Followers

rantau ku sayang

Sunday, August 31, 2014

Mengapa gelagat politik PAS kurang mesra Pakatan Rakyat?


Sejak kebelakangan ini PAS semakin kerap membuat keputusan sendiri dalam menangani isu-isu politik yang seharusnya dibincangkan secara musyuwarah dengan PKR dan DAP.

Mutakhir sekali, PAS tidak mengekori keputusan tegas PKR dan DAP dalam mengemukakan calon untuk kerusi Menteri Besar Selangor. Kedua-duanya hanya mahu presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sahaja.

Alasan PAS ialah ia akur titah Sultan Sharafudin Idris Shah supaya baginda dipersembahkan sekurang-kurangnya dua nama calon untuk jawatan itu. Ada kemungkinan PAS akan mengenengahkan tiga nama.

Namun anehnya, PAS memberi perakuan bahawa ia hanya akan menamakan nama Adun-Adun dari PKR sahaja untuk jawatan itu. Ini demi menegaskan ia tidak berminat mengisi kerusi nombor satu itu.

Sekali gus ini juga menegaskan bahawa PAS masih sehaluan dengan pemikiran politik Pakatan Rakyat bahawa kerusi Menteri Besar Selangor itu adalah amanah yang diberikan kepada PKR.

Pada kacamata DAP dan PKR gelagat PAS ini agak pelik. Sejak dari mula isu Menteri Besar ini menghangat, PAS boleh dilihat sebagai dalangnya.

PAS mula jarakkan diri apabila PKR pecat Khalid

Ketika pimpinan PKR menyingsing lengan dan mengambil keputusan memecat keahlian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, PAS membuat pendirian tegas tidak mahu Khalid diganti.

Berikutan itu ia memberi isyarat kepada 15 Adunnya supaya tidak menyokong dalam bentuk apa jua pun usul Khalid diturunkan dari kerusi Menteri Besar.



Tindakan PAS ini agak pelik. PKR dan DAP bungkam. Mengapa PAS bertindak di luar konsensus Pakatan Rakyat? Selanjutnya PAS mengarahkan empat ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (exconya), terus menyokong Khalid.

Apa pun jua, alasan PAS tetap kelihatan samar. Pada satu segi ia seolah-olah mahu mengambil alih kerusi Menteri Besar. Bagaimanapun pimpinan PAS bermati-matian menegaskan jawatan itu milik PKR.

Persoalannya, adakah PAS mempunyai pengetahuan atau maklumat yang lebih penting yang tidak dikongsi dengan rakan-rakan Pakatan Rakyatnya?

Ini satu kemungkinan. Apabila Dewan Pimpinan Pusatnya bermesyuarat 17 Ogos lalu, PAS mengambil pendirian mengemukakan nama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, sebagai calon kedua untuk jawatan Menteri Besar.

Namun pada sebelah petangnya apabila bersemuka dengan pimpinan PKR dan DAP dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat, PAS tidak pula membantah usul supaya hanya nama Wan Azizah dikemukakan sebagai calon tunggal kepada Sultan.

Kemudian ada pimpinan PAS Selangor yang membisikkan kepada umum bahawa PAS sebenarnya ada maklumat Istana mahu lebilh daripada satu nama dipersembahkan kepada Sultan.

Ternyata kemudian bahawa maklumat PAS itu tepat. Pada Selasa, 26 Ogos lalu, Sultan menitahkan supaya konvensyen atau amalan lazim dipatuhi. Lebih satu (kini lebih dua) nama diperlukan demi memudahkan Sultan membuat pilihan.

Namun PKR dan DAP tidak mahu berkompromi. Kedua-duanya hanya mahu nama Wan Azizah sahaja sampai kepada pangkuan pertimbangan Sultan.

PAS adalah parti Islam. Seberapa mungkin Islam mengajar supaya menjauhi kontroversi dan perselisihan faham. Yang diutamakan ialah ketenteraman dan kesefahaman.

Maka, mungkin atas sebab itu PAS memilih untuk tidak menyertai tindakan yang mungkin boleh mendatangkan “murka” Sultan.

No comments:

Post a Comment