Followers

rantau ku sayang

Thursday, April 11, 2013

Soi Lek Tidak Bertanding, Kuantan Untuk UMNO, Nasib Tee Keat dan YTL Belum Tentu

menepati janji
Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek,  mengumumkan beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini. Ini bermakna pertama kali dalam sejarah Presiden MCA mengetuai partinya dalam pilihan raya tanpa menjadi calon.

Ini menamatkan spekulasi beberapa akhbar berbahasa Cina sebelum ini yang melaporkan Soi Lek akan bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Soi Lek sedar MCA berhadapan dengan krisis keyakinan masyarakat  Cina dan ini memerlukan tumpuan khusus beliau bagi menarik semula sokongan kaum tersebut kepada Barisan Nasional. 

Dengan mengumumkan tidak akan bertanding, Soi Lek bukan sahaja menghilangkan masalahnya daripada fokus isu pilihan raya, malah membolehkan beliau menjelajah ke seluruh negara bagi menarik sokongan kaum Cina.

MCA turut mengesahkan akan memberi laluan kepada calon dari UMNO untuk Parlimen Kuantan. Dijangkakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Suffian Awang akan dicalonkan menentang calon PKR, Fuziah Salleh.

 Selain itu, kerusi negeri  Kota Laksamana di Melaka akan diberi kepada PPP. Satu lagi kerusi sama ada Jelapang atau  Tronoh di Perak turut akan dilepaskan. Mykmu.net menjangkakan kerusi Tronoh akan diberikan kepada MIC atau PPP.

Dalam sidang akhbar hari ini, beliau turut memaklumkan 50% daripada calon MCA adalah muka baru. Namun masih ada sebarang pengumuman mengenai kedudukan musuh politiknya, Ong Tee Keat dan juga kawasan kontroversi Wangsa Maju.

Sebelum ini Soi Lek dilapor menyatakan Ahli Parlimen Pandan, Ong Tee Keat tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya akan datang. Malah  Soi Lek telah mengumumkan Gary Lim sebagai calon baru MCA bagi Parlimen Pandan dan akan meletak jawatan sekiranya Tee Keat dicalonkan. Namun beberapa hari kemudian beliau menarik balik kenyataanya dan menyatakan media salah tafsir.

Bagaimanapun pengumuman tersebut telah menjejaskan harapan BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen tersebut. Tee Keat masih dilihat sebagai wakil rakyat yang cukup berpengaruh di kawasan tersebut sejak beliau menewaskan bekas Menteri Besar Selangor, allahyarham Datuk Harun Idris dalam satu pilihan raya kecil Parlimen Ampang pada 1988.

Selain itu, nasib Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju , Yew Teong Look (YTL) masih belum pasti. YTL mengharapkan beliau dipilih semula sebagai calon sungguhpun kalah dalam pilihan raya umum yang lalu. YTL kalah dengan hanya 150 undi kepada Wee Chee Keong pada pilihan raya umum lalu dilihat bekerja keras mendapatkan sokongan orang ramai.

Namun kawasan ini menjadi kontroversi apabila terdapat khabar angin bahawa Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju akan dicalonkan oleh BN.

Semalam, Malaysiakini.com kira-kira 3,000 ahli MCA dan penyokong berkumpul di majlis makan, menuntut supaya ketua bahagian MCA Wangsa Maju, Yew Teong Look (kanan) dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi tersebut. 

Beberapa anggota parti meluahkan kemarahan mereka kepada presiden MCA kerana tidak memaklumkan kepada akar umbi mengenai dakwaan keputusan untuk memberikan kawasan tradisi MCA itu kepada Umno.

Menurut Soi Lek, isu kerusi Wangsa Maju dan Gelang Patah masih dalam perbincangan Barisan Nasional. Belum ada kata putus yang dibuat sehingg hari ini.

Kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor, menjadi isu apabila “supremo” DAP, Lim Kit Siang mengumumkan akan bertanding di sana. Ini membuatkan BN terpaksa mengkaji semula strategi calon mereka dan nama yang muncul untuk menentang Kit Siang sekarang ini ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

No comments:

Post a Comment