SEREMBAN - Umat Islam perlu mengelak daripada terjerumus dalam
perbuatan 'haram-mengharam' yang dilihat boleh menyebabkan perpecahan
dan kehancuran di kalangan umat Islam sendiri.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jika
berlaku perpecahan, masyarakat Islam di negara ini tidak akan mampu
bekerjasama untuk membawa atau menyumbang apa-apa kejayaan kepada
negara.
"Ada orang kata sembahyang saya tidak ada pahala. Ada orang kata saya
kafir. Ada orang kata saya buat masjid kerana mahu bagi kontrak pada
orang. Tapi yang pentingnya dalam hidup ini niat kita yang baik.
"Kalau macam sesetengah pihak mengadakan kuliah atau ceramah agama
kalau niat kerana agama, Alhamdulillah. Tapi kalau buat untuk tarbiahkan
orang supaya masuk PAS, itu tujuannya lain," katanya kepada pemberita
selepas menghadri majlis makan tengah hari bersama ketua-ketua jabatan
kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai deklarasi Ulama Pondok, Sekolah Agama
Rakyat dan Tahfiz, semalam yang menyatakan bahawa haram bagi umat Islam
di negara ini mengundi pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13
kerana mereka menyokong pluralisme agama yang jelas menyekutukan Allah,
seperti disiarkan akhbar harian hari ini.
Mohamad berkata sebaiknya setiap perkara yang dilakukan dinilai dengan
niat seseorang itu dan pihak lain seharusnya tidak mudah menghukum
dengan mengatakan ia haram.
"Kalau kita sudah biasa mengharamkan orang, menuduh orang kafir, haram
itu haram ini, sembahyang tiada pahala dan lain-lain, maka akan ada
puak-puak lain pula yang akan bangun dan akan menuding jari kepada
kita," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata sejak menjawat jawatan menteri besar sembilan tahun lalu, banyak perubahan positif berjaya dilaksanakan terhadap jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Sementara itu, Mohamad berkata sejak menjawat jawatan menteri besar sembilan tahun lalu, banyak perubahan positif berjaya dilaksanakan terhadap jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Beliau berkata ini terbukti apabila surat aduan yang diterima daripada
rakyat berjaya dikurangkan dan melonjakkan negeri ini ke tahap yang
lebih tinggi berbanding negeri lain dari segi pelaksanaan dan penjelasan
projek.
"Prestasi kita baik dan saya mahu supaya kekalkan prestasi cemerlang ini.
Apa yang penting ialah apabila pelaksanaan itu baik sistem penyampaian
terlaksana dengan baik maka yang mendapat faedahnya adalah rakyat
sebagai pelanggan kita," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment