Followers

rantau ku sayang

Monday, June 9, 2014

Enakmen kontroversi dipinda...Fasal libat Raja ditiadakan

Sehari sebelum pembentangan Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang dijadualkan pada Isnin, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membuat pengumuman penting meminda beberapa fasal yang mencetuskan kontrolversi sebelum ini.

Jika diperhalusi dari apa yang diucapkan Khaled ketika sesi Sidang DUN petang Ahad, maknanya selepas ini tiada lagi kontroversi berkaitan enakmen tersebut.

Fasal-fasal yang sebelum ini didakwa membuka ruang kepada mencampur tangan raja terhadap urusan pentadbiran kerajaan negeri telah ditiadakan.

Menurut Mohamed Khaled, akan berlaku pindaan khususnya melibatkan peruntukan tentang peranan raja dalam pelantikan lembaga pengarahnya.

"Ada fasal yang akan dipinda dengan menyatakan secara khusus peranan raja adalah atas nasihat menteri besar terutama dari segi pelantikan.

"Sementara itu, lain-lain fasal semuanya akan ditiadakan. Hanya itu yang akan disentuh oleh raja," katanya mengulas pindaan yang dilakukan selepas mengambil kira reaksi pelbagai pihak.

Jelasnya, ada fasal yang akan dipinda dengan menyatakan secara khusus peranan Raja adalah atas nasihat Menteri Besar terutama dari segi pelantikan.

"Paling penting, lain-lain fasal semuanya akan ditiadakan. Hanya itu sahaja yang akan ada disentuh pada Raja dan lain-lain fasal semua diganti dengan Pihak Berkuasa Negeri.

"Langkah ini adalah untuk menunjukkan kerajaan negeri berniat ikhlas dan tidak memberi kuasa eksekutif kepada Raja selain tidak menggugat prinsip Raja Berperlembagaan," katanya.

Beliau berkata amat menghairankan anakmen yang akan dibentangkan itu mendapat kritikan kononnya raja akan diberi kuasa mutlak dengan raja akan mengurus perjalanan lembaga atau mempunyai kuasa eksekutif sedangkan semua peruntukan dalam anakmen tersebut juga adalah sama dengan anakmen penubuhan Johor Corporation (JCorp) sebelum ini.

Mohamed Khaled menegaskan fasal-fasal di dalam enakmen itu kelak juga tidak akan melanggar prinsip Raja Berpelembagaan kerana ia dibaca bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menyatakan tindakan yang dilaksanakan oleh raja adalah atas nasihat Menteri Besar.

"Sekiranya enakmen Johor dianggap bertentangan dengan Perlembagaan, maka semua akta di peringkat persekutuan juga bertentangan.

"Jadi kita harap pindaan itu nanti tidak akan menimbulkan lagi apa-apa masalah kerana apa yang kerajaan negeri usahakan adalah demi rakyat," katanya.

Anakmen tersebut menjadi buah mulut ramai kerana didakwa bertentangan dengan peranan Raja Berpelembagaan yang diamalkan oleh sistem demokrasi di Malaysia.

Berikutan itu berbagai pihak mendesak ianya dikaji semula dan pembentangannya ditangguhkan.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, enakmen yang hendak dibentangkan itu mestilah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem raja berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta amalan demokrasi negara ini.

"Menteri Besar menjelaskan bahawa enakmen itu konsisten dengan peruntukan Perlembagaan. Beliau juga akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusan lembaga tersebut," ujar beliau.

Manakala Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan sebelum ini meminta kerajaan negeri menangguhkan pembentangan rang undang-undang tersebut bagi memberi ruang kajian semula dibuat.

Beliau berkata, keputusan tentang penubuhan LPHJ perlu mengambil kira pandangan daripada semua pihak kerana melibatkan keperluan rakyat.

"Kita kena kaji dan teliti semula perkara ini dan seeloknya pembentangan rang undang-undang berkenaan yang akan dibuat Isnin ini ditangguhkan. Ia melibatkan rakyat, kita kena fikir kesannya kepada rakyat dalam konteks keperluan dan kehendak mereka," katanya. 

No comments:

Post a Comment