Malah, menyedari bahawa rakyat sudah mula menolak mereka akibat kegagalan wakil rakyatnya, Yap Yew Weng, melaksanakan tugas membantu penduduk di Nilai sejak 2008 dan tiada rekod yang boleh dibanggakan oleh para pengundi, memaksa DAP menukar calonnya pada PRU-13 ini dengan menamakan orang luar, J. Arul Kumar, seorang guru yang berasal dari Gemencheh, Tampin.
Berbanding dengan rekod pencapaian calon BN, Gan Chee Biow yang telah 10 tahun menabur jasa dan bakti membantu menyelesaikan sekecil-kecil sehingga sebesar-besar masalah penduduk di Nilai selaku Ahli Majlis Perbandaran Nilai (MPN), keyakinan untuk BN merampas kerusi DUN Nilai semakin meningkat.
Dalam PRU-13 ini, kerusi DUN Nilai menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, DAP dan dua calon Bebas iaitu, S. Rajasheger dan Ahmad Kamarulzaman Abu.
Ketika ditemui di Bilik Gerakan Induk BN DUN Nilai di Mantin di sini malam tadi, Chee Biow, yang telah menetap 23 tahun di sini dan dikenali sebagai "Cina Melayu" kerana begitu fasih berbahasa Melayu di samping begitu dekat dengan penduduk sejak dilantik Ahli MPN sejak 2002 berkata:
"Saya menaruh keyakinan bahawa BN akan kembali merampas kerusi N10 DUN Nilai daripada DAP kerana wakil rakyat pembangkang sebelum ini tidak buat apa-apa. Dia hanya tabur janji semasa PRU-12 tetapi tidak pernah menunaikannya.
"Calon DAP dalam PRU-13 ini pula (Arul Kumar) bukan menetap di Nilai, bagaimana dia mahu berkhidmat kepada rakyat? Dia pun tidak pernah dikenali oleh orang Nilai... tak ada rekod pencapaian bekerja membantu penduduk atau pengundi di Nilai.
"Saya bukan hendak promosi diri saya, tetapi anda boleh turun dan tanya sendiri orang Nilai apa yang saya dan BN telah lakukan untuk para penduduk sepanjang saya menjadi Ahli MPN sejak 10 tahun lalu. Walaupun BN kalah pada pilihan raya 2008, kita tetap memberi perkhidmatan dan menolong para pengundi di sini," katanya kepada Utusan Online.
Menurut Chee Biow, sejak Pusat Khidmat Masyarakat BN DUN Nilai dibuka di Mantin pada 2008 yang mana beliau sendiri sebagai Pegawai Penyelaras, 35 hingga 40 aduan diterima daripada masyarakat kawasan ini pada setiap hari dengan 85 peratus daripada masalah tersebut diselesaikan.
"Kita dalam BN bekerja membantu rakyat tidak semata-mata apabila sudah menjadi rakyat, tetapi sepanjang DAP memegang kerusi DUN Nilai kita tetap tolong orang.
"Menerusi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Nilai, bantuan-bantuan tetap disalurkan kepada rakyat termasuk kepada 120 hingga 150 keluarga miskin pada setiap bulan," katanya.
Ditanya mengenai isu-isu yang dimainkan oleh pihak pembangkang, Chee Biow memberitahu, DAP khususnya tidak ada sebarang isu tempatan yang diketengahkan lebih-lebih lagi calonnya, Arul Kumar bukan orang Nilai.
Menurutnya, DAP hanya memainkan isu-isu nasional yang tidak relevan dengan penduduk tempatan di samping seperti mana di tempat-tempat lain mereka berkempen secara memaki-hamun BN dan menabur tohmahan untuk menarik perhatian orang ramai.
Kepada penduduk di DUN Nilai yang mempunyai 20,670 orang pengundi dengan 45 peratus daripadanya Cina, 31 peratus Melayu dan 22 peratus India, Che Biow meninggalkan pesanan berikut:
"Rakyat sudah punya persepsi yang positif dan baik terhadap BN atas prestasi kerja dan perkhidmatan walaupun tidak memenangi kerusi DUN Nilai pada PRU-12. Pada masa yang sama mereka juga sudah ada persepsi mengenai kegagalan perkhidmatan wakil rakyat DAP sejak lima tahun lalu.
"Anda sebagai pengundi sudah boleh membuat perbandingan perkhidmatan yang diberi oleh BN dan DAP, jadi berwaspadalah semasa mengundi... Anda boleh timbangkan sama ada mahukan calon dan parti yang dijamin memberi perkhidmatan atau calon dan parti yang hanya mencari populariti."
No comments:
Post a Comment