Followers

rantau ku sayang

Friday, August 1, 2014

PAS mula jarakkan diri apabila Anwar makin nanar




Namun ketenteraman PAS yang berasa menjadi “pengikut” kepada Anwar Ibrahim tidak lama. Apabila melihat Anwar mulai hilang kawalan dalam partinya sendiri dan masih tidak betah “difitnah” oleh musuh-musuh politiknya, PAS mula merindui zaman di mana ia mampu membuat keputusan politiknya sendiri.



Langkah Kajang membayangkan kesungguhan PAS untuk memandu masa depannya sendiri. Sekaligus PAS mahu tuduhan ia dijangkiti “parasit politik” yang totok menyokong Anwar dalam saf kepimpinannya dipadamkan.



Iskandar Abdul Samad sudah menzahirkan keberanian ini. Beliau menyanggah hasrat PKR mahu menurunkan Khalid. Katanya, PAS Selangor mahu Khalid kekal.

PAS sendiri ada rekod menangani isu “rajuk-merajuk” dalam parti. Apabila ada segelintir pemimpin mahu mencabar status quo politik di Kedah pada 2013, PAS Pusat tegas enggan “ketenangan politik” Kedah dikocak. Ia mengekalkan Allahyarham Datuk Dr Azizan Razak sebagai Menteri Besar.

Mungkin percaturan PAS itu silap. Natijah pendirian itu ia kehilangan Kedah dalam PRU lalu. Namun PAS parti konservatif. Ia diikat oleh semangat kedamaian dan menjauhi perpecahan. Talak adalah perkara yang dibenci Allah. Justeru PAS amat keberatan menjatuhkan talak ke atas mana-mana pemimpinnya.

Banyak kiasan politik boleh dibuat PAS daripada isu Allahyarham Dr Azizan itu. Antaranya apabila seseorang pemimpin popular di mata rakyat cuba digulingkan, sentimen rakyat akan mudah terusik.




















Gerakan jatuhkan Khalid bukan perkara mudah


Bila itu berlaku, kemarahan rakyat akan ditujukan kepada parti. Dalam kes Khalid pun begitu. Kepimpinannya disenangi rakyat, termasuk PAS Selangor. PAS jelas bimbang pertikaian dalam PKR kini akan mengundang kemarahan rakyat bukan sekadar terhadap PKR tetapi Pakatan rakyat.



Riak awal DAP berhubung sikap galak PAS dalam isu ini pun agak jelas. Ia juga seolah-olah menghantar isyarat bahawa kali ini ia tidak memandang Langkah Kajang ada keistimewaan “dewa politik” dalam firasat Anwar.



Maka ia pun menyokong strategi untuk “melewatkan” proses memutuskan sama ada Wan Azizah layak atau tidak menjadi Menteri Besar.

Malang bagi Anwar calon PKR yang cuba ditonjolkan untuk kerusi kontroversi itu ialah isterinya. Jika Azmin, Rafizi, atau Saifuddin misalnya, diperkirakan untuk jawatan itu, PAS mungkin tidak segalak itu menunjukkan pendirian tidak bersetuju pada “pengarahan politik” Anwar untuk Pakatan Rakyat.

Cabaran lebih besar bagi Anwar sekarang ini bagaimana mahu memulihkan “kepercayaan DAP dan PAS terhadap hemah politiknya”. Aidilifitri yang bakal muncul mungkin menjadi suatu perayaan politik yang suram untuk Anwar.

Jika pimpinan DAP dan PAS tidak mempersetujui Wan Azizah, mungkin pihak Istana Selangor pula ada pendiriannya tersendiri berhubung hasrat untuk meletakkan seorang wanita mentadbir negeri.

Istana Selangor mungkin “dinasihati” bahawa keadaan bakal menjadi galau jika kuasa memerintah Selangor “difaraid di kalangan beberapa individu di kalangan pemimpin PKR” untuk menampung “kekurangan dan pengalaman” Wan Azizah.

No comments:

Post a Comment