Followers

rantau ku sayang

Thursday, June 12, 2014

Majlis Peguam Tidak Profesional Sejak Dipengerusikan Ambiga

Majlis Peguam kini dilihat hilang status sebagai sebuah badan profesional sejak 10 tahun lepas apabila Akta Profesion Perundangan (Legal Profesion Act) seolah-olah dipergunakan sebagai kuasa mutlak oleh pihak yang berkepentingan.

Pengamal undang-undang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, akta yang digubal Parlimen itu sewajarnya dipinda bagi memelihara Majlis Peguam yang kian tercalar imejnya sejak dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevasan.

"Sejak 10 tahun lepas, Majlis Peguam ini saya lihat cenderung kepada pembangkang sejak tahun 2004 ketika Datuk Ambiga menjadi pengerusi. Sebelum itu Majlis Peguam adalah sebuah badan profesional, sepertimana Majlis Perubatan Malaysia, Institut Akautan, Majlis Jurutera dan banyak lagi dikalangan badan profesional ini tidak menonjolkan diri mereka sebagai organisasi politik.

"Sebelum ini ramai tokoh seperti almarhum Raja Aziz Idrus yang pernah menjadi pengerusi Majlis Peguam. Walaupun beliau juga merupakan bekas peguam kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau (Raja Aziz) tidak membawa jawatankuasa Majlis Peguam secara keseluruhannya ke dalam kancah politik negara," katanya ketika ditemui RakyatNews hari ini.

Jelas Khairul Azam, Majlis Peguam akan terus dilabelkan sebagai 'Biro Undang-Undang Pembangkang' selagi akta tersebut tidak dipinda.

"Kuasa Majlis Peguam ini sangat luas, bercakap dalam soal undang-undang tetapi perlu ada 'check and balance' (keseimbangan). Majlis Peguam ini apabila bercakap dan kita dapati ia senada dengan pembangkang. Saya tidak kata ia salah namun jika profesional ia perlu berpaksi kepada prinsip udang-undang dan bukan skrip yang sama seperti pembangkang,"

"Tidak salah kalau masyarakat membuat persepsi bahawa pendapat Majlis Peguam ini sama seperti pendapat pembangkang. Sebab itu saya kata Majlis Peguam ini merupakan biro undang-undang kepada pembangkang, ia bukan lagi sebuah badan profesional tetapi lebih kepada badan politik. Sampai bila-bila ia akan menjadi Majlis Peguam yang ada pada hari ini kerana akta tersebut memberi kuasa yang terlalu luas kepada mereka," tegas beliau.

Dalam masa sama Khairul Azam memberitahu, akta yang dilahirkan oleh Parlimen pada tahun 1976 ini merupakan suatu bidang kuasa atas kapasiti profesion undang-undang. Beliau juga ada menyuarakan penegasan terhadap seksyen 56 dan seksyen 57 sebagaimana yang terkandung di dalam akta tersebut.

"Kita perlu faham bahawa Majlis Peguam ini bukan badan bebas NGO atau sebuah syarikat, ia adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan melalui akta dalam Parlimen dan terikat dengan bidang kuasa atas profesion undang-undang. Jika kita lihat kuasa yang diberikan kepada Majlis Peguam seperti dalam seksyen 56 iaitu Kuasa Umum, manakala seksyen 57 Kuasa Spesifik,"

"Antara yang terkandung dalam seksyen 57 ialah seperti menjaga hal ehwal profesionalisma peguam, mewakili peguam untuk memberi pandangan dan pendapat dalam sesuatu isu dan segala yang berkaitan profesion kepeguaman. Hakikatnya Majlis Peguam boleh memberikan pendapat terhadap sesuatu isu melibatkan undang-undang negara tetapi pendapat itu adalah sekadar pendapat dan bukannya menjadi kuasa pendesak," katanya.

Selain itu Khairul Azam turut menyentuh soal ketelusan di dalam sistem pemilihan jawatankuasa Majlis Peguam (1976) yang dilihat sudah tidak relevan dan perlu direformasikan.

"Majlis Peguam bersama NGO Bersih mendesak kerajaan supaya mereformasikan sistem pilihanraya. Saya rasa Majlis Peguam juga perlu menyokong sekiranya Parlimen mahu mereformasikan sistem pilihanraya Majlis Peguam, itu lebih adil,"

"Ini kerana, orang yang sama menjadi calon pada setiap tahun. Peguam di Malaysia ini lebih daripada 15,000 orang. Turun mengundi hanya sekitar 3,000 orang atau 18 peratus dan mereka tidak mendapat undi popular bahkan menang hanya kira-kira 2,000 undi. Saya lihat ada sesuatu yang tidak betul dan sesuatu yang perlu dilakukan itu iaitu pinda akta Legal Profesion Act," ujarnya. 

No comments:

Post a Comment