimaklumkan kepada rakyat supaya jangan tersilap mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

''Mungkin pembangkang akan pertahankan dan kata mereka amat sepakat. Itu kata mereka dan sebenarnya pertembungan ideologi sesama mereka begitu serius, malah banyak saranan satu pihak yang tidak didukung oleh pihak lain.

''Saya lihat itu adalah bahaya. Bukan kenyataan saya ini untuk menakut-nakutkan pengundi kerana itu adalah realiti yang boleh berlaku. Kami mahu menghalang ia daripada berlaku," tegas beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan sisipan Aku Janji BN Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Kampung Sendayan, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Ketua Pemuda BN yang juga calon BN Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin serta calon-calon BN negeri yang akan bertanding pada PRU-13.

Muhyiddin turut menyuarakan kebimbangan beliau dengan keadaan negara sekiranya kelak rakyat tersalah pilih.

''Elok juga kita berikan maklumat itu kepada rakyat biasa dan pengundi yang tidak tahu realiti politik sebenar sekarang.

''Jadi kita berikan amaran awal supaya jangan tersilap pilih. Kita bukan hanya kata Barisan Nasional (BN) adalah yang baik sahaja tetapi hendaklah diberitahu kesan buruknya jika tersilap pilih kerana pembangkang tidak pernah bermuafakat," katanya.

Mengulas slogan 'Ubah' yang dibawa pembangkang, Muhyiddin berkata, motif politik pembangkang sememangnya tidak senang melihat kejayaan dan pembaharuan yang dibawa oleh BN memandangkan sokongan rakyat kian bertambah menjelang tarikh mengundi tidak lama lagi.

''Bila keadaan sudah berada di landasan yang kukuh, kenapa hendak ada satu perubahan besar yang boleh menyebabkan kita tergelincir daripada mencapai sasaran.

''Saya berikan contoh bahawa dasar transformasi itu seperti landasan, di mana di atas landasan itu ada lokomotif atau kereta api laju yang dipandu oleh Perdana Menteri. Kita tahu arah mana yang hendak dituju pada tahun 2020,'' katanya.

Beliau berkata, dengan meletakkan negara di landasan yang betul, tiada sebab mengapa rakyat perlu menukar Perdana Menteri sedia ada.

''Pemandunya sudah cukup baik dan boleh membawa kita mencapai sebuah negara maju," kata Muhyiddin.

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL dan NAZARUDIN SHAHARI
utusanN9@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment