Sudah pasti bukan mudah untuk PAS menerima hakikat bahawa selama ini PKR sendiri kurang yakin pada kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Malah daripada beberapa maklumat tidak rasmi yang dapat dikumpulkannya berhubung prestasi Khalid, PAS nampaknya sukar untuk memperakukan bahawa mutakhir ini PKR sudah tidak boleh mempercayai kewibawaan Khalid.
Betapa tidaknya, sepanjang kempen menuju Pilihanraya Umum ke-13, PKR melalui Anwar Ibrahim yang paling kerap menjaja pada rakyat bahawa Khalidlah Menteri Besar yang boleh dijadikan contoh terbaik di Malaysia.
Anwar secara terbuka menghebahkan betapa Khalid meningkatkan rizab kerajaan negeri hampir RM3 bilion. Anwar memuji betapa bijaknya Khalid mengagihkan peruntukan RM300 tabung khas Selangorku kepada rakyat.
Namun tidak sampai setahun setelah Khalid dinobatkan sebagai Menteri Besar penggal kedua, PKR pula beria-ia mahu Khalid diganti. Lantas PAS bertanya, apa dosa Khalid? Beliau tidak ada skandal atau menghadapi tuduhan pecah amanah.
Bagi PAS ini soal prinsip. Demi mengekalkan kepercayaan rakyat pada perjuangan Pakatan Rakyat, ia bertanggungjawab memastikan kerajaan Pakatan itu tidak zalim terhadap rakyat dan, lebih-lebih lagi ke atas pemimpinnya sendiri.
Naluri keadilan PAS bimbang Khalid dianiaya oleh anasir tertentu yang tidak gemar kepada Khalid. PAS tidak mahu Khalid terfitnah seperti Anwar difitnah dengan pelbagai tuduhan amalan seks luar tabie dan sebagainya.
Sementelahan lagi tidak ada pula Anwar atau mana-mana pemimpin PKR yang diutus untuk memberi maklumat yang negatif terhadap Khalid sebelum ini. Malah wakil-wakil rakyat PAS dan exconya dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor langsung tidak nampak apa yang tidak kena dengan Khalid.
Lantaran itu, presiden PAS sendiri melangkah ke hadapan dan mempertahankan Khalid daripada menjadi mangsa permainan politik yang tidak sihat dalam PKR.
Rupa-rupanya beliau tidak keseorangan dalam jihad menentang fitnah ini. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Pemangku Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yakob tidak menyokong usul mahu Khalid digantikan.
Namun dari perspektif PKR pula, seharusnya isu ia kurang senang dengan Khalid ini seharusnya sudah maklumi PAS. Jika tidak mengapa kesemua 22 Kawasan PAS Selangor menyokong usul Khalid digantikan, Januari lalu?
Usul itu mendorong PKR untuk membuat keputusan memperinci tindakan yang perlu diambil untuk menukar Khallid sebagai Menteri Besar 15 Januari lalu.
Lantas PKR mengumumkan program politik yang dikenali sebagai Langkah Kajang Mac lalu untuk menggantikan Khalid dan melonjakkan kedudukan Selangor sebagai pencetus kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU ke 14 nanti.
Malah ada pemimpin PKR yang merungut keseluruhan program Langkah Kajang memang hendak diperjelaskan kepada presiden PAS sendiri. Malangnya, Hj Hadi memberi alasan tidak dapat memenuhi permintaan Anwar untuk sesi penerangan berkenaan kerana perlu berada di Terengganu.
Malangnya, pada hari yang sama Hadi dikhabarkan bersama beberapa pemimpin kanan PAS menemui Khalid Ibrahim di Selangor untuk menyatakan pendirian mereka menyokong Khalid terus menjadi Menteri Besar.
Yang pastinya, kedua-dua pihak mempunyai skrip politik masing-masing berhubung isu menteri besar Selangor. PAS menyindir bahawa Khalid dizalimi sementara PKR pula membidas bahawa PAS mempunyai motif politik lain termasuk mahu mengambil alih jawatan berkenaan.
Sebagai seorang pemimpin gerakan politik seperti Pakatan Rakyat, Anwar cuba menyejukkan suhu perbezaan politik PKR-PAS ini dengan memuji sikap “Haji Hadi yang mempunyai komitmen tinggi terhadap perjuangan Pakatan Rakyat”.
Malahnya, menjelang PAS membuat keputusan muktamad berhubung isu ini pada 10 Ogos depan, ia sukar menolak cara Anwar memuji sikap Hadi pada Pakatan Rakyat tidak banyak bezanya dengan puji-pujian yang dihamburkan terhadap Khalid sebelum PRU-13.
Selang beberapa bulan selepas PRU ke-13 tiba-tiba Khalid kini menjadi pemimpin yang mempunyai “rekod buruk” di Selangor perlu diganti dengan calon Menteri Besar lain pada mata PKR!
Yang memburukkan keadaan ialah apabila Anwar mengumumkan pada Majlis Presiden Pakatan minggj lalu nama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang baru menang dalam pilihanraya kecil Kajang, untuk menggantikan Khalid.
Soalan mudahnya, apakah matlamat Anwar meletakkan isterinya yang juga presiden PKR sebagai calon Menteri Besar? Apakah Anwar mahu menjadikan Selangor tapak politik keluarganya sendiri?
Hadi nampaknya tidak gusar perbezaan pandangan ini boleh mengakibatkan Pakatan Rakyat berpecah kerana PAS baginya hanya mahu melaksanakan matlamat perjuangan Pakatan itu sendiri yang tidak mahu menzalimi sesiapa.
Anwar masih cuba bersikap tenang. Mungkin menyedari keterlanjuran membuat keputusan berhubung isu menteri besar ini sebelum mengutip pandangan pemimpin-pemimpin PAS, maka setiausaha agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail diutus memperjelaskan keadaan pada Datuk Nik Aziz.
Namun perbincangan di kalangan pemimpin-pemimpin PAS yang dipintas dalam alam maya membayangkan PAS bersedia menghadapi seberang kemungkinan termasuk meninggalkan Pakatan Rakyat.
Mungkinkah soal kedudukan Khalid ini hanya alasan sahaja bagi PAS memandangkan sebelum Ramadan lalu PAS melihat seolah-olah tiada jalan keluar perbalahannya dengan sebuah lagi sekutu Pakatan iaitu DAP.
Mungkinkah juga ini adalah satu cara menzahirkan ketidaksenangannya dengan pendirian PKR yang tuntas menyokong pendirian DAP bahawa ia tidak mahu hukum hudud dilaksanakan di bumi Malaysia?
Bagi PAS pelaksanaan hudud adalah inti perjuangannya. Itu satu jihad. Sementara sokongan PKR pada DAP menentang adalah satu pengkhianatan paa perjuangan suci ini. Itu adalah tindakan jahat.
Sebelum nasi menjadi bubur mungkin sebab itu PAS mengambil sikap tidak mahu Khalid diganti dan berhadapan dengan kemungkinan perlu mengiktiraf Wan Azizah menjadi Menteri Besar dan hasrat hududnya disanggah oleh PKR.
No comments:
Post a Comment