Followers

rantau ku sayang

Tuesday, October 7, 2014

DAP, PKR bakal cetus kemarahan pengundi jika pelan tempatan PJ tidak tepati kehendak


Ahli Parlimen Subang itu berkata, penduduk yang juga merupakan pengundi akan menghukum PKR dan DAP dalam pilihan raya umum akan datang jika pelan pembangunan dan infrastruktur memberi kesan buruk kepada kualiti kehidupan.

Katanya, menteri besar Selangor dan barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri (exco) yang baru akan lebih sensitif kepada perasaan dan harapan penduduk Petaling Jaya.

Sivarasa berkata, ini merujuk kepada sokongan 10 wakil yang dipilih menjadi ahli MBPJ yang memutuskan dalam mesyuarat pada Rabu menangguhkan pindaan pelan tempatan (RTPJ1 and RTPJ 2) sehingga selesai semakan penuh kerajaan tempatan.

Wakil yang dipilih adalah Sivarasa, Hee Loy Sian (Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan), Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara), Wong Chen (Ahli Parlimen Kelana Jaya), Rajiv Rishyakaran (Adun Bukit Gasing), Haniza Talha (Adun Taman Medan), Lau Weng San (Adun Kampung Tunku), Yeo Bee Yin (Adun Damansara Utama), Elizabeth Wong (Adun Bukit Lanjan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia).

Mereka merupakan wakil rakyat daripada DAP dan PKR yang membentuk kerajaan negeri Selangor bersama PAS.

Sivarasa berkata, apa yang menjadi kebimbangan ialah cadangan membuang semua butiran panduan sedia ada untuk kawalan rancangan daripada RTPJ1 dan RTPJ2.

"Wujud persepsi Petaling Jaya terlebih maju dan jalan menjadi sesak yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat di sini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sivarasa yang merupakan wakil rakyat meliputi 40% kawasan kerajaan tempatan berkenaan berkata, ahli majlis hanya mahu mengkaji aspek kontroversi pindaan dan akan membentangkannya semula dalam masa tiga bulan.

Katanya, kajian dilakukan dengan rundingan bersama kerajaan negeri dan mengambil kira maklumbalas setakat ini mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

"Ahli Parlimen dan Adun juga akan memberikan pandangan mereka terhadap pelan itu sebagaimana dikehendaki pengundi yang juga merupakan penduduk dan pembayar cukai," katanya.

Sivarasa berkata, penduduk Petaling Jaya berpendidikan tinggi dan sedar tentang hak mereka.

"Kita mesti menyahut kehendak mereka jika tidak ia akan menimbulkan masalah dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Datin Paduka Alinah Ahmad bertegas mahu meneruskan perubahan kontroversi kepada pelan bandar walaupun 14 daripada 17 ahli majlis mengemukakan bantahan.

Pua menimbulkan persoalan sama ada Alinah merupakan Datuk Bandar Petaling Jaya atau birokrat yang tidak sedar kepada kepentingan rakyat.

"Datuk Bandar beberapa bulan ini dilihat bertindak sendirian walaupun beberapa percubaan ahli majlis menangguh atau meminda pindaan pelan.

"Semua permintaan sebelum ini tidak diambil peduli dalam mesyuarat khas petisyen oleh ahli majlis dua hari lalu," kata Pua dalam satu kenyataan.

Pengerusi DAP Selangor itu berkata ia menghairankan mengapa Alinah berkeras meneruskan pindaan pelan tempatan walaupun jelas wujud kebimbangan.

Ahli majlis yang tidak mahu dinamakan berkata 14 ahli majlis yang membantah rancangan dalam pelan asal itu merupakan wakil rakyat DAP, PKR dan beberapa badan bukan kerajaan.

"Malangnya tiga wakil PAS tidak bersama kita kerana pelan yang dipinda itu bercanggah dengan kesejahteraan dan kebajikan umum," katanya.

Katanya, pelan dalam bentuk asal cenderung kepada pemaju hartanah menjadikan Petaling Jaya hutan konkrit dan sesak dengan aliran trafik.

Bekas ahli majlis Derek Fernandez yang merupakan pakar dalam prosedur kerajaan tempatan berkata exco Selangor boleh mengatasi keputusan majlis tempatan seperti yang tertakluk dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa.

"Bagaimanapun, ahli majlis kini bertindak menggunakan kuasa bagi membatalkan cadangan pindaan jika ia memberi kesan kepada kepentingan umum," katanya yang juga merupakan seorang peguam.

Fernandez berkata pelan berkenaan mempunyai kelemahan serius yang akan memberi kesan ketara kualiti kehidupan awam selain memberi kesan negatif kepada persekitaran dan infrastruktur.

"Jika majlis tidak mengkaji semula pelan tersebut, ia akan dilihat buruk oleh orang ramai kerana mengalami kepincangan jelas," katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo berkata apa yang berlaku di Petaling Jaya memberi pengajaran pihak berkuasa mesti sensitif kepada keperluan dan aspirasi penduduk tempatan.

"Disebabkan kerajaan negeri mempunyai kuasa, kita tidak boleh memandang ringan isu ini. Mereka boleh menggunakan kuasa di peti undi untuk menghantar mesej jelas," katanya.

Gobind yang merupakan pengerusi biro guaman parti dan Ahli Parlimen Puchong berkata semua kerajaan tempatan di Selangor dan seluruh negara perlu memberi perhatian bahawa pembayar cukai mesti dibawa berbincang dalam memformulasi pelan tempatan.

"Penduduk setempat tidak berpeluang mengundi wakil kerajaan tempatan namun mereka yang mempunyai kuasa tidak boleh mengambil sikap sambil lewa meneruskan pelan yang bertentangan dengan harapan penduduk setempat," katanya.

No comments:

Post a Comment