Followers

rantau ku sayang

Monday, August 25, 2014

KJ: 'Kita tak boleh paksa orang sokong kita'


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan beliau tidak boleh memaksa mana-mana pekerja di kementeriannya itu untuk memberi sokongan kepada BN.

Menurutnya, sebagai menteri, beliau harus menghormati penjawat awam sebagai golongan profesional selagi mereka memberi kerjasama yang baik.

“Mesti ada yang sengaja nak mengambil kesempatan ekoran kenyataan saya yang dipetik media. Tolong baca sepenuhnya komen saya sebelum mengulas.

“Sebagai menteri kita tidak boleh paksa sesiapa yang kerja di kementerian kita untuk menyokong kita. Apatah lagi penjawat awam.

“Kita kena hormati mereka sebagai profesional dan selagi mereka memberi kerjasama yang baik dan menyokong dasar kerajaan semasa serta tidak membawa apa-apa unsur politik dalam tugasan harian mereka, kita perlu kekalkan hubungan yang mesra dengan mereka,” katanya yang dipetik melalui laman sosial Facebooknya, hari ini,

Beliau merujuk kepada sebuah artikel yang menyiarkan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tiada masalah untuk mengambil penyokong PR bekerja dengannya.

Tegasnya, tidak adil kepada penjawat awam sekiranya mereka tidak dibenarkan bekerja hanya kerana tidak menyokong kerajaan.

“Ada yang berpendapat bahawa penjawat awam mesti sokong parti kita. Kalau tak sokong parti kita, mereka patut dibekukan laluan kerjaya.

“Saya rasa ini tidak adil pada penjawat awam. Kita kena hormat prinsip keberkecualian penjawat awam. Tugas mereka berbeza dengan pegangan politik mereka,” katanya.

Khairy berpendapat, sokongan yang diberikan kepadanya atau partinya biarlah secara sukarela bukan lakonan.

“Mungkin ada yang berfikiran konservatif yang tidak boleh terima pandangan saya ini. Bagi mereka, apa yang penting adalah kesetiaan total. Saya rasa pandangan sedemikian agak kuno pada zaman sekarang.

“Pendekatan saya berbeza. Saya tidak paksa sesiapa sokong parti saya. Sudah pasti saya mahu mereka sokong parti saya, tetapi lebih baik mereka sokong secara sukarela.

“Apa guna kita paksa mereka bersorak dan mengangkat sepanduk sokongan kalau itu cuma satu lakonan? Kalau begitu, dalam pilihan raya nanti kita menang sorak, tapi kerajaan tergadai,” katanya.

Katanya, penonjolan peribadi serta pelaksanaan tanggungjawab yang baik boleh menjadi medan untuk menimbulkan tanggapan yang lebih positif kepada wakil-wakil rakyat dalam pentadbiran.

“Tetapi kalau kita menjalankan tugas dengan baik, penuh amanah dan rajin buat kerja, saya yakin mereka akan mempunyai tanggapan yang lebih positif pada kita.

“Inilah cara yang betul. Bukan politik paksa memaksa yang tidak menghasilkan sokongan hakiki pada kita,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno berpendirian, mana-mana pekerja yang melanggar etika sama ada membocorkan maklumat atau membawa pegangan politiknya ke pejabat wajar dikenakan tindakan. 

No comments:

Post a Comment