Followers

rantau ku sayang

Wednesday, August 20, 2014

Isu Menteri Besar...PAS sudah boleh bersiul depan Anwar


Pelik...itulah komentar yang banyak kedengaran tentang lenggang lenggok PAS dalam isu Menteri Besar Selangor.
Satu dunia tahu bagaimana parti itu asalnya tunjuk seolah ia begitu berprinsip sekali nak pertahan habis-habisan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bukan saja Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang malah Musyridul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat juga mengaum bagai singa garang.

Ini diperkuatkan lagi dengan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama,yang merupakan badan tertinggi pengubal dasar parti itu.

Tiba-tiba mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS Ahad lalu membuat U-Turn campak Khalid macam sampah dari bangunan Ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut,Kuala Lumpur.

Ini setelah dua Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Selangor,Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin belot sokong Datuk Seri Wan Azizah Ismail dua hari sebelum itu.

Soalnya betulkah PAS sudah korner baring atau ini cuma satu babak wayang pacak parti itu?

Kalau kita putar balik ikut babak ke babak perangai Haji Hadi nampak agak lain macam sejak memuncaknya krisis Menteri Besar.

Beliau seperti menyepikan diri setelah sebelumnya buat sidang akhbar sokong Khalid.

Malah pertemuannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelamkabut setelah adakan mesyuarat Exco pertamanya,berlangsung secara sulit di sebuah hotel di Kuala Ibai dekat Kuala Terengganu.

Kalangan wartawan yang selalu membuat liputan acara Haji Hadi dan faham karektornya sendiri hairan mengapa begitu jadinya.

Lebih membingunkan bila beliau sendiri tidak beri sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS di ibupejabat PAS sekalipun beliau sendiri yang mempengerusikan mesyuarat itu.

Keputusan mesyuarat itu mengenai pendiriann rasmi parti memang ditunggu-tunggu oleh semua orang kerana ia dikira babak sangat penting dalam jalan cerita.

Sebaliknya yang tampil beri sidang akhbar ialah Mat Sabu,Timbalan Presiden PAS membacakan kenyataan yang ditandatangani Haji hadi.

Melalui kenyataan itu beliau mengumumkan PAS tarik balik sokongan pada Khalid dan sokong dua nama untuk gantinya,Wan Azizah dan Azmin Ali.

Haji Hadi menyepi dan ghaib.

Pada petang itu pula Haji Hadi tidak hadir mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Subang Jaya.Sekali lagi Mat Sabu mewakilnya.

Di pihak PKR Anwar sendiri hadir dan begitu juga DAP Lim Guan Eng.

Ada yang kata Haji Hadi mungkin kurang sihat.

Sebaliknya esoknya Isnin beliau tampil segar bugar semasa memberi penjelasan mengenai keputusan Jawatankuasa PAS Pusat kepada Nik Aziz di Kota Bharu.

Andaian yang berlegar ialah Haji Hadi mempunyai 'sebab tersendiri' mengapa tidak beri sidang akhbar dan juga tidak hadir pada mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat yang memutuskan cuma nama Wan Azizah saja calon tunggal jawatan Menteri Besar Selangor.

Sebabnya mungkin ada kaitan dengan rasa amat malu terpaksa tendang Khalid.

Ada cakap-cakap yang berlegar kata Haji Hadi ' kena kepung' dengan puak Anwarinas PAS dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat dan terpaksa tunduk kepada desakan mereka tolak Khalid dan berdiri belakang Anwar.

Kalau melihat pada rentetan babak dua kemungkinan itu memang tidak dapat ditolak.

Namun disebalik ini ada juga pemerhati yang menilai apa yang berlaku bagai satu skrip drama yang sudah tersusun rapi.

Mereka lebih kuat merasakan PAS menang hendak ' lepas tengkok' atau lebih tepat cuci tangan dalam isu Menteri Besar Selangor.

PAS dikatakan cukup bimbang kepada kemungkinan ia terbelit hingga terpaksa ucapkan selamat tinggal kepada Pakatan Rakyat.

Sekalipun ada kalangan pemimpin PAS mengaum konon mereka tidak takut sendirian tetapi kalau buat congak diatas kertas PAS akan rugi banyak jika berpecah dari PKR dan DAP.

Sebab itu Anwar dikatakan tidak rasa gerun dengan PAS dan berani terus mendesak mahu Wan Azizah jadi calon Menteri Besar.

Lihat bagaimana Saari Sungib berani mengugut nak keluar parti itu jika PAS terus sokong Khalid.

Itu baru Saari...belum lagi Hasnul dan sebilangan lagi ADUN dan Ahli Parlimen PAS yang diketahui berkiblatkan kepada Anwar.

Tolak bahagi campur...PAS akan kehilangan banyak ADUN dan Ahli Parlimen jika nak terus konon pegang prinsip pertahankan Khalid.

Yang untungnya tentu PKR.Jangkaannya sudah tentu ADUN dan Ahli Parlimen PAS yang protes keluar parti akan lompat masuk PKR.

Lagipun PKR tidak bimbang kerana ia banyak bergantung pada tempias sokongan bukan Melayu yang sokong DAP.

PAS tahu ia secara otomatik akan kehilangan sokongan bukan melayu jika nak main-main dengan PKR dan DAP.

Jawapnya PAS akan kembali sebagai 'parti kampong' seperti zaman dulu.

Melalui keputusan Jawatankuasa Pusat PAS yang mendokong nama Wan Azizah dan tambah nama Azmin, PAS nampak sudah mengubat luka dihati PKR dan DAP.

Kini PAS cuci tangan lepas bola kepada kaki Anwar....macam bunyi cakap ' engkau hendak sangat Wan Azizah sekarang kami sudah sokong'.

Sekarang menjadi tanggongjawab Anwar  ' bersilat' sendiri dengan Istana Selangor untuk teruskan impiannya nak jadikan Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Seperti kata Haji Hadi kepada wartawan selepas jumpa Nik Aziz di Kota Bharu Isnin keputusan muktamad terima atau tidak Wan Azizah sebagai Menteri Besar terletak pada Sultan Selangor.

Katanya PAS akan akur dengan apa jua keputusan baginda.

Anwar sendiri tentu tahu itu adalah cabaran terbesar yang beliau kena laluinya.

PAS kini boleh mengepak dada dan dengan mudah boleh cakap...'jangan kata kami tak sokong Wan Azizah...kami sudah sokong'.

Nampak macam apa jadi pun PAS sudah tidak rugi.

Jalan cerita PAS yang keras macam batu sebelum ini...nampak berlalu dengan mudah sekali.

Memang agak menghairankan kalau Nik Aziz sendiri boleh dengan mudah terima dengan mudah dan telan keputusan Jawatankuasa Pusat PAS tolak Khalid selepas Haji Hadi beri penjelasan.

Alasan Khalid kini bukan lagi ahli PKR dan bukan jadi tanggongjawab PAS perjuangkan beliau...adalah alasan yang cukup lemah untuk lepaskan diri.

Ini kerana PAS awal-awal semasa 'Langkah Kajang' sudah menentang sebarang pertukaran Menteri Besar.

Malah kemudian ia secara terbuka menentang hajat PKR menamakan Wan Azizah sebagai calon penganti Menteri Besar.Itu prinsipnya.

Sebagai parti yang kononnya berteraskan Islam..U-Turn PAS ini memang sangat memalukan.

Namun politik tetap politik.Khalid juga terpaksa telan pil pahit kena main dengan politik PAS.

Game isu Menteri Besar Selangor sudah masuk babak baru dimana PAS sudah boleh bersiul depan Anwar.

Pada 27 Ogos Sultan Selangor akan berangkat pulang.Itulah bermula detik kemuncak.

Siapa agaknya yang akan terbelit? 

No comments:

Post a Comment