Followers

rantau ku sayang

Saturday, August 2, 2014

MH17: Anggota Kongres AS puji Najib


Seorang anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepimpinannya berunding mengenai penyerahan mayat-mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang didakwa ditembak jatuh, di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.


Eni F.H. Faleomavaega yang mewakili Samoa-Amerika memuji Najib dalam satu persidangan Kongres dan kata-kata beliau itu telah dipaparkan di http://capitolwords.org pada 24 Julai lepas.

Capitol Words menyiarkan perkataan yang paling kerap digunakan dalam Rekod Kongres, memberikan peluang pembaca laman web itu mendapatkan maklumat mengenai isu-isu yang diketengahkan penggubal dasar secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan.

Capitol Words adalah sebuah projek oleh Sunlight Foundation berpangkalan di Washington DC - bersifat non-partisan dan tidak mengaut keuntungan - yang menyokong kerajaan terbuka di peringkat global dan menggunakan teknologi untuk menjadikan kerajaan lebih bertanggungjawab kepada semua.




















Dalam posting itu, Faleomavaega memuji Najib kerana tidak membiarkan rundingan dengan puak pemisah di Ukraine dilakukan pembantunya.


"Penglibatan secara peribadi Perdana Menteri Najib dalam rundingan menetapkan standard diplomasi di seluruh dunia. Saya menghargai Perdana Menteri Najib untuk tidak membiarkan pembantunya melakukan rundingan," katanya.

Faleomavaega menambah bahawa Najib mengadakan siri rundingan sulit dengan pemisah untuk mencapai satu perjanjian bagi menyerahkan mayat-mayat dan jaminan untuk mendapatkan laluan selamat bagi pasukan penyiasat ke lokasi nahas.

Perdana Menteri Malaysia juga berjaya membawa pulang kotak hitam pesawat Penerbangan MH17 bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan, katanya lagi.

"Beberapa perkara dalam hidup ini adalah suci dan saya gembira bahawa Perdana Menteri Najib melihat aspek itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana mengetepikan politik untuk tujuan yang lebih penting - iaitu untuk mengembalikan mayat bapa, ibu, abang, kakak, anak lelaki dan anak-anak perempuan kepada anggota keluarga yang kehilangan dan menyayangi mereka.

"Saya memuji beliau kerana melakukan apa yang orang lain tidak akan lakukan atau tidak mampu melakukan," kata Faleomavaega.

Dalam posting berkenaan, beliau turut mengucapkan takziah dan berdoa kepada mereka yang terlibat dengan tragedi itu.

"Selepas siasatan penuh dan adil, saya berharap mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan," kata Faleomavaega.

Pesawat MAS penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia, pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal itu dipercayai telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas perbuatan keji itu.

Pada 19 Julai lepas, Najib dalam sidang akhbar berkata beliau telah bercakap dengan Alexander Borodai, pemimpin yang menguasai wilayah lokasi nahas pesawat MH17.

Tiga perjanjian dicapai Perdana Menteri dan Borodai ialah mayat-mayat mangsa pesawat itu diserahkan kepada Netherlands; kedua-dua kotak hitam akan diserahkan kepada pasukan penyiasat Malaysia dan pasukan penyiasat bebas antarabangsa dijamin akses yang selamat untuk ke lokasi nahas bagi memulakan siasatan penuh kejadian itu. 

No comments:

Post a Comment